+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, April 6, 2008

'Jangan ugut kerajaan' - Pak Lah

Berita Harian

Oleh Magendran Rajagopal


TERTARIK: Abdullah dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah melihat Sanatia Samsir menenun songket ketika melawat Pameran Hari Kraf Kebangsaan 2008 di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, semalam.

PM mahu isu tuntutan Cuepacs diselesai menerusi rundingan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Cuepacs tidak menggunakan pendekatan mendesak, mengugut dan menggertak bagi memenuhi lima tuntutannya terhadap kerajaan, termasuk bayaran honorarium 2007 sebanyak RM2,000 kepada 1.2 juta kakitangan kerajaan.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata isu itu lebih elok diselesaikan menerusi perbincangan kerana sudah menjadi tradisi bagi kerajaan dan kesatuan sekerja mengutamakan rundingan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.


Beliau juga mahu Cuepacs memikirkan semula hasratnya memulaukan sambutan Hari Pekerja yang dianjurkan Kementerian Sumber Manusia pada 3 Mei dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 29 Mei depan kerana acara itu bagi meraikan sumbangan kakitangan awam dan swasta kepada negara.

"Saya harap mereka tak guna pendekatan nak mendesak atau membuat ugutan boikot. Sejak dulu lagi kita bekerjasama, berbincang bagi menyelesaikan sebarang masalah. Mungkin kali ini ambil masa lama kerana perlu ambil kira banyak perkara, umpamanya kemampuan kewangan negara.

"Tahun sudah pun kita beri kenaikan gaji tertinggi. Kalau kita nak ambil kira bagi honorarium atau bonus, mungkin kenaikan gaji kita kurangkan, tak payah bagi 40 peratus, bagi 30, 20 atau 15 peratus sudahlah. Selepas itu bila (Cuepacs) minta, kita boleh bagi honorarium atau bonus.

"Tapi ini bukan caranya. Kalau ikutkan saya, kenaikan gaji sebesar itu sudah lama tidak diberi. Gaji tinggi bermakna pencen lebih besar dan bermanfaat pada hari tua," katanya pada sidang media selepas melawat pameran kraf tangan sempena Hari Kraf Kebangsaan, di sini semalam. Turut hadir Datin Seri Jeanne Abdullah.

Pameran anjuran Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang diadakan di galeri Kraftangan Malaysia di Jalan Conlay antara jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari itu bermula 28 Mac lalu dan akan berakhir esok.

Rabu lalu, Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata kesatuan itu akan memulaukan dua majlis peringkat kebangsaan yang dijadual turut dihadiri Perdana Menteri jika kerajaan gagal memberi kata putus berhubung lima tuntutan mereka sebelum 29 April ini.

Selain bayaran honorarium RM2,000, empat lagi tuntutan Cuepacs ialah kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan daripada RM180 sebulan kepada RM230, penambahbaikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), mengembalikan elaun kritikal bagi Kumpulan Sokongan Dua yang ditarik balik Februari lalu dan melanjutkan umur persaraan wajib daripada 55 tahun kepada 60 tahun.

Beliau dilaporkan berkata, tindakan memboikot itu adalah keputusan yang diambil dalam mesyuarat bersama 120 kesatuan yang bergabung di bawah kesatuan berkenaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, dijadualkan menemui Cuepacs 14 April ini bagi membincangkan membicarakan isu yang dibangkitkan kesatuan terbabit.

Abdullah berkata, kesatuan terbabit juga perlu mengambil kira insentif yang diberi kerajaan seperti kenaikan 100 peratus Bantuan Sara Hidup, selain kenaikan gaji sehingga 40 peratus berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Bagaimanapun, beliau menyatakan kesediaan untuk menemui Cuepacs untuk berbincang lebih lanjut mengenai semua isu berbangkit apabila tiba masa sesuai, malah Jabatan Perdana Menteri juga ada membuat kajian terhadap semua tuntutan yang dikemukakan.

Ditanya mengenai tiga jawatan Timbalan Menteri yang masih belum diisi, Abdullah berkata calonnya akan diumumkan minggu depan selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman menolak pelantikan sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan enggan menerima jawatan Timbalan Menteri Luar, manakala Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh pula meletak jawatan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Abdullah turut ditanya sama ada beliau berhasrat untuk bertemu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi meredakan keadaan berikutan pergolakan yang berlaku dalam Umno selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

"Tengoklah," jawabnya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |