+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, April 9, 2008

DAP: Apa lagi selain negara Islam?

Malaysiakini

Apr 9, 08 4:43pm

Apa lagi isu yang lebih besar daripada hasrat PAS untuk menubuhkan negara Islam di Malaysia? - pengerusi DAP Karpal Singh menjawab gesaan agar beliau "menutup mulut" daripada mengulas isu tersebut.

Menteri besar Kedah, Azizan Abdul Razak, hari ini dilaporkan berkata "saya harap dia (Karpal) jangan bercakap lagi mengenai hal ini jika dia belum benar-benar faham apa itu hukum hudud."

Menjawab tempelakan itu, Karpal berkata negara Islam menjadi isu
awam yang paling penting kerana Malaysia kini sebuah negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi dan jaminan perlembagaan semua agama boleh diamalkan secara aman dan harmoni.

"Isu ini tidak boleh, dan tidak wajar, disapu bawah permaidani," katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

"Jika usaha PAS menukar Malaysia menjadi negara Islam menjadi kenyataan, ia bermakna undang-undang hudud akan dikenakan terhadap bukan Islam."

Kenyataan Karpal ini, yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor, siri terbaru dalam perang mulut antara DAP dengan PAS susulan cadangan penubuhan Pakatan Rakyat pada 1 April.

Azizan menggesanya tidak meneruskan isu itu selepas Karpal menjawab kenyataan menteri besar Kelantan, yang juga mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Aziz pada Ahad.


Berikut rentetan 'perang mulut' dua parti pembangkang itu:

1 April: Tiga pemimpin utama pembangkang mengumumkan cadangan penubuhan Pakatan Rakyat. Pengumuman itu disertai penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang.

2 April: Timbalan menteri besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakub dilaporkan berkata "PAS wajar menjadi tunjang kepada pakatan itu sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuhkan sebuah Negara Islam."

3 April: Kenyataan ini disokong Pemuda PAS Kelantan.

4 April: Merujuk kenyataan Ahmad dan setiausaha presiden PAS, Roslan Shahir Mohd Shahir, Kit Siang berkata PAS belum mengambil iktibar krisis dalam Barisan Alternatif sehingga mendorong DAP meninggalkan pakatan tersebut pada 2001

5 April: Pengerusi DAP Karpal Singh menggesa Abdul Hadi bertanggungjawab atas kenyataan Ahmad.

Karpal dilaporkan berkata: "Bagaimana mungkin PAS menjadi tunjang kepada Pakatan Rakyat jika kerusi parlimen yang dimenangi mereka adalah yang paling sedikit jumlahnya berbanding DAP dan PKR."

6 April: Menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mendakwa Karpal memperkecil-kecilkan usaha PAS mempromosikan pentadbiran Islam di negeri itu.

Kenyataan Ahmad, setakat ini, menerima dukungan Pemuda PAS, sekurang-kurangnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

7 April: Karpal menafikan tuduhan Nik Abdul Aziz. Karpal berkata: "Saya tidak pernah, pada bila-bila masa pun, memperkecil-kecilkan Islam.

"Kami tidak berbalah dengan PAS melainkan berhubung ideologi asas parti itu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam dan memperkenalkan undang-undang hudud."

Ahmad - yang dilaporkan memulakan kenyataan kontroversi itu minggu lalu - berkata beliau tidak bermaksud memaksa DAP dan PKR menerima PAS sebagai teras utama Pakatan dan menyalahkan media atas kekeliruan yang berlarutan.

Datuk Husam Musa, naib presiden PAS dan exco Kelantan, memberi jaminan negara Islam hanya menjadi idealisme parti itu dan tidak terdapat dalam agenda Pakatan Rakyat.

8 April: Pemuda PAS Kedah meminta Karpal tidak membesar-besarkan isu tersebut, sementara menteri besarnya Azizan Abdul Razak menggesa pengerusi DAP tidak bercakap sesuatu isu yang tidak difahaminya, termasuk isu hudud.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |