+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, April 24, 2008

Inflasi negara rendah - Indeks Harga Pengguna hanya meningkat 2.6% hingga Mac

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, indeks bagi tempoh itu ialah 107.8 berbanding 105.1 dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

IHP ialah ukuran perubahan purata harga kumpulan barangan dan perkhidmatan terpilih dalam satu tempoh tertentu.

Menurut jabatan itu, indeks bulan Mac pula meningkat sebanyak 2.8 peratus kepada 107.9 berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Jabatan itu berkata, bagaimanapun IHP bagi bulan Mac kekal tidak berubah pada 107.9 dibandingkan dengan bulan Februari lalu.

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) meramalkan kadar inflasi di Malaysia akan meningkat antara 2.5 peratus hingga 3 peratus pada tahun ini berbanding 2 peratus tahun lalu.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pula menjangkakan kenaikan kadar inflasi itu tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan harga barangan dan minyak dunia.

Negara jiran Singapura, misalnya, dilaporkan mengunjurkan kadar inflasi yang meningkat melebihi 4 peratus pada tahun ini.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, indeks bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol di Malaysia menunjukkan perubahan peratus yang tinggi sebanyak 4.9 peratus.

Indeks bukan makanan meningkat 1.8 peratus bagi bulan Mac 2008 berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Dibandingkan dengan bulan Februari, indeks makanan dan minuman bukan alkohol pada bulan Mac mengalami penurunan sebanyak 0.1 peratus.

Menurut kenyataan itu, indeks makanan dan minuman bukan alkohol bagi Januari hingga Mac 2008 meningkat 4.4 peratus, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.3 peratus) dan pengangkutan (0.9 peratus).

Tiga kumpulan utama tersebut menyumbang 71 peratus kepada kenaikan keseluruhan IHP yang dicatatkan dalam tempoh semasa, kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, indeks makanan di luar rumah dan indeks kopi teh, koko dan minuman bukan alkohol menunjukkan kenaikan masing-masing 0.2 dan 0.3 peratus.

Dari segi pecahan, kenaikan indeks makanan dan minuman bukan alkohol meningkat sebanyak 4.4 peratus, indeks makanan di rumah 4.4 peratus, makanan di luar rumah naik 4.3 peratus manakala kopi, teh, koko dan minuman bukan alkohol meningkat 5.8 peratus.

Antara sub kumpulan makanan di rumah yang mengalami kenaikan dalam tempoh ini ialah susu, keju dan telur yang naik 12.3 peratus; beras, roti dan bijirin (+5.7 peratus); daging (+4.9 peratus); ikan dan makanan laut (+3.0 peratus); buah-buahan (+2.8 peratus); gula, jem, madu, coklat dan manisan (+1.7 peratus); sayur-sayuran (+1.6 peratus) serta minyak dan lemak (+1.4 peratus).

Pakar ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, pengiraan IHP di negara ini perlu dikaji semula mengikut kawasan supaya ia memberi gambaran sebenar tentang inflasi sebenar dalam negara.

“Jika tidak, IHP yang dicatatkan hanyalah purata dan mewakili sekumpulan pengguna sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk N. Marimuthu pula berpendapat pengiraan IHP perlu dibahagikan kepada dua kategori iaitu bagi IHP bandar dan IHP luar bandar.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |