+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, March 30, 2008

Idris, Ahmad berpelukan

Malaysiakini

Mar 30, 08 1:19pm

Bekas menteri besar Terengganu Datuk Idris Jusoh hadir di majlis angkat sumpah penggantinya Datuk Ahmad Said pagi ini.

Kedua-duanya juga berdakapan selepas acara itu - menjelaskan lagi kenyataan Ahmad kelmarin bahawa beliau tidak bermusuh dengan Idris.

Semua 22 wakil-wakil rakyat lain BN, awalnya menentang pelantikan Ahmad, menghadiri majlis angkat sumpah.

Majlis itu diadakan di hadapan Pemangku Sultan Terengganu Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah, Kuala Terengganu.

Krisis pelantikan menteri besar negeri itu mula menunjukkan tanda utama penyelesaian apabila Majlis Tertinggi (MT) Umno memperakui pelantikan Ahmad yang dilantik istana, sekali gus menolak Idris yang didukung Perdana Menteri.

Upacara turut disaksikan Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud Shah.

Wakil-wakil rakyat PAS, yang diketuai presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, turut menghadiri majlis. Abdul Hadi, wakil Rhu Rendang, sebelum ini ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri.

Selepas MT membuat keputusan, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN, termasuk Idris, akur dengan arahan perdana menteri agar menerima pelantikan Ahmad.

Ahmad menerima watikah pelantikan daripada MPPR minggu lalu tetapi majlis angkat sumpahnya ditangguh selepas semua wakil BN memulaukan majlis tersebut.

Beliau semalam berkata senarai exco negeri akan dilantik lebih kurang seminggu lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, setiausaha badan perhubungan Umno, Datuk Rosol Wahid, berkata tiada usul undi tidak percaya akan dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) terhadap Ahmad.

Beliau berkata krisis pelantikan jawatan itu telah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat negeri itu dan ada tanggapan kini sedang wujud perebutan jawatan dalam Umno, lapor Bernama.

"Kita boleh beri jaminan tidak akan ada apa-apa masalah selepas ini, sebab yang mendukung kita sekarang ialah rakyat. Jadi kita nampak, tidak perlu lagi timbul isu-isu yang meresahkan rakyat," beliau dipetik sebagai berkata.

Bercakap kepada media selepas majlis itu, beliau berkata:

"Jadi saya yakin (persidangan) dewan DUN nanti akan berjalan dengan lancar dan baik kerana matlamat kita adalah rakyat..."

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |