+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, April 9, 2008

Kenyataan Akhbar Menteri Besar Selangor Atas Isu Penternakan Babi & Isu Tanah


teresakok.com


KENYATAAN MEDIA Oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor 8 APRIL 2008

Projek Ternakan Babi Moden di Selangor

Kerajaan Negeri Selangor berharap pihak yang begitu prihatin tentang kelulusan Projek Modern Pig Farming di Selangor memeriksa fakta mereka terlebih dahulu. Projek di Ladang Tumbuk, Mukim Batu Kuala Langat ini telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri dibawah Barisan Nasional dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipimpin YB Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pada 30 Januari 2008 yang lalu.

Dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2 April 2008, Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang baru merasakan wajar meneruskan projek tersebut dengan memantapkan lagi proses pelaksanaan memandangkan kawasan tersebut sememangnya sudah menjadi tapak ladang babi utama di negeri Selangor dan ia selaras dengan memenuhi piawaian kualiti yang tinggikehendak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kerajaan Negeri Selangor.

Sebarang bahan buangan dari ladang tersebut akan diguna semula dalam bentuk biogas untuk menjanakan elektrik, air untuk pembersihan ladang serta penanaman makanan untuk babi yang diternak. Justeru, tiada bahan buangan yang akan menjadi sisa dan keluar dari kawasan ladang tersebut.

Pada masa yang sama, menerusi projek ini, tiada ladang-ladang khinzir baru akan diluluskan di negeri Selangor dan semua ladang babi di luar kawasan ini dikehendaki memindahkan operasi mereka ke Projek Modern Pig Farming. Ini sejajar dengan dasar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar sebarang usaha penternakan babi dilakukan di satu tempat untuk memudahkan kawalan dan penyeliaan bagi pihak berkuasa. Kerajaan Negeri juga berhasrat memperkenalkan dasar ‘one stop’ yang sama bagi penternakan yang lain bagi menjadikan industri penternakan lebih efisyen dan dapat diteruskan di sebalik kemajuan pesat Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor yang baru di bawah Pakatan Rakyat antara Keadilan, PAS dan DAP berhasrat menyelesaikan masalah perniagaan, sosial dan budaya masyarakat pelbagai kaum dengan meluluskan projek ini dan melaksanakan dengan adil dan saksama dengan mengambilkira keharmonian hidup berbilang kaum di Selangor.

Isu Kampung Baru

16,637 hak milik telah diberikan kepada penduduk Kampung Baru di Negeri Selangor. Langkah ini dilaksanakan bersama beberapa insentif bagi menggalakkan mereka memperoleh hak milik. Tanah-tanah yang belum mendapat hak milik merupakan tanah yang berada di dalam rizab pantai yang mana sememangnya dasar kerajaan negeri untuk tidak memberi hak milik pada mana-mana pihak.

Pada masa yang sama, timbul masalah kilang tanpa lesen yang beroperasi di kawasan kampung baru. Kerajaan Negeri hanya akan memberikan hak milik untuk kegunaan kediaman dan bukannya industri atau perniagaan, dan berusaha mencari penyelesaian untuk kilang-kilang tanpa lesen di sana. Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan penduduk Kampung Baru untuk meningkatkan infrastruktur dan menjaga kebajikan mereka sepertimana penduduk Selangor yang lain.

Pertindihan Pemberimilikan

Isu pertindihan pemberimilikan ini kebanyakannya berpunca dari masalah rekod tanah. Kebanyakannya berlaku di kawasan bandar atau separa bandar seperti Daerah Petaling dan Gombak. Sebanyak 21 hakmilik di negeri Selangor berada dalam siasatan polis dan mahkamah pada waktu ini, dengan keluasan yang dianggarkan sekitar 7 ekar.

Kenyataan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo tidak membantu menyelesaikan masalah, kerana pegawai kerajaan rasa khuatir dan takut. Menteri Besar akan bertemu dengan Pengarah Tanah dan Galian Negeri dan Pegawai-Pegawai Daerah untuk memastikan mereka meneruskan kerja mereka disamping membantu Kerajaan Negeri mengemaskinikan rekod tanah dan menyelesaikan masalah serius ini. Jika wujud sebarang bukti salahlaku, Kerajaan Negeri akan membuat laporan polis bagi membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Rizab Hutan

Sejumlah 241,568 hektar di negeri Selangor diklasifikasikan sebagai rizab hutan. Jumlah keluasan negeri Selangor ialah 796,084 hektar. Rekod Pejabat Tanah dan Galian mendapati sejumlah 4,325.5 hektar yang telah dibatalkan statusnya antara 2000-2007. Pihak kerajaan negeri sudahpun mengarahkan semua Pejabat Tanah dan Daerah di Selangor untuk mendapatkan senarai pihak yang memperoleh rizab tersebut dan siasatan mendalam akan dijalankan bagi memastikan tindakan tidak bertanggungjawab ini akan dapat diatasi segera.

 
Sekretariat Akhbar
Pejabat Menteri Besar Selangor

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |