+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, April 9, 2008

Isu ladang babi: Tidak salah untuk kawal alam sekitar - Mufti

pas.org




Oleh : Kelantankini
Wednesday, 09 April 2008


KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata tindakan kerajaan negeri Selangor meluluskan projek ternakan babi berkelompok boleh diterima jika ia bertujuan untuk menyatukan semua ladang ternakan haiwan itu.

Bagaimanapun katanya tindakan berkenaan adalah salah jika ia bertujuan untuk menyumbang kepada kepesatan industri ternakan haiwan berkenaan yang jelas salah di sisi agama.

“Sebaliknya jika niat mereka (kerajaan Selangor) ingin memelihara alam sekitar dengan menyatukan semua ladang ternakan itu di Selangor, maka ia boleh diterima kerana dapat mengelak pencemaran berlaku.

“Oleh kerana projek ini hanya untuk bekalan domestik, mungkin jumlahnya tidak begitu besar dan boleh dikawal sekiranya ia benar-benar bukan untuk dieksport dan dengan niat menjaga persekitaran,” katanya sebagaimana dilaporkan akhbar Berita Harian hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan PAS menyokong keputusan kerajaan Selangor melaksanakan projek ternakan babi berkelompok bernilai RM100 juta di Sepang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali, berkata beliau menyokong penuh projek berkenaan selagi ia tidak mencemarkan alam sekitar.

Selain Dr Halimah yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, dua Exco PAS yang turut menyokong ialah Datuk Dr Hassan Ali (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam) serta Iskandar A Samad (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan).

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata projek bernilai RM100 juta yang akan dilaksanakan di Sepang itu sebenarnya telah diluluskan pada 30 Januari lalu oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Katanya, barisan Exco negeri yang bermesyuarat Rabu lalu merasakan amat wajar untuk meneruskan projek berkenaan memandangkan kawasan tersebut telah menjadi tapak utama ladang babi di negeri itu.

Bagaimanapun Utusan Malaysia melaporkan bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo menafikan beliau meluluskan projek ternakan babi bernilai RM100 juta seperti yang didakwa.

Menurutnya, walaupun perbincangan mengenainya pernah dibuat dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 30 Januari lalu, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan mahupun memberikan kelulusan.

“Ini kerana katanya, saiz ladang yang dicadangkan terlalu besar.

“Dasar kerajaan negeri ketika itu adalah menetapkan setiap ladang ternakan babi hanya untuk menampung keperluan rakyat negeri Selangor iaitu sekitar 250,000 ekor dan bukan bagi tujuan eksport secara besar-besaran,” menurut laporan itu.

Bekas Pengerusi Tetap Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat negeri, Dato’ Abdul Rahman Palil, mendakwa masyarakat Cina di Selangor turut membantah cadangan kerajaan negeri membina ladang ternakan babi secara berkelompok itu.

Katanya, mereka membantah kerana bimbang ladang ternakan babi itu akan menimbulkan pencemaran teruk kepada alam sekitar berikutan najis kumbahan haiwan berkenaan sukar dilupuskan sekali gus mampu mengganggu keselesaan penduduk sekitar.

“Kerajaan perlu mengkaji dengan teliti cadangan ini dengan memastikan kaedah yang bakal digunakan tidak membawa kepada pencemaran alam sekitar,” katanya.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Shamsuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata tindakan Exco PAS itu boleh dilihat sebagai usaha menunjukkan bahawa mereka bukannya taksub sehingga menidakkan keperluan bukan Islam.

“Mereka ingin membuktikan bahawa PAS yang sinonim dengan perjuangan Islam juga boleh menjadi liberal dan terbuka seperti parti lain iaitu DAP dan PKR serta mengambil kira keperluan kaum lain seperti Cina dan India,” katanya

Kemaskini terakhir ( Wednesday, 09 April 2008 )

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |