+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, March 8, 2009

Bahasa Melayu masih dominan


Kosmo Online

Kini terdapat lebih 300 juta penutur bahasa Melayu dengan dialek berbeza di seluruh dunia sekali gus menjadikannya bahasa keempat terbesar di dunia.


OLGA MADIMOVNA VASILEVSKAYA juara pidato PABM dua tahun lalu.


DIMULAKAN sejak tahun 2007, Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri 2009 (PABM 2009) ini merupakan inisiatif Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada tahun pertama, pertandingan itu hanya mempunyai satu kategori iaitu antarabangsa dengan 23 peserta mengambil bahagian. Tidak ada kategori Nusantara atau sebagainya.

Bilangan itu kemudiannya bertambah kepada 39 peserta dari 33 buah negara pada tahun 2008. Pertambahan itu membuatkan penganjur menambah jumlah kategori.

Memasuki edisi ketiga pada tahun ini, jumlah penyertaan kian besar dengan 46 peserta dari 39 buah negara. Ini termasuklah lima buah negara baru iaitu Belarus, Armenia, Republik Czech, Itali, dan Palestin.

Menurut syarikat yang menganjurkan PABM 2009, AG Bestari Events Sdn. Bhd., penyertaan diperoleh daripada pihak-pihak yang pernah berurusan dalam PABM sebelum ini, selain Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABAM) dan profesor-profesor yang mewakili benua atau zon di seluruh dunia.

Ia merupakan jemputan rasmi dari kerajaan Malaysia kepada negara atau universiti yang terlibat.

Manfaat utama PABM 2009 ialah membuktikan bahawa bahasa Melayu sudah berkembang ke enam benua di seluruh dunia.

Maklum balas positif yang diterima penganjur ialah terdapat permintaan belajar bahasa Melayu dialek Malaysia yang tinggi di Rusia, China, Korea Selatan dan Jepun.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa yang diminati oleh pelajar luar negara.

Selain PABM, kerajaan juga katanya berusaha mengembangkan bahasa Melayu dengan menubuhkan kursi-kursi pengajian Melayu dan pengajian bahasa Melayu di beberapa universiti ternama dunia.

Antara kursi itu termasuklah Kursi Tun Razak di Universiti Ohio, Amerika Syarikat, Kursi Pengajian Melayu Wilayah Eropah di Universiti Leiden, Belanda dan Kursi Pengajian Melayu di Universiti Victoria New Zealand.

Malah, University of Hawaii di Amerika turut menawarkan pengajian bahasa Melayu, kebudayaan, tarian dan alat muzik Melayu di sana.

Wakil dari AG Bestari pula menambah, apa yang lebih istimewa, tenaga pengajar di pusat pengajian terbabit bukan terdiri daripada orang Melayu. Profesor dari luar itu datang ke Malaysia atau Indonesia, kemudian kembali ke negara masing-masing dan membuka fakulti atau kursus bahasa Melayu.

"Saya fikir, dalam tempoh sedekad akan datang bahasa Melayu pasti berkembang. Tambahan pula Kementerian Pengajian Tinggi menubuhkan banyak kursi-kursi pengajian bahasa Melayu di luar negara," katanya.

Menurut Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), kini terdapat lebih 300 juta penutur bahasa Melayu dengan dialek berbeza di seluruh dunia. Ia sekali gus menjadikannya bahasa keempat terbesar di dunia.


AKSI Olga ketika berpidato pada tahun 2007.


Merupakan pertandingan tahunan, AG Bestari menyasarkan pertambahan bilangan peserta kepada lebih 50 orang yang dialeknya bahasa Melayu Malaysia, selain penyertaan dari 10 negara baru.

Tahun ini, Jerman, Scotland, Brazil, Argentina dan Uzbekistan tidak dapat menghantar wakil masing-masing.

PABM 2009 berlangsung dari 2 hingga 7 Mac 2009 di Auditorium Perdanasiswa, Universiti Malaya untuk peringkat saringan dan separuh akhir. Acara kemuncaknya akan diadakan di Dewan Planery, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pukul 8.30 malam, 6 Mac ini. Ia akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bertemakan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, pertandingan itu dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, Kementerian Penerangan dan Kementerian Pelancongan.

Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Nusantara dan Antarabangsa khusus untuk memberikan keadilan dalam pemilihan peserta terbaik untuk dinobatkan sebagai juara.

Kategori Nusantara terdiri daripada negara-negara yang digolongkan sebagai negara pengamal bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda mereka.

Ia meliputi Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, dan Thailand.

Setiap negara akan diwakili oleh dua orang peserta yang dipilih oleh kementerian atau pihak berkuasa di negara mereka.

"Kategori Antarabangsa menyaksikan penyertaan yang amat memberangsangkan. Mereka terdiri daripada anak watan yang mengambil jurusan bahasa Melayu sebagai kursus elektif di pusat-pusat pengajian tinggi di negara masing-masing.

"Sehingga tahun 2007, terdapat 129 buah institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian bahasa Melayu di 40 buah negara di seluruh dunia," kata Pengarah Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Profesor Dr. Mohd. Fauzi Ramlan.

Para peserta diberikan 10 tajuk yang bersifat tempatan dan sejagat. Mereka dikehendaki memilih satu tajuk sahaja untuk dikupas dan dibahaskan.


PEMENANG kategori Antarabangsa dan kategori Nusantara, dengan piala dan cek kemenangan Pidato PABM 2008.


PABM dianjurkan sebagai simbolik bahawa bahasa Melayu telah menjadi salah satu bahasa yang kukuh kedudukannya di seluruh dunia. Ia digunakan dengan meluas sebagai medium dalam menyampaikan buah fikiran dalam bentuk pengetahuan atau kesusasteraan.

"Mesej kepada orang Melayu, bahasa Melayu masih lagi dominan dan menjadi bahasa komunikasi antarabangsa. Kita mahu orang Melayu jangan malu dengan bahasanya sendiri," katanya lagi.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |