+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, April 10, 2008

Badan Eksekutif Tidak Boleh Campur Tangan Keputusan Hakim, Kata Ketua Hakim Negara

Bernama

PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) -- Anggota badan eksekutif tidak boleh campur tangan atau kelihatan campur tangan dalam keputusan hakim, kata Ketua Hakim Negara Datuk Abdul Hamid Mohamad hari Rabu.

Sebaliknya, kata beliau, badan perundangan, eksekutif dan kehakiman, perlu menghormati bidang kuasa satu sama lain serta mengamalkan doktrin pemisahan kuasa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Bidang kuasa satu sama lain perlu dihormati," kata beliau ketika berucap merasmikan Persidangan Hakim di sini.

Abdul Hamid berkata hakim pula perlu memiliki kekuatan secukupnya bagi menolak sebarang cubaan untuk mengganggu-gugat kebebasan mereka.

"Apabila orang ramai yakin bahawa anggota badan eksekutif tidak campur tangan dalam keputsuan yang dibuat oleh hakim, maka separuh daripada peperangan sudah dimenangi," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim agar reformasi dilakukan terhadap bidang kehakiman di negara ini bagi memulihara institusi itu dalam kerangka pemisahan kuasa kerana sesebuah Kerajaan Berperlembagaan tidak mempunyai erti jika tidak mempunyai unsur menegur dan mengimbangi.

"Secara peribadi, saya amat keberatan untuk menggunakan perkataan 'reformasi' yang hebat bunyinya itu kerana bimbang ia akan berkesudahan seperti kata pepatah Melayu 'indah khabar dari rupa'.

Oleh itu, saya tidak akan menggunakannya. Saya lebih suka memberi tumpuan terhadap sesuatu punca khusus dan cuba mencari penyelesaiannya," kata beliau.

Abdul Hamid berkata badan kehakiman berada di landasan yang betul dalam usaha memulihkan persepsi negatif terhadapnya apabila orang ramai mempunyai keyakinan bahawa hakim mempunyai kebebasan, tidak rasuah, tekun, adil dan tidak mempunyai sebarang kepentingan tersembunyi.

"Kita tidak boleh menafikan bahawa orang ramai kini mempunyai persepsi negatif terhadap badan kehakiman. Jelas sekali, ini bukan hasil daripada apa yang telah berlaku beberapa bulan lepas, tetapi himpunan daripada apa yang telah berlaku atau dianggap berlaku sejak dua dekad lepas, bermula daripada pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan dua bekas Hakim Mahkamah Persekutuan.

"Setelah begitu teruk dipolitikkan, kini, kesan sepenuhnya sudah dirasai dan kita pula yang terpaksa memikul beban untuk cuba memulihkan persepsi negatif itu," kata beliau.

Abdul Hamid berkata persepsi negatif orang ramai terhadap badan kehakiman bukan berpunca daripada faktor dalaman badan itu semata-mata, tetapi juga faktor luaran, yang perlu ditangani.

Mengenai pemilihan mereka yang akan dilantik sebagai hakim, beliau berkata kriteria yang perlu diambil kira termasuklah integriti, pengetahuan, kebersihan daripada rasuah, tekun, adil, berpekerti baik dan mampu bekerja.

"Pelantikan sebagai hakim bukan suatu anugerah, bukan separa persaraan, bukan satu penyelesaian bagi sesuatu masalah di tempat lain. Ia bererti bekerja keras, bekerja keras secara jujur," kata beliau sambil mengungkapkan pepatah Melayu,"Kalau tanam pokok pisang kelat, jangan harap akan dapat pisang emas".

Abdul Hamid berkata peguam, yang merupakan pihak yang terlibat dalam sesuatu kes mahkamah, petugas media dan orang ramai juga mempunyai peranan yang perlu dilaksanakan.

"Setiap orang perlu jujur apabila berurusan dengan mahkamah. Akhbar perlu melaporkan secara adil dan tepat sesuatu penghakiman mahkamah," katanya.

"Ada anggota masyarakat, yang hanya mementingkan kepentingan diri semata-mata. Bagi mereka, mahkamah bertindak betul sekiranya membuat keputusan yang menyebelahi mereka dan bertindak salah apabila membuat keputusan sebaliknya, tanpa mengambil kira undang-undang dan bukti yang dikemukakan kepada mahkamah," kata Abdul Hamid.

Beliau berkata apabila seseorang hakim membuat keputusan yang tidak menyebelahi mereka, orang ramai akan mengecam secara bertulis hakim berkenaan dengan menuduh beliau mengamalkan rasuah dan bersikap berat sebelah.

"Selalunya, hakim tidak memberi respons. Kadangkala, saya terfikir sama ada hakim, yang dituntut supaya memastikan setiap orang yang hadir di hadapan mereka dilayan secara adil dan diberi hak untuk didengari, turut diberi hak yang serupa. Adakah mereka (hakim) sendiri bukan anggota masyarakat?," kata beliau.

Abdul Hamid, yang akan bersara pada 17 Oktober ini, memulakan ucapan beliau dengan berkata itu adalah kali pertama dan terakhir bagi beliau berucap pada persidangan seperti itu dan menegaskan bahawa walaupun beliau hanya berpeluang menjadi hakim hanya sehari, beliau berazam untuk melakukan secara jujur apa yang beliau yakini adalah betul.

"Oleh kerana ini adalah satu-satunya persidangan yang saya pengerusikan, dengan sedapat mungkin, saya ingin memberi tumpuan terhadap pentadbiran keadilan, bukan terhadap urusan pentadbiran semata-mata," kata beliau.

"Saya yakin, persidangan Majlis Hakim-Hakim ini diwajibkan oleh undang-undang supaya diadakan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi membincangkan isu perundangan semasa dan isu berkaitan pentadbiran keadilan, bukan tentang saiz jerumbai serta pakaian seragam pemandu, walaupun saya tidak kata ia tidak boleh atau tidak sepatutnya ditimbulkan atau dibincang," kata beliau.

Abdul Hamid berkata beliau juga melihat wujudnya semakin banyak perbuatan menulis penghakiman secara "memotong dan menampal", mungkin hasil daripada teknologi moden yang wujud sekarang.

"Petikan diambil dan dimuatkan ke dalam tulisan penghakiman, tanpa mengambil kira fakta dan nisbah sesuatu kes. Akibatnya, undang-undang menjadi semakin panjang, hingga ada kalanya membelakangi peruntukan statut.

"Ada kalanya, seluruh kepala surat sesuatu firma guaman serta nama semua rakan kongsi, pembantu dan nombor telefon firma itu disiar semula dalam penghakiman berkenaan. Tak tahulah untuk apa," kata beliau.

Beliau juga menyentuh tentang arbitrasi (khidmat penimbang tara,) yang katanya merupakan perkara yang menjadi suatu kemestian dan perniagaan besar di banyak negara sekarang.

Arbitrasi diperkenalkan dengan tujuan untuk mempercepatkan penyelesaian sesuatu pertikaian dengan kos yang tidak begitu tinggi dan pengendalian kes arbitrasi dengan cekap boleh membantu menonjolkan imej Malaysia dan badan kehakiman di negara ini di arena antarabangsa, katanya.

Beliau berkata Singapura dan Hong Kong telah mencipta nama dalam bidang ini dan menjadi pusat arbitrasi yang digemari ramai.

"Tak ada sebab Malaysia tidak boleh berbuat begitu," kata beliau.

-- BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |