+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, April 24, 2008

Derita anak-anak mangsa ISA menggamit kebahagiaan yang tidak ditemui

Harakahdaily

Anis Nazri | Foto HarakahDaily

Wed | Apr 23, 08 | 4:52:03 pm MYT

Tatkala melihat kanak-kanak seusianya bergelak ketawa bersama ibu bapa, mulut petahnya terdiam seketika. Dia termenung, sebelum melepaskan satu keluhan kecil. Air matanya bertubir di sudut matanya, dan dia berlari menuju ke rumah. Biar hilang pandangannya dari melihat kebahagiaan itu.

ImageHatinya sayu. Sayu mengenangkan nasibnya yang tidak seuntung kanak-kanak tadi. Masakan tidak? Sudah sekian lama dia tidak dapat berkumpul, bergembira dan bermesra dengan bapa kesayangannya. Sudah lama dia terpisah dari bapanya. Bukan kerana Allah menjemput bapanya ke alam roh, tetapi satu-satunya akta zalim ISA yang bertindak demikian!

Bagi Suhaib Mat Sah, tidak tercapai di fikirannya bahawa satu ketika nanti dia tidak dapat mengecapi kebahagiaan bersama bapanya angkara ISA. Dia sentiasa berasakan bahawa kasih sayangnya bersama kedua ibu bapanya sentiasa berpanjangan. Namun, impian itu bukanlah realiti baginya. Kini, hampir enam tahun beliau tidak dapat bermesra dengan bapanya.

Enam tahun! Bapanya masih meringkuk di Kemta tanpa sebarang bukti kukuh yang boleh disabitkan ke atasnya. Kekecewaan anak berusia 14 tahun ini, jelas tergambar apabila dia pernah bertanya kepada uminya..."apa lagi yang PM nak?", "apa lagi yang cuba Pak Lah nak buktikan kesalahan abah?".

ImageAduhai hati, siapalah yang tahu penderitaan dan kesayuan yang dirasai Suhaib ini. Bagi kita yang dewasa, jika kehilangan orang tersayang pun sudah cukup meruntun hati. Apatah lagi bagi Suhaib, yang menyaksikan sendiri bapanya dibawa pergi, di tengah malam, enam tahun lalu.

Bermula saat itu, hidupnya tidak seindah kanak-kanak lain. Hatinya tersentuh setiap kali melihat kemesraan kanak-kanak lain bersama ibu bapa mereka. Hati kecilnya sering tertanya-tanya, bilakah abah yang dikasihinya akan menghirup udara kebebasan dan berpeluang kembali mencantum kebahagiaan mereka sekeluarga.

Seringkali Suhaib mendengus dan merungut, seolah-olah menyesali dengan apa yang terjadi. Apalah anak sekecil itu, yang sememangnya memerlukan kasih sayang seorang bapa mampu menghadapi dugaan maha perit ini?

Namun, dalam rontaan hatinya yang membenci tindakan ISA itu, dia tetap seorang anak yang kuat dan tabah. Walapun sesekali dirinya tewas dengan ketabahan yang dipupuk uminya sejak abahnya diheret pergi. Dia tetap seorang anak yang cekal, biarpun di hatinya hanya Allah yang mengetahui bebanan perasaan yang ditanggungnya.

'Kehilangan' abahnya cukup membuatkan perkembangannya tergugat. Anak yang kini sedang dalam proses membesar ke alam remaja sudah tentu memerlukan seorang bapa bagi membantunya menempuh alam baru.

ImageJika bapanya memang sudah tiada di dunia, mudahlah hati anak kecil itu dipujuk dan dikhabarkan berita itu. Malah, jika bapanya di penjara dalam tempoh yang diketahui akan berakhir sekalipun, pasti mudah dia menerimanya.

Namun, apa yang dilakukan ISA ini, benar-benar tidak berperikemanusiaan. Sudahlah terkepung tanpa bicara yang boleh membuktikan bapanya bersalah, pembebasan bapanya juga menjadi tanda-tanya dan mengikut sesuka rasa pihak pemerintah.

Baik lagikah ISA ini dalam masyarakat? Apakah ketenteraman negara ini akan terjejas sekiranya akta ini dimansuhkan seperti yang dituntut Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) selama ini?

Sedangkan adanya ISA inipun keselamatan rakyat di negara ini sudah tidak tenteram. Sana sini dikhabarkan berlaku penculikan, pembunuhan, rogol, samun dan sebagainya. Tenteramkah negara ini? Selamatkah kita dengan adanya ISA ini?

Aduhai pemimpin Malaysia, hentikanlah penderitaan keluarga mangsa tahanan ISA ini. Sapukanlah air mata yang mengalir di pipi anak-anak kecil ini. Bukan Suhaib seorang menanggung derita ini, masih ada 70 keluarga lain yang menangisi dan menderita akibat ISA.

Wahai rakyat Malaysia yang prihatin, bangkitlah. Bangkitlah sekali lagi bagi membantu GMI dalam rangka usaha mereka untuk membebaskan semua tahanan ISA, selain memansuhkan akta zalim ini.

Bangkitlah menunjukkan kuasa anda mendesak kerajaan dengan kepimpinan 'baru' ini agar mendengar dan menunaikan tuntutan semua pihak seperti yang dinyatakan Menteri Dalam Negeri yang baru, Dato' Seri Syed Hamid Albar dalam Utusan Melayu tidak lama dulu..."Saya akan memenuhi tuntutan semua pihak..."

Buat pembaca yang prihatin dengan nasib malang keluarga mangsa ISA ini, sila hantar sumbangan anda kepada HARAKAHDAILY DOT COM, nombor akaun Maybank 564070000336. - mr

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |