+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, January 1, 2009

PM kesal harga barangan masih tinggi

Malaysiakini

Dec 31, 08 1:09pm

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kesal kerana harga barangan masih tinggi walaupun harga petrol turun tujuh kali sejak Ogos lepas, malah lebih rendah daripada harga sebelum ia dinaikkan pada Jun.

"Saya sekali lagi menyeru semua pengeluar, pengilang, pengedar dan peniaga barangan agar bertimbang rasa dan prihatin terhadap keperitan rakyat dan sama-sama menurunkan harga barangan demi kesejahteraan mereka," kata perdana menteri dalam amanat tahun baru 2009 yang disiarkan malam ini.

Beliau menambah, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk memelihara kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara, termasuk memberi bantuan seperti bayaran rebat kenderaan dan subsidi beras untuk meringankan kesusahan rakyat.

"Apabila harga minyak dunia turun, faedah daripadanya terus disalurkan kepada rakyat," katanya, lapor agensi berita Bernama.

Abdullah juga berkata walaupun krisis ekonomi dunia diramalkan cukup mencabar pada 2009, kerajaan berazam mengambil langkah berkesan untuk memelihara kekuatan ekonomi negara dan melindungi kepentingan rakyat.

Ia akan terus bertindak secara prihatin dan bertanggungjawab serta memantau corak dan perkembangan ekonomi dunia dan mengambil langkah wajar menghadapinya, tambahnya.

Abdullah berkata Malaysia mempunyai beberapa kelebihan yang dapat membantu menghadapi keadaan dengan lebih berkesan daripada banyak negara lain.

"Sektor kewangan kita adalah kukuh, tidak seperti waktu krisis kewangan satu dekad yang lalu.

"Rizab kewangan negara berada pada paras yang tertinggi dalam sejarah kita, iaitu 37 peratus berbanding jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Institusi kewangan kita mempunyai modal yang kukuh dan dikawal selia secara berhemah. Ekonomi negara kita bersifat pelbagai dan tidak bergantung kepada satu sektor tertentu semata-mata," perdana menteri dipetik berkata.

Katanya lagi, segala usaha akan diambil untuk merancakkan kegiatan ekonomi dengan menggembleng secara bijak sumber-sumber yang ada dan memberi penekanan kepada sumber dalaman iaitu pelaburan sektor awam dan swasta tempatan.

"Kerajaan telah menyuntik dana tambahan RM7 bilion dalam bentuk rangsangan agar ekonomi tidak akan mengalami kemelesetan, sebaliknya berupaya untuk terus berkembang," katanya.

Kerajaan juga akan memberi perhatian kepada projek berimpak tinggi yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya tahan negara seperti pembinaan lebih banyak rumah kos rendah, pemuliharaan dan baik pulih kemudahan awam dan peningkatan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, kata Perdana Menteri.

Abdullah berkata jika perlu, kerajaan akan mengambil langkah-langkah tambahan bagi memastikan ekonomi tetap berkembang dan permintaan dan penggunaan domestik terus meningkat.

Katanya kemampuan negara menghadapi cabaran tidak bergantung kepada keupayaan dan langkah-langkah dalam bidang ekonomi sahaja tetapi keutuhan dan integriti institusi negara, pentadbiran yang bersih dan cekap serta sistem kehakiman yang berwibawa amat penting untuk menjamin pengurusan ekonomi dan sosial yang baik dan mampu menarik keyakinan pelabur.

"Sehubungan ini, saya bersyukur kita telah mencapai kemajuan besar dengan kelulusan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman oleh Parlimen baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata langkah seperti itu penting untuk menjamin hak masyarakat terpelihara secara adil dan saksama terutamanya mereka yang kurang berupaya untuk mempertahankan hak mereka.

"Saya yakin dan percaya bahawa dengan niat suci dan semangat gigih, tiada gunung yang terlalu tinggi untuk kita daki dan tiada laut yang terlalu dalam untuk kita selami," kata Abdullah.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |