+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, April 4, 2009

Pak Lah, Jeanne bergelar Tun

Berita Harian

Oleh Anwar Hussin
anwarhussin@bharian.com.my


ABDULLAH dan Jeanne selepas masing-masing menerima darjah Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) dan Seri Setia Mahkota (SSM) pada istiadat penganugerahan darjah itu di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam.

Anugerah disampai Seri Paduka selepas Najib angkat sumpah PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam dianugerahkan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SMN), anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran Tun, sebaik saja melepaskan jawatan Perdana Menteri yang dipegangnya selama lima tahun lima bulan.

Isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah pula menerima anugerah Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM), yang juga membawa gelaran Tun.


Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Balairong Seri Istana Negara di sini, sejurus selepas Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri keenam pada upacara yang bermula pada jam 10.05 pagi.

Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, serta orang kenamaan lain termasuk anggota Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Anugerah SMN yang diterima Abdullah adalah Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Pertama. Darjah Kebesaran ini terhad kepada 25 orang, tidak termasuk jumlah warga asing yang menerimanya sebagai anugerah kehormat.

Penyandang darjah ini membawa gelaran Tun, manakala isteri penyandang bergelar Toh Puan.

Anugerah SSM yang diterima oleh Jeanne adalah Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia pangkat pertama. Keanggotaan darjah itu juga terhad kepada 25 orang tidak termasuk warga asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

Abdullah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelima menggantikan Tun Dr Mahathir Mohammad yang menyerahkan tugas jawatan itu kepada Abdullah yang ketika itu timbalannya.

Abdullah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelima di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada 31 Oktober 2003.

Gelaran Tun sebelum ini pernah dianugerahkan kepada Perdana Menteri keempat, Dr Mahathir pada 31 Oktober 2003 iaitu hari terakhir Dr Mahathir melepaskan jawatan kepada Abdullah.

Gelaran Tun juga pernah dianugerahkan kepada bekas Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada 31 Ogos 1959 sempena ulang tahun kedua kemerdekaan negara. Beliau meninggal dunia pada 14 Januari 1976.

Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn turut dianugerahkan gelaran Tun pada 1981 dengan anugerah darjah sama. Turut menerima SSM yang membawa gelaran Tun ialah dua bekas Timbalan Perdana Menteri - Tun Dr Ismail Abdul Rahman pada 1966 dan Tun Ghafar Baba pada 1995.

Isteri Tun Abdul Razak, yang juga ibu Najib, Tun Rahah Mohd Noah turut menerima gelaran itu pada 1976.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |