+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, April 1, 2008

Kerjasama lebih erat dengan India – Azizan

Utusan online


AZIZAN Abdul Razak (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Ashok K. Kantha yang membuat kunjungan hormat di Wisma Darulaman, Alor Star, semalam. – Bernama


ALOR STAR 31 Mac – Kerajaan negeri akan menjalinkan kerjasama lebih erat dengan India bagi meneroka potensi baru dalam pelbagai bidang terutamanya bidang bioteknologi dan farmasi.

Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak berkata, dua bidang itu ternyata boleh memberi faedah dalam bidang ekonomi kepada kedua-dua pihak dan perlu dipandang serius oleh semua pelabur di negeri ini.

Azizan memberitahu, kerajaan India telah mengajak beliau untuk mengadakan lawatan kerja ke sana dan berjumpa dengan para pelabur bagi menerangkan bentuk kerjasama yang boleh dijalankan dengan mereka.

“Saya akan membawa perkara ini kepada Pusat Pelaburan Kedah untuk dikaji dan dipertimbangkan secepat mungkin.

“Banyak bidang baru terutamanya bioteknologi dan farmasi boleh diteroka dan boleh membawa keuntungan kepada kedua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akbar sempena kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi India, Ashok K. Kantha yang mengadakan lawatan ke Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Azizan berkata, negeri ini mempunyai pelbagai keistimewaan terutamanya dalam bidang perindustrian, pelancongan dan sebagainya yang boleh dieksploitasi oleh para pelabur.

“Kita ada Taman Perindustrian Kulim yang lengkap dengan pelbagai prasarana untuk ditawarkan kepada pelabur manakala kita juga menyasarkan lebih ramai pelancong dari India melawat Kedah,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama yang telah terjalin sejak dari dahulu mesti dipelihara dengan lebih erat bagi mewujudkan peluang-peluang baru yang boleh membawa faedah bagi kedua-dua negara.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak mahu hanya tertumpu kepada satu negara sahaja untuk mengadakan kerjasama tetapi semua negara yang berminat amat dialu-alukan datang dan menjalinkan kerjasama.

Dalam pada itu, Ashok berkata, India dan Kedah telah lama mengadakan kerjasama dua hala dan beliau melihat negeri ini mempunyai potensi yang luas untuk diteroka bersama.

“Tahun lepas India melabur RM1 bilion di negara ini dan Kedah juga termasuk dalam senarai negeri yang mempunyai kerjasama pelaburan dengan India.

“Tahun ini kita mahu lebih banyak pelabur dari India dan Kedah untuk menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya bidang bioteknologi dan farmasi,” katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |