+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, November 29, 2008

Pemakaian tali keledar belakang tetap 1 Jan.

EMPAT gadis mengenakan pemakaian tali pinggang belakang sempena pameran pameran Keselamatan Jalan Raya 2008 di Kuching semalam.


KUCHING - Tarikh penguatkuasaan pemakaian tali keledar belakang pada 1 Januari depan tetap dilaksanakan dan tidak akan ditangguh, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lajim Ukim.

Menurut beliau, pengguna sudah diberi tempoh yang cukup untuk mengambil langkah perlu bagi melaksanakan peraturan itu termasuk membiasakan diri dengan penggunaannya.

"Sekarang masih ada 33 hari lagi untuk pengguna memastikan mereka dapat membiasakan penggunaan tali keledar belakang... (mulai 1 Januari) kalau tidak pakai kita tetap akan saman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran Keselamatan Jalan Raya 2008 di sini semalam.

Beliau menambah, kempen advokasi pemakaian tali keledar belakang yang bermula 1 Jun lalu kini giat dilakukan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bagi menyedarkan pengguna agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika memandu dan tidak melanggar undang-undang yang ditetapkan.

Read More...

Anwar tidak ulas kegagalan 16 Sept

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Nov 29, 08 1:30pm

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjelaskan punca kegagalannya menukar kerajaan persekutuan, atau "projek 16 September", walaupun beliau dijangka mengulas panjang isu itu seperti dinanti-nantikan banyak pihak dalam kongres pertama PKR selepas pilihanraya umum Mac lepas.

Semalam, timbalan presiden parti itu Dr Syed Husin Ali berkata, beliau menjangkakan perkara itu akan dijelaskan tokoh utama PKR itu dalam kongres tahunan kelima parti itu yang bermula di Shah Alam hari ini.

pkr national congress 291108 anwar ibrahim3Akibat kegagalan tersebut, media menuduh Anwar berbohong dan terhadap ahli-ahli PKR dalam pergerakan Wanita dan Angkatan Mudanya yang percaya dengan dakwaan sedemikian, kata Dr Syed Husin.

Mengakui projek itu "belum berhasil", Anwar berkata:

"Peralihan kuasa bagi kita bukan percaturan politik peribadi.

"Peralihan kuasa bagi kita adalah menegakkan suatu sistem yang adil, media yang bebas, badan kehakiman yang bebas, polis yang profesional, pimpinan yang tidak rasuah dan tamak haloba menekan rakyat.

"Itu maksud peralihan kuasa. Dan peralihan kuasa belum berhasil pada 16 September."

Anwar juga tidak mengadakan sidang media selepas menyampaikan ucapannya. Beliau disebut-sebut akan mengulas isu ini dalam ceramahnya malam ini di tempat yang sama.

Berucap di kongres PKR tengah hari ini, Anwar sekali lagi membidas para pemimpin Umno yang "terus memainkan api perkauman seolah-olah mereka jaguh Melayu tulen".

Tambahnya, semua pemimpin Pakatan Rakyat yang pelbagai kaum tidak mempertikaikan dasar yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Melayu, Dayak, Dusun, Bajau, Melanau, Kadazan, Cina, India tidak perlu apolegetik untuk bermaafan -- untuk mengatakan kami (anggota Pakatan) tidak lupa dasar yang termaktub dalam perlembagaan di negara kita.

"Itu dasar kita. Kita harus jawab serangan mereka," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan label anti-Melayu yang dikenakan terhadap DAP oleh "jaguh-jaguh Melayu baru" seperti ucapan-ucapan mereka di dalam Parlimen.

Read More...

PAS kutuk serangan di Mumbai - Mahfuz

Harakahdaily

Wan Nordin Wan Yaacob
Sat | Nov 29, 08 | 2:30:54 pm MYT

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menyatakan PAS mengutuk serangan yang berlaku ke atas tempat-tempat awam di Mumbai 27 November lalu.

Seramai 125 orang terbunuh, manakala 287 lagi cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata melancarkan serangan ke atas dua buah hotel mewah, hospital, stesen kereta api dan beberapa kawasan tumpuan pelancongan di bandar raya ini sejak malam semalam.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena menyatakan, PAS bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga mangsa serangan dan mengucapkan takziah kepada Kerajaan India.

PAS tidak menyokong sebarang aktiviti keganasan terutama sekali kepada orang awam, namun mengingatkan kuasa-kuasa besar agar tidak menjadikan tindak-tanduk mereka menyemarakkan aktiviti keganasan.

"Kita tidak menyokong perbuatan pengganas, namun perlu diingatkan kuasa-kuasabesar seperti Amerika Syarikat lah yang melakukan tindakn mendiskrimiasi hingga wujudnya kelompok pengganas ini yang akhirnya membahayakan nyawa awam," ujarnya.

PAS meminta masyarakat dunia terutamanya kuasa-kuasa besar seperti Amerika menghentikan tindakan berunsur diskriminasi terhadap negara kecil yang menyebabkan berlakunya keganasan.

Dalam kejadian ngeri di Mumbai 27 November, pihak berkuasa India masih belum jelas siapakah dalang di sebalik kejadian itu, namun Perdana Menteri, Manmohan Singh menyalahkan kumpulan pejuang Islam di kawasan sempadan sebagai suspek utama.

Kumpulan kecil militan lengkap bersenjata melepaskan tembakan rambang dan melontar bom dalam serangan ke atas kedua-dua hotel mewah tersebut, sebuah hospital dan sebuah stesen kereta api sejak lewat malam tadi serta sebuah kafe popular yang kerap dikunjungi pelancong asing.

Anggota keselamatan dan kumpulan bersenjata berbalas tembakan ketika komando dan polis menggempur salah sebuah hotel berkenaan bagi membebaskan tebusan.

Bagaimanapun keadaan kini agak terkawal, namun berpuluh-puluh pelancong asing dan tempatan masih terperangkap di dalam Hotel Taj Mahal berusia 105 tahun dan sebuah lagi hotel lima bintang, Hotel Trident Oberoi di pusat bandar Mumbai, yang menjadi sasaran serangan.

"Ramai yang terperangkap di dalam dua hotel berkenaan dan kami mendapat laporan berlakunya tembak-menembak terutama di Hotel Taj Mahal,� ujar seorang pegawai bertugas di bilik kawalan polis Mumbai.

Komando dan pasukan polis bersenjata masih lagi berkawal di dalam dan di sekitar hotel itu setelah kumpulan ini menjadikan warga tempatan dan asing sebagai tebusan.

Menurut polis, mereka telah menembak mati empat lelaki bersenjata dan menahan sembilan suspek, manakala 12 anggota polis terbunuh termasuk ketua skuad antikeganasan, Hemant Karkare dalam kejadian tembak-menembak di Hotel Taj Mahal.

Manmohan Singh mengecam kejadian itu yang disifatkan sebagai terburuk pada tahun ini dan menyalahkan kumpulan pengganas yang mempunyai pertalian dengan kumpulan dari luar.

"Serangan ini dilakukan oleh mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan pengganas asing dan ia dilakukan dengan perancangan yang teliti.

"Ia dilakukan bagi mencetuskan suasana tidak selamat di dalam negara dengan memilih kawasan-kawasan yang berprofil tinggi sebagai sasaran," kata Manmohan Singh melalui siaran televisyen semalam.

Sementara itu, hari ini dilaporkan pasukan komando India membunuh sembilan anggota militan ketika menggempur kumpulan bersenjata bagi menamatkan drama serangan nekad oleh kumpulan tersebut ke atas beberapa logistik di bandar raya ini malam kelmarin, yang telah mengorbankan 143 orang dan hampir 300 yang lain cedera.

Lima warga Israel yang ditahan di Pusat Pertubuhan Yahudi terbunuh manakala dua anggota komando maut apabila pasukan elit India itu menggempur pusat tersebut bagi menyelamatkan tebusan rakyat Israel di sana./wann _

Read More...

Kenyataan Soi Lek biadab

Utusan Online

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pewaris menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang menolak konsep ketuanan Melayu sebagai kurang ajar dan biadab.

Timbalan Presidennya, Rahimuddin Md. Harun berkata, kenyataan itu boleh menimbulkan provokasi di kalangan bangsa Melayu dan bangsa lain di negara ini.

"Kenyataan berbaur perkauman itu tidak sepatutnya keluar dari mulut Sio Lek hanya semata-mata untuk menaikkan populariti beliau yang pernah mempunyai skandal seks dahulu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Soi Lek yang menolak konsep ketuanan Melayu yang disifatkan beliau sebagai tidak lagi relevan.

Rahimuddin berkata, sebagai bekas menteri, Soi Lek sepatutnya lebih faham akan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tentang kedudukan orang Melayu dan bumiputera serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, umat Islam dan bangsa Melayu tidak akan berdiam diri lagi jika penghinaan terus dilakukan oleh kaum lain.

Beliau meminta agar isu perkauman tidak dijadikan bahan untuk perdebatan kerana keamanan dan keharmonian adalah amat penting.

"Ingin diingatkan di sini agar kita tidak mahu tragedi 13 Mei 1969 berulang lagi hanya kerana sifat dengki dan iri hati oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera," tegasnya.

Read More...

Komando bebaskan Hotel Taj, kekacauan di Mumbai berakhir

Mstar Online

KEKACAUAN berakhir..Pasukan komando India berjaya menumpakan saki baki pengganas kira-kira pukul 8 pagi (waktu tempatan) hari ini. -foto AP

[DIKEMAS KINI] MUMBAI: Pasukan komando India berjaya menumpaskan saki baki pengganas yang menawan hotel Taj Mahal Palace, selepas berlaku pertempuran sengit dengan anggota kumpulan militan itu.

Pertempuran yang berlanjutan dengan anggota militan itu berakhir kira-kira pukul 8 pagi (waktu tempatan) hari ini selepas baki tiga lagi pengganas terbunuh di dalam hotel itu lebih kurang 60 jam selepas mereka merampas hotel berkenaan.

Semalam dua lagi terbunuh di dalam hotel itu. Sekurang-kurangnya 20 hingga 30 lelaki bersenjata dipercayai memasuki hotel mewah itu.

Menurut seorang pegawai keselamatan, dua daripada anggota militan merupakan pelatih di hotel itu sejak 10 bulan lepas, manakala dua anggota kumpulan mereka menempah masuk bilik deluxe tiga hari sebelum merampas hotel itu.

"Kami tidak boleh mengatakan operasi telah tamat. Walaupun tiga pengganas terbunuh hari ini, berdasarkan laporan media mungkin ada (lebih) lagi yang masih bersembunyi di dalam dan penembak tepat kami melakukan pemeriksaan pintu ke pintu.

"Ia mengambil masa yang lama kerana mereka adalah pengganas yang terlatih," kata ketua pengarah National Security Guard (NSG) JK Dutt kepada media selepas operasi itu hari ini.

"Terdapat laporan dalam media dan laporan daripada mereka yang tinggal di hotel itu, bahawa bukan hanya seorang (pengganas) tetapi ada lima pengganas. Kami telah katakan sekurang-kurangnya ada tiga pengganas di dalam. Kami dapat mayat tiga pengganas hari ini," katanya.

Beliau berkata komando NSG akan melakukan 'pembersihan' di seluruh hotel itu dalam tempoh beberapa jam akan datang bagi mencari mayat lain dan tetamu hotel yang selamat.

Pegawai-pegawai bimbang kemungkinan beberapa tetamu hotel masih terperangkap di dalam hotel itu.

Kebakaran berlaku di beberapa bahagian hotel pagi ini selepas anggota militan meletupkan bom tangan di akhir pertempuran, tetapi anggota bomba berjaya memadamkannya. Hotel itu mengalami kerosakan teruk.BERNAMA

BERITA TERDAHULU

MUMBAI: Polis melaporkan serangan di Hotel Taj Mahal kini berakhir, hampir mencapai matlamat untuk tiga hari pertempuran di sini di mana lebih daripada 150 orang telah terbunuh.

Ketua Polis Mumbai Hasan Ghafoor berkata kepada AP: "Operasi di Hotel Taj Mahal kini berakhir. Dua pengganas terakhir yang bersembunyi di sana telah terbunuh.''

Ini telah menamatkan satu daripada serangan yang paling mengakibatkan kebinasaan di India. Keganasan itu bermula Rabu lalu apabila penyerang-penyerang menyerbu 10 buah tempat merentasi Mumbai, ibu negara komersial India.

Pihak berkuasa yang terlibat mencari siapa angkara sebalik serangan ini, mendakwa ia dilakukan oleh kumpulan yang tidak dikenali sebelum ini yang mengelarkan diri sebagai Deccan Mujahideen.

Lima belas pelancong adalah antara yang terbunuh. AP

BERITA TERDAHULU

MUMBAI: Pertempuran senjata antara komando India dan anggota militan berterusan di Taj Mahal Palace Hotel, sejak malam tadi hingga awal pagi ini, dalam usaha akhir pasukan keselamatan untuk menumpaskan saki baki anggota pengganas.

Sejak semalam, angota komando berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya 30 orang yang ditahan di hotel itu sejak Rabu malam, apabila sekumpulan pengganas melancarkan serangan di bandar ini.

Sejumlah pengganas di hotel Taj terbunuh dalam Operasi Black Tornado itu, manakala sejumlah kecil lagi masih bertempur dengan pasukan keselamatan sejak lebih 50 jam lepas, atau mulai awal pagi Sabtu.

"Ini operasi yang unik," kata ketua pengarah National Security Guard (NSG) JK Dutt kepada pemberita malam tadi.

"Kami telah hantar pasukan NSG yang baru, kami tidak mahu lagi kehilangan nyawa. Operasi ini berjaya dan berdasarkan tembakan yang dilepaskan masih terdapat dua hingga tiga orang pengganas di dalam hotel itu," katanya.

Lebih 40 letupan didengar daripada hotel itu apabila anggota militan yang terdesak melemparkan bom tangan dan melepaskan tembakan berterusan ke arah pasukan komando. Petang semalam, dua wartawan cedera ringan apabila terkena serpihan bom tangan.

Seni bina hotel itu, dengan tangga yang berpusing dan bilik tersembunyi menyukarkan pasukan keselamatan menumpaskan anggota militan, yang jumlahnya antara 20 dan 30 orang ketika mereka menawan hotel itu.

Pasukan keselamatan juga menemui hampir 25 kg bahan letupan RDX di dalam hotel mewah itu.

Letupan dan tembakan berterusan dari beberapa bahagian hotel warisan itu yang mempunyai bangunan lama dan baru memusnahkan sebahagian hotel yang berusia satu abad itu.

Sementara itu, komando NSG petang semalam membebaskan Oberoi Trident dan Nariman House, yang turut ditawan pengganas sejak Rabu. BERNAMA

Read More...

Harga sayur naik


HARGA cili merah dijual pada harga RM16 sekilogrami
di Pasar Pudu semalam.


KUALA LUMPUR - Masalah bekalan yang semakin berkurangan ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini merupakan antara penyebab berlakunya peningkatan terhadap harga sayur-sayuran secara mendadak di pasaran ketika ini.

Tinjauan di beberapa pasar sekitar ibu negara mendapati, harga beberapa jenis sayur-sayuran meningkat hampir 100 peratus berbanding pada Oktober lalu.

Perkara itu diakui oleh seorang peniaga di Pasar Pudu, Wong Sew Eai, 49, yang menyatakan dia terpaksa menjual sayur-sayuran dengan harga yang tinggi disebabkan penetapan harga oleh pemborong.

"Sayur yang cepat naik ialah cili merah, cili kecil, salad, kangkung dan bayam," kata- nya yang turut memaklumkan bahawa kenaikan harga telah menjejaskan pendapatan hariannya.

Dengan sebab itu, cili merah terpaksa dijual pada harga RM16 sekilogram berbanding RM8 sebelum ini, salad daripada RM4 kepada RM6 sekilogram, manakala cili kecil dijual pada harga RM10 sekilogram berbanding RM5 pada bulan lalu.




Sementara itu di Kuantan, harga sayur-sayuran naik mendadak di pasaran negeri ini berikutan dakwaan bekalan terhad akibat hujan yang berlarutan di beberapa dae- rah pengeluar sayur terutama di Cameron Highlands, Kuala Lipis dan Temerloh.

Tinjauan di Pasar Besar Kuantan semalam mendapati, harga sawi naik sebanyak RM1.50 kepada RM5.50 sekilogram, manakala tomato RM8 berbanding RM6 sebelum ini.

Harga lada hijau pula naik kepada RM9.50 bagi setiap kilogram berbanding RM8 pada minggu lalu, disusuli lada merah meningkat sebanyak RM2 kepada RM9.

Di Johor Bahru, harga sayur di sekitar daerah ini dijual bercampur-campur dan tinjauan di beberapa pasar mendapati, terdapat sayur yang dijual pada harga yang rendah berbanding minggu lepas, begitu juga sebaliknya.

Di Pasar Awam Larkin, harga bayam hijau dan cili merah dijual lebih murah iaitu sekitar RM2.50 dan RM11 sekilogram berbanding minggu lalu masing-masing RM3.67 dan RM14.

Harga bagi sayur seperti halia tua pula masih dijual sama seperti minggu lalu iaitu RM4 sekilogram, kacang buncis (RM6), kangkung cina (RM2.50), kobis bulat yang diimport (RM3), kobis bunga (RM6), kobis panjang (RM4) dan timun (RM3).

Di Pasar Awam Ulu Tiram pula, antara sayur yang mengalami kenaikan harga sebanyak 50 sen berbanding minggu lalu masing-masing ialah kacang buncis (RM6.50), kobis bunga (RM6.50) dan kobis panjang (RM4.50).

Di Perak pula, tinjauan Kosmo! di Pasar Besar Ipoh di sini mendapati, beberapa sayur seperti cili merah, kangkong, sawi, timun, menyaksikan kenaikan harga.

Cili merah yang biasanya dijual pada harga RM10 sejak Hari raya Aidilfitri kini dinaikkan kepada RM16 sekilo- gram oleh kebanyakan peniaga di pasar tersebut.

Read More...

Petronas untung RM63b

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) mencatat kenaikan keuntungan sebelum cukai sebanyak 48.6 peratus bagi enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2008 kepada RM63.26 bilion berbanding RM42.57 bilion untuk tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Perolehan bagi syarikat petroleum itu bagi tempoh kewangan tersebut adalah sebanyak RM157.20 bilion berbanding RM102.86 bilion untuk tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, Petronas dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai faktor kenaikan dalam prestasi kewangannya.

Untung bersih bagi tempoh berkenaan juga meningkat sebanyak 46 peratus kepada RM38.64 bilion berbanding RM26.47 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Penyumbang terbesar kepada perolehan bagi tempoh kewangan berkenaan adalah daripada segmen perniagaan minyak sebanyak 49.8 peratus dengan nilai sebanyak RM78.22 bilion," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, daripada jumlah tersebut, produk petroleum yang ditapis menyumbang sebanyak RM60.72 bilion manakala bakinya daripada dagangan minyak mentah.

Penyumbang kedua terbesar kepada perolehan kumpulan pula adalah daripada segmen penerokaan dan pengeluaran yang menyumbang sebanyak 19.7 peratus bernilai RM30.87 bilion, tambah kenyataan itu.

Daripada jumlah berkenaan, minyak mentah menyumbang sebanyak 18 peratus bernilai RM28.19 bilion manakala gas asli sebanyak 1.7 peratus berjumlah RM2.68 bilion.

Menurut kenyataan itu, perniagaan gas pula adalah penyumbang ketiga terbesar kepada perolehan Petronas sebanyak 17.9 peratus, yang mana gas asli cecair (LNG) menyumbang 14.4 peratus dengan nilai berjumlah RM22.67 bilion manakala gas yang diproses pula menyumbang 3.5 peratus bernilai RM5.49 bilion.

Selain itu menurut kenyataan itu, segmen perniagaan domestik telah menyumbang sebanyak RM31.53 bilion (20 peratus) kepada perolehan syarikat, pasaran eksport sebanyak RM56.70 bilion (36.1 peratus) manakala operasi luar negara berjumlah RM68.95 bilion (43.9 peratus).

Kenyataan Petronas itu menjelaskan, lebihan baki tunai bagi tahun kewangan tersebut adalah sebanyak RM72.23 bilion berbanding RM71.45 bilion tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, syarikat petroleum itu memberitahu, perbelanjaan modal bagi tempoh kewangan berkenaan adalah sebanyak RM23.18 bilion berbanding RM13.29 bilion untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, daripada jumlah berkenaan, segmen penerokaan dan pengeluaran membabitkan peruntukan RM18.53 bilion, minyak sebanyak RM1.15 bilion, gas dan petrokimia masing-masing RM604 juta dan RM501 juta manakala peruntukan untuk segmen perkapalan adalah RM2.07 bilion.

Perbelanjaan modal untuk segmen demografik bagi tahun kewangan tersebut adalah sebanyak RM23.18 bilion berbanding RM13.29 bilion.

Petronas berkata, daripada jumlah tersebut, perbelanjaan modal untuk segmen domestik adalah sebanyak RM10.72 bilion manakala pasaran antarabangsa berjumlah RM12.45 bilion.

Read More...

Isu Mumbai - 93 lagi tahanan bebas

ATENDAN penerbangan keluar dari Hotel Trident selepas dibebaskan anggota keselamatan di Mumbai, semalam.

PM Pakistan hubungi Manmohan isu keganasan di Mumbai

ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Yusuf Raza Gilani, semalam mengutuk serangan di Mumbai dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya di India, Manmohan Singh, sambil memberitahu negaranya turut menjadi mangsa keganasan dengan laporan terbaru menyatakan 93 lagi tetamu hotel dibebaskan anggota keselamatan.

Seorang pegawai kanan di pejabat perdana menteri itu berkata, Gilani yang menghubungi Manmohan menerusi telefon 'mengutuk sekeras-kerasnya serangan'.

"Gilani memberitahu Manmohan Singh bahawa Pakistan juga menjadi mangsa keganasan dan sengsara seperti juga India," katanya.

Satu kenyataan pejabat Gilani menyatakan, beliau juga menyatakan sokongan penuh kepada India untuk secara bersama menentang keganasan dan puak pelampau.

Panggilan telefon dibuat sehari selepas Manmohan dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen berkata perancang keganasan mempunyai pangkalan 'di luar negara' dan memberi amaran terhadap 'jiran' yang menyediakan anggota militan anti-India, kenyataan yang ditafsirkan banyak pihak sebagai tuduhan terhadap Pakistan.

Pakistan menafikan sebarang pembabitan dalam serangan itu yang boleh menjejaskan usaha mencapai perjanjian damai antara kedua-dua negara mengenai wilayah Kashmir yang menjadi punca pertelagahan.

Yusuf Raza Gilani

Sementara itu, sekurang-kurangnya 93 orang kebanyakannya rakyat asing, dibebaskandari hotel Oberoi dan Trident, lebih 36 jam selepas militan bersenjata merampas bangunan itu, kata polis.

Tetamu itu termasuk seorang bayi, beredar selepas operasi menyelamat seorang anggota tentera dan polis. Mereka diarah menghala ke sebuah bas mini yang menunggu sebelum dibawa pergi.

Sesetengah tetamu bercakap pada telefon bimbit ketika mereka melalui media sambil enggan mengulas. Yang lain membawa beg komputer riba atau beg baju namun ramai hanya sehelai sepinggang. � AFP

Read More...

Zaid Ibrahim antara yang hadir dalam perasmian Kongres KeADILan pagi ini

Harakahdaily

Roy Rasul dan Wan Nordin
Sat | Nov 29, 08 | 10:14:08 am MYT

SHAH ALAM, 29 Nov (Hrkh) - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim turut menjadi tetamu yang hadir dalam Perasmian Kongres Tahunan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) di Stadium Malawati Shah Alam pagi ini.

Kehadiran Zaid bersama beberapa lagi tokoh politik termasuk Dato' Yong Teck Lee dari SAPP dan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar mendapat tepukan gemuruh kalangan perwakilan yang menunggu di dalam Stadium.

Beberapa minit selang selepas kehadiran Zaid, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim tiba dengan disambut laungan reformasi.

Sebelum ini Zaid menjadi menteri yang mencetus kontroversi berikutan meletakkan jawatan dalam isu ISA.

Peletakan jawatan beliau menjadi tanda tanya hingga ada yang menyatakan kemungkinan beliau akan menyertai Pakatan Rakyat.

Kongres pagi ini akan dirasmikan oleh Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekali gus beliau akan menyampaikan ucapan dasar kongres.

Suasana di dalam Stadium kini semakin sesak dengan kebanjiran perwakilan dan pemerhati selain pihak media yang membaut liputan penuh kongres KeADILan kali ini.

Seluruh kepimpinan KeADILan di peringkat pusat, Pemuda dan Wanita telah sampai dan sedang menunggu untuk perasmian.

Pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir ialah, Niab Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa; Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Kahlid Samad; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; AJK PAS Pusat, Dr Lo Lo Mohd Gahazali yang juga ahli Parlimen Titiwangsa; Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad; Karpal Sing (DAP) dan Teresa Kok./wann _

Read More...

Wakil AMK: Mawi tampal poster PKR

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Nov 28, 08 4:15pm

Seorang perwakilan di kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa penyanyi popular Asmawi Ani, atau lebih dikenali sebagai Mawi, pernah terlibat membantu PKR dalam pilihanraya umum 1999.

Pembahas dari Johor, Zabidie Abas berkata, bintang paling popular Akademi Fantasia itu pernah menampal poster bersama jentera parti di negerinya.

mawi concert 1 in kota bharu 041005 singing"Kita hendak imbas kembali nostalgia beliau (Mawi) panjat pokok kelapa (menampal poster) bersama kita," katanya sewaktu membahaskan ucapan dasar ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin bertemakan 'Memimpin Harapan Rakyat'.

"Saya dari Kulai, Mawi dari Kulai. Tuan-tuan tahu, dulu beliau bersama-sama saya tampal poster. Dia jentera bawah saya," katanya, disambut tepukan gemuruh daripada hampir 600 perwakilan pergerakan itu dari seluruh negara.

Pembahas pertama itu yang tampil di pentas petang ini menyarankan PKR mengambil sikap mendekati golongan seniman, termasuk penyanyi yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat.

Ditemui pemberita selepas pembentangannya, beliau berkata Mawi pernah bergiat bersama PKR dalam pilihanraya umum ke-10 dan menyertai parti itu di bahagian Senai.

Bagaimanapun, katanya, senarai keahlian yang dikeluarkan PKR tahun ini tidak menyebutkan nama Mawi.

Cerita mengenai Mawi itu turut menarik perhatian seorang lagi perwakilan pembahas yang turut menyentuh perkara itu apabil tiba gilirannya naik ke pentas.

Memulakan perbahasannya, perwakilan daripada Pahang, Nizal Jamin secara berseloroh berkata: "Kita di Pahang kalah sikit daripada Johor. Di Kuala Lipis, Siti Nurhaliza belum gantung poster kita lagi."

Read More...

Presiden Pas Tunai Haji

msomelayu

PRESIDEN Pas, Abdul Hadi Awang bersama isterinya siang tadi selamat berangkat ke tanah suci untuk mengerjakan Haji dengan menaiki penerbangan komersial (MAS). Ikut bersama Abdul Hadi ialah Ketua Pemuda Pas, Sallahuddin Ayub bersama isteri dan Setiausaha Politiknya.
Abdul Hadi selama berada di Makkah akan menjadi tetamu kerajaan Arab Saudi.

Satu penerbangan bersama Abdul Hadi ialah Pengerusi Shapadu, Sharani. Sebelum menaiki pesawat kedua mereka dikatakan bersembang lama di bilik menunggu.

Beberapa pemimpin Pas turut berada di lapangan terbang untuk mengucap selamat jalan kepada Abdul Hadi. Antara mereka ialah, Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas, Mustapa Ali, timbalannya yang juga ahli Parlimen Kota Bharu, Wan Abdul Rahim.

Ikut sama menghantar Abdul Hadi ialah Yang Dipertua Pas Kawasan-Kwasan di seluruh Selangor dan Unit Amal Wilayah Persekutuan.

Abdul Hadi dijangka berada di Makkah selama dua minggu dan dijangka akan turut mengadakan pertemuan tidak langsung dengan beberapa pihak dari Malaysia.

Sebagai rekod Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi sudah tiga hari berada di Makkah manakala Setiausaha Politik Perdana Menteri, Alwi Che Amat akan berangkat ke Makkah lusa. [k trg. 8:00 pm 27/11/08]

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |