+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, April 21, 2009

Wilayah: Tidak calon Hadi 'tradisi PAS'

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Apr 21, 09 1:37pm

PAS Wilayah Persekutuan nafi menolak kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden ekoran kebanyakan kawasan tidak mencalonkan sesiapa untuk jawatan tertinggi parti dalam mesyuarat agung tahunan masing-masing.

"Andaian bahawa kesemua (PAS) kawasan 'keberatan' untuk menamakan calon bagi jawatan presiden adalah tidak benar dan berniat jahat.

"Hakikatnya, saya menegaskan bahawa pencalonan bagi jawatan berkenaan sedang diteliti oleh (jawatankuasa) kawasan," kata setiausaha badan tersebut Hedzer Ibrahim hari ini.

"Dan itu adalah tanggungjawab mereka untuk menamakan siapa pemimpin yang mereka suka. Tidak timbul isu menolak kepimpinan presiden sekarang seperti yang digembar-gemburkan oleh Malaysiakini.

"Dimaklumkan juga bahawa semua pencalonan dari kawasan diserahkan terus kepada jawatankuasa pemilihan di peringkat PAS pusat tanpa perlu melalui badan perhubungan PAS Wilayah Persekutuan."

Tindakan beberapa PAS kawasan di Wilayah Persekutuan yang tidak membuat sebarang pencalonan dalam mesyuarat masing-masing bagi jawatan teratas - presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden untuk pemilihan parti itu Jun depan - menimbul tanda tanya.

Dalam kenyataan terbarunya, Hedzer berkata, menjadi tradisi bagi kawasan memberikan mandat kepada kepimpinan yang baru di kawasan masing-masing untuk menamakan calon-calon jawatan tertinggi parti itu.

Bagaimanapun, tambah beliau, PAS Titiwangsa "memecahkan tradisi" tersebut.

Difahamkan PAS Titiwangsa menamakan Abdul Hadi dan Nasharuddin Mat Isa masing-masing untuk mempertahankan jawatan presiden dan timbalan presiden.

Manakala PAS kawasan Bukit Bintang tidak membuat pencalonan bagi jawatan presiden, tetapi mencadangkan calon untuk jawatan timbalan dan naib presiden.

Difahamkan, kawasan tersebut dijangka membuat kejutan dengan mencalonkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat mencabar Abdul Hadi.

Kedua-dua pemimpin atasan PAS ini sering bergeser secara terbuka dalam isu kerajaan campuran dengan BN dan juga muzakarah dengan Umno.

Hedzer menambah, sama ada menyerahkan kepada jawatankuasa atau mesyuarat agung kawasan untuk berbuat demikian tidak bercanggah dengan perlembagaan.

"Perwakilan boleh mengunakan kuasa mereka untuk menentukan calon dalam mesyuarat agung atau sebulat suara memberikan mandat kepada kepimpinan yang baru," katanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, beliau menjelaskan, tradisi tersebut "diamalkan sejak dahulu lagi", termasuk menjelang pemilihan pada muktamar tiga tahun lalu.

Hedzer menambah, ia merupakan "kesefahaman" dan bukanlah sesuatu yang ditetapkan.

Beliau juga menafikan tindakan tersebut tidak menggambarkan pandangan sebenar perwakilan kerana mandat tersebut diberikan dalam mesyuarat agung tahunan kawasan masing-masing.

Menurutnya, pencalonan yang dibuat menggambarkan hasrat akar umbi kerana terdapat wakil-wakil cawangan menganggotai jawatankuasa PAS kawasan.

Ditanya sama ada amalan itu patut diubah bagi mengelakkan salah faham, beliau menyerahkan perkara itu kepada kawasan masing-masing.

Berhubung cadangan mencalonkan Nik Abdul Aziz sebagai presiden, Hedzer berkata laporan Malaysiakini semalam "propaganda media yang tidak beretika."

Menurutnya, tindakan tersebut "boleh mendorong tanggapan negatif terhadap PAS Wilayah", sekali gus "menganggu perjalanan mesyuarat" kawasan dan dua sayap lagi dewannya – Pemuda dan Muslimat – yang sedang berlangsung hingga bulan depan.

Tambahnya, kewujudan kumpulan pro-muzakarah dan pro-Pakatan (atau "kumpulan Erdogan") hanyalah "persepsi terpencil" yang diperbesarkan media dan "tidak wujud".

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |