+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, March 31, 2008

Samy Vellu gesa kerajaan bebaskan pemimpin Hindraf dari ISA

Klpos



Oleh Bernama
Ahad, 30 Mac 2008

KL: Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu meminta kerajaan membebaskan lima pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang kini dalam tahanan, menyatakan dua daripada mereka patut dibebaskan lebih awal kerana seorang daripadanya sakit manakala seorang lagi kini ialah wakil rakyat.

Beliau berkata R. Kenghadaran, 40, "sakit teruk" dan M. Manoharan, 46, telah memenangi kerusi dalam pilihan raya umum 8 Mac. Manoharan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Alam Shah di Selangor atas tiket DAP.

Samy Vellu juga berkata bagi V. Ganabatirau, 34, dan K. Vasantha Kumar, 34, pembabitan mereka tidak begitu mendalam dalam perhimpunan besar-besaran yang dianjurkan pertubuhan tidak berdaftar Hindraf di Kuala Lumpur pada 25 Nov tahun lepas, yang menyebabkan kelima-lima mereka ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pemimpin kelima yang turut berada dalam tahanan ialah P. Uthayakumar.

Presiden MIC itu berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan bengkel "Penjenamaan Semula MIC" yang dihadiri 150 pemimpin bahagian parti, di sini. "Kami prihatin terhadap Kenghadaran dan Manoharan.

Saya bercakap dengan isteri kedua-dua mereka dan dalam keadaan ini, saya memutuskan untuk membangkitkannya kepada kerajaan mengenai kedua-dua mereka ini kerana mereka telah mengambil pendekatan ini.

"Saya akan bangkitkan (pembebasan mereka) dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) selepas beliau kembali dari Sabah. J

Jika beliau (Abdullah) mahu membebaskan semua mereka (lima), terserah kepada beliau. Kami tiada bantahan. Kami juga tidak mahu mereka ditahan bagi tempoh yang terlalu lama," katanya.

"Kenghadaran sakit teruk manakala Manoharan ialah wakil rakyat, jadi saya fikir agak munasabah untuk minta pada Perdana Menteri. Saya juga akan berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Saya telah mula mengusahakan perkara ini lebih awal tetapi saya tidak beritahu sesiapa. Saya kini akan ambil langkah lebih tegas untuk melihat apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan berhubung kemelut mereka itu," katanya.

Katanya Ganabatirau dan Vasantha Kumar "tidak terlibat secara mendalam" (dalam perhimpunan), jadi kerajaan perlu buat keputusan.

Pemimpin MIC itu juga berkata permintaan beliau bagi kerajaan membebaskan lima pemimpin Hindraf bukan untuk tujuan publisiti dan langkah memenangi semula sokongan masyarakat India kepada parti itu, dikatakan parti politik terbesar kaum India di negara ini.

"Ini dilakukan demi keadilan, simpati dan juga, kami merasakan bahawa kami kaum India perlu berbuat sesuatu mengenainya. Ia bukan untuk publisiti," katanya.

Katanya walaupun parti telah menerima kritikan pedas daripada pihak tertentu bagi kegagalan melindungi kebajikan kaum India di negara ini, ia akan terus terus berbuat apa yang ia boleh lakukan berhubung masalah yang dihadapi masyarakat itu.

"Jika mereka (yang dalam tahanan) mengikut nasihat peguam bela mereka, banyak perkara boleh berlaku.

Mereka tidak sepatutnya hanya tertarik dengan mereka yang mahu berhujah bagi diri mereka.

Banyak orang mahu berhujah bagi diri mereka supaya mereka boleh dapat publisiti. Kami tidak mahu publisiti, kami mahukan kebenaran," kata pemimpin MIC itu.

Pemimpin Hindraf berkenaan ditahan pada Disember tahun lepas. Hindraf turut melemparkan beberapa dakwaan, yang dianggap tidak masuk akal oleh kebanyakan orang dan kemudiannya dinafikan oleh pihak berkuasa.

Hindraf juga menyerahkan memorandum mengandungi pelbagai tuduhan tidak berasas kepada Suruhanjaya Tinggi British di sini.

Lima pemimpin Hindraf itu ditahan mengikut ISA selepas pihak berkuasa mendapati mereka menyentuh isu sensitiviti agama dan kaum dan turut membuat kenyataan fitnah terhadap kerajaan.

Manoharan menjadi tahanan ISA ketiga yang bertanding dan memenangi kerusi dalam pilihan raya umum.

Chan Kok Kit dan Chian Heng Khai, masing-masing bertanding bagi kerusi Parlimen kawasan Sungai Besi (Selangor) dan kawasan Batu Gajah (Perak) atas tiket DAP pada 1978 dan menang.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |