+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, April 21, 2008

Keris bukan punca kurang sokongan

Malaysiakini

Apr 20, 08 10:27am

Ketua pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan bahawa keris tidak mempunyai kaitan dengan sentimen perkauman.

umno 2007 pemuda keris 061107 unsheath"Perkara ini dibangkitkan hanya bertujuan menakut-nakutkan pihak tertentu tambahan kita berada dalam negara majmuk dan untuk mempengaruhi adalah perkara biasa,'' beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita semalam.

Akhbar Mingguan Malaysia hari ini melaporkan, beliau menyangkal laporan Malaysiakini kelmarin bahawa naib ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin mengakui isu keris menjadi satu daripada beberapa punca kemerosotan sokongan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum lalu.

Hishammuddin berkata, berita-berita daripada laman web, blog atau khidmat pesanan ringkas (SMS) perlu diteliti terlebih dahulu kerana ia boleh menjejaskan perpaduan dan kredibiliti seseorang individu itu.

''Tak mungkin naib ketua saya boleh menyatakan sedemikian kerana dia sentiasa ada bersama-sama dengan saya," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG ke-39 dan Pengisytiharan 110 Tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Semenyih.

Khairy dilaporkan memberikan kenyataan itu ketika ditemui pemberita di program retreat ahli-ahli parlimen BN di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Bagaimanapun, Khairy dalam laporan itu menolak tanggapan bahawa isu keris menjadi punca utama kemerosotan undi BN.

Keris Panca Warisan

khairy jamaluddin in umno meeting kissing the keris 040906Sebelum ini dua akhbar bawah Kumpulan NSTP, yang dikaitkan dengan Khairy, Berita Harian dan New Straits Times menyalahkan Hishammuddin kerana menghunus keris 'Panca Warisan' selama tiga tahun berturut-turut mulai 2005.

Isu keris menjadi polemik besar selepas Astro membuat siaran langsung perhimpunan agung Umno pada 2006 sewaktu 'Panca Warisan' diarak masuk ke dewan dan kemudiannya dihunus dan dikucup oleh Hishammuddin.

Beliau menjulang keris bagi menunjukkan perjuangan Pemuda Umno mendaulatkan Agenda Melayu.

Bagaimanapun, tindakan Hishammuddin itu dikritik hebat oleh parti-parti komponen dalam Barisan Nasional dan yang paling lantang - Pemuda MCA dan Pemuda Gerakan.

Hishammuddin mempertahankan tindakannya itu dengan menyatakan menghunus keris bukan bererti seseorang itu mahu mengancam atau mahu menikam orang lain, ia hanya simbol semata-mata.

"Malah keris juga tidak boleh dikaitkan dengan satu-satu kaum sahaja," katanya dalam sidang media sempena perhimpunan agung Pemuda MCA pada Ogos 2006.

Dalam perhimpunan agung Umno 2007, Hishammuddin sekali lagi menghunus, mengucup dan menjulang Keris Panca Warisan tanpa menghiraukan bantahan keras dan meluas bahawa ia merupakan simbol 'pergaduhan' yang boleh menimbulkan keresahan antara kaum.

Malah, Khairy selaku naib ketua pergerakan itu mengisytiharkan selagi ada Pemuda Umno, Keris Panca Warisan akan terus dijulang selama-lamanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa sesiapa yang tidak berani menghunus dan menjulang Keris Panca Warisan adalah pengkhianat kepada Melayu dan Umno.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |