+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, April 2, 2009

Najib iringi Abdullah menghadap Agong hari ini, angkat sumpah esok

mstar online

MESYUARAT KABINET TERAKHIR...Perdana Metneri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempengerusikan mesyuarat Kabinetnya yang terakhir hari ini.

PUTRAJAYA: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini.

"Esok Perdana Menteri jemput saya untuk mengiringi beliau menghadap Agong.

"Jika mendapat perkenan Tuanku, Jumaat ialah harinya (beliau mengambil alih jawatan perdana menteri)," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Tamil di sini semalam.

Abdullah akan menghadap Tuanku Mizan bagi memohon perkenan berhubung isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri seperti mana yang telah dipersetujui dalam pelan peralihan kuasa antara beliau dan Najib sebelum ini.

Upacara angkat sumpah Najib sebagai Perdana Menteri keenam dijangka berlangsung esok di Balai Rong Seri, Istana Negara.

Difahamkan istiadat pengurniaan suratcara pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah menyimpan rahsia Najib akan diadakan pada pukul 10 pagi.

Ketika diminta mengulas mengenai pelantikannya nanti sebagai Perdana Menteri menggantikan Abdullah, Najib berkata pelantikan tersebut merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan sebaik mungkin.

"Saya amat isnaf bahawa ini satu tanggungjawab yang amat berat yang akan saya pikul.

"Saya rasa satu penghormatan yang amat besar, tapi lebih penting dari itu saya membawa perasaan keinsafan yang mendalam dan tawaduk bahawasannya ini bukan status atau pangkat tapi soal tanggungjawab...harapan rakyat kepada saya dan kerajaan amat besar," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan membawa senarai anggota Kabinet yang baru ketika menghadap Agong esok, Najib berkata: "Tidak...tidak...bukan esok."

Dalam pada itu Najib turut enggan mengulas mengenai laporan dan ramalan beberapa penganalisis politik yang mengatakan bahawa barisan Kabinet baru akan dikecilkan.

"Boleh kita tunggu masa yang lebih sesuai? Saya tidak mahu bercakap mengenainya sekarang...saya tidak buat apa-apa keputusan lagi mengenainya," katanya.

Najib turut ditanya sama ada beliau akan membariskan barisan anggota Kabinet di kalangan pemimpin Umno yang sedang disiasat oleh Lembaga Disiplin berhubung politik wang, beliau berkata perkara tersebut masih terlalu awal untuk diputuskan.

"Ini peringkat siasatan, kita tak tahu lagi apa hasil siasatan dan ia bergantung kepada dapatan Lembaga Disiplin.

"Saya tak dapat andaikan apa-apa, tentu ada banyak khabar angin...tapi kita tidak boleh buat kesimpulan berdasarkan khabar angin.

"Saya serah kepada Lembaga Disiplin, mereka akan buat tindakan yang difikirkan wajar," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |