+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, April 9, 2008

10 Exco Terengganu angkat sumpah

Berita Harian

KUALA TERENGGANU: Selepas lebih sebulan berjaya mengekalkan pemerintahan di Terengganu pada pilihan raya umum lalu, 10 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Sepuluh anggota Exco berkenaan, yang termasuk tiga muka lama mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Istana Maziah di sini.

Tujuh muka baru yang dilantik sebagai Exco kerajaan negeri itu ialah Adun Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman; Yahaya Khatib Mohamad (Pengkalan Berangan); Ashaari Idris (Langkap); Datuk Zaabar Mohd Adib (Rantau Abang); Khazan Che Mat (Batu Rakit); Rozi Mamat (Telemong); dan Dr Abdul Rahman Mokhtar (Kuala Besut).


Sementara tiga Adun yang dilantik semula sebagai Exco ialah Adun Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, Datuk Mohamed Awang Tera (Chukai) dan Toh Chin Yaw (Bandar).


Pada istiadat itu, mereka menerima watikah pelantikan sebelum diteruskan dengan majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia sebagai Exco kerajaan negeri dan disusuli dengan menandatangani surat pelantikan masing-masing.

Hadir sama pada istiadat yang bermula jam 11.15 pagi itu ialah Yang Di-Pertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman, dua anggota MPPR iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Adun Jertih turut menghadiri istiadat itu yang berlangsung kira-kira 30 minit.

Bagaimanapun, portfolio semua Exco belum ditetapkan dan ia akan diputuskan pada mesyuarat pertama Exco itu, petang ini.

Khamis lalu, Ahmad dilaporkan berkata, beberapa portfolio baru dan perubahan akan dilakukan pada pembentukan barisan Exco sebagai langkah untuk menyesuaikan fungsi selain memastikan wujud penyelarasan dan kesesuaian tugas berdasarkan latar belakang mereka yang akan diberi tanggungjawab memegang portfolio masing-masing. - Bernama

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |