+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, March 22, 2008

Dr Mahathir Sokong Cadangan Mesyuarat Agung Luar Biasa

Bernama

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau menyokong cadangan anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah supaya Umno mengadakan mesyuarat agung luarbiasa pada 11 Mei depan.


Beliau berkata mesyuarat agung luarbiasa itu perlu diadakan bagi membincangkan sebab-sebab mengapa Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno hilang majoriti dua pertiga dan mengalami kekalahan di lima buah negeri pada pilihan raya umum lepas.

Beliau mendakwa banyak orang termasuk anggota Umno mengundi parti pembangkang bukan kerana mahu menyokong parti lawan, tetapi disebabkan mereka tidak menyukai kepimpinan parti tersebut.

"Tetapi mereka takut untuk menyuarakan pendapat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku bertajuk "Management Astray: Resuscitating Ailing Organisations" yang ditulis Allayarham Tan Sri Basir Ismail, di sini.

Ditanya sama ada beliau menyokong hasrat Tengku Razaleigh bertanding jawatan Presiden Umno bagi memulihkan parti itu, beliau berkata soal siapa mahu bertanding sepatutnya dibincangkan selepas mesyuarat agung luar biasa tersebut.

Dr Mahathir berkata: "Mungkin ada orang lain juga berminat nak jadi presiden, jadi kena beri peluang kepada semua orang. Bukan soal presiden, soalnya Umno. Apa yang kita lihat pada pilihan raya lepas ramai anggota Umno telah mengundi parti lawan.

Beliau berkata rasa takut untuk menyuarakan pendapat di kalangan anggota Umno tampak jelas kerana tiada seorangpun anggota Umno yang berani menyokongnya semasa beliau menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan berikutan kekalahan teruk BN dalam pilihan raya umum. "Namun saya berjumpa dengan banyak daripada mereka ini yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan pucuk pimpinan (sekarang)," dakwa beliau.

Beliau mendakwa anggota Umno sekarang tidak berani menyuarakan pendapat mereka tentang kepimpinan parti kerana takut diambil tindakan sekiranya mengatakan sesuatu yang tidak disukai kerajaan.

Ditanya sama ada Umno kemungkinan berpecah jika Tengku Razaleigh mencabar presiden parti, Dr Mahathir berkata semasa beliau menjadi presiden Umno dan Perdana Menteri, Umno berpecah sebanyak dua kali tetapi bercantum semula.

Dr Mahathir juga mencadangkan Umno meminda perlembagaannya untuk memperuntukkan penubuhan majlis presiden untuk menasihatkan presiden kerana "kita tidak boleh mengamanahkan terlalu banyak kuasa pada satu orang".

Beliau berkata anggota majlis itu tidak boleh dipilih oleh bahagian parti kerana mereka kemungkinan dimanipulasi, dan mereka sepatutnya terdiri daripada anggota parti yang tidak cenderung kepada mana-mana pihak serta orang luar daripada golongan profesional.

Katanya perkara itu perlu kerana akhir-akhir ini Majlis Tertinggi Umno didapati tidak efektif berikutan anggota menganggap tindakan mengkritik pucuk pimpinan sebagai sikap tidak hormat.

Mengenai 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan amal Melayu yang bersepakat menubuhkan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) untuk menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik, beliau berkata ia baik tetapi perlu dilihat kepada tujuan ia ditubuhkan.

Mengenai tiada wakil Wanita Umno dalam Kabinet, beliau berkata mereka sepatutnya memprotes tetapi beliau mendengar "pemberontakan itu hanya sekerat jalan sahaja dan selepas itu kata, saya sokong".

Ditanya mengenai ada cubaan membeli anggota Parlimen dari BN untuk menyertai pembangkang, beliau secara sinis berkata ia berlaku pada kedua-dua pihak dan `ia sangat demokratik'.

-- BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |