+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, April 9, 2008

Alih projek ke tempat majoriti makan babi

kosmo

KLANG - Projek ternakan babi secara moden bernilai RM100 juta perlu dialihkan ke kawasan yang majoriti penduduknya terdiri daripada mereka yang mengamalkan pemakanan daging ternakan itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, projek di daerah Sepang itu tidak sesuai kerana ia boleh mengundang masalah khususnya dari segi sensitiviti masyarakat beragama Islam yang juga majoriti penduduk di kawasan terbabit.

Katanya, haiwan ternakan seperti babi tetap haram kepada umat Islam dan sudah tentu penduduk tidak mahu projek ternakan itu dilaksanakan di kawasan mereka walaupun akan dilaksanakan mengikut cara moden dan canggih.

"Pandangan saya, siapa mahu ladang babi diwujudkan berhampiran kawasan penempatan mereka yang dikhuatiri akan menjejaskan persekitaran serta kualiti hidup seperti bau, pencemaran air seperti kes-kes yang dilaporkan dan kita pernah dengar sebelum ini.

"Kerajaan negeri perlu mengadakan kajian mendalam serta mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum membuat keputusan atau melaksanakan ke kawasan lain yang boleh diterima oleh penduduk di situ sekiranya benar-benar ingin menjalankan projek ini," katanya.

Abdul Rahman yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat negeri berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan kerajaan negeri yang bersetuju untuk meneliti semula projek ternakan babi di Sepang.

Sebelum ini, projek berkenaan pernah dicadang dan dibincangkan di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan membabitkan sebuah syarikat swasta tempatan yang menggunakan teknologi dari Jerman.

Bagaimanapun, projek tersebut tidak dilaksanakan kerana kerajaan negeri ketika itu tidak mempersetujuinya kerana sebab-sebab tertentu. - Bernama

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |