+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, April 21, 2008

Kumpulan 11 muncul...dakwa Dr. Mahathir penyebab UMNO haram


Agenda daily



Bunyi nama kumpulan mereka seperti penyamun dan penyangak.Dalam sejarah UMNO ‘Kumpulan 11’ tercatat sebagai perosak yang akhirnya telah menyebabkan mahkamah membuat keputusan parti itu haram 20 tahun yang lampau.

Generasi muda hari ini mungkin tidak kenal wajah-wajah 11 orang ahli UMNO itu yang mempertikaikan kesahihan Perhimpunan Agung UMNO tahun 1987 yang menyaksikan pertandingan antara Team A Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Team B Tengku Razaleigh Hamzah.

Dalam pertandingan bersejarah pada 24 April 1987 itu Dr Mahathir menewaskan Tengku Razaleigh dengan majoriti cuma 43 undi.

Segalanya bermula bila kumpulan yang asalnya dianggotai oleh 12 orang itu merayu kepada ibupejabat UMNO supaya siasatan dibuat kerana mendakwa ada beberapa kes dimana ada mesyuarat UMNO cawangan dan bahagian tidak sah .

Selepas ia tidak dilayan baru mereka membawanya ke mahkamah.

Jika mesyuarat cawangan dan bahagian itu tidak sah maka dengan sendirinya perwakilan mereka yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO itu juga tidak sah.

Ini yang akhirnya membawa kepada Hakim Harun Hashim memutuskan UMNO haram.

Pagi Sabtu salah seorang anggota Kumpulan 11 itu,Rahim Abdul Rahman ( baju merah) mengadakan satu sidang akhbar di sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk menuntut agar diperbetulkan fakta sejarah tentang fiasco pengharaman UMNO itu.

Bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada bekas Timbalan Menteri Pengangkutan,Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar ini tidak mahu lagi kumpulan itu terus menerus dipandang sebagai ‘ budak jahat’.

Rahim tampil ke depan setelah melihat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menunjukkan kesungguhan beliau untuk memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap badan kehakiman negara.

Khamis malam Perdana Menteri menghadiri jamuan makan malam Majlis Peguam yang turut dihadiri oleh bekas Ketua Hakm Negara Tun Salleh Abas dan tiga lagi bekas hakim yang dipecat dari jawatan mereka oleh sebuah tribunal hakim 20 tahun lampau atas alasan melakukan salahlaku kehakiman.

Pemecatan Salleh dan lima lagi hakim dikaitkan dengan keputusan mahkamah mengharamkan UMNO ekoran pemilihan jawatan Presiden UMNO antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun1987.

Rahim yang kata beliau mewakili rakan-rakan lain dalam kumpulan itu ( ada yang sudah meninggal dunia) mendakwa bahawa UMNO haram kerana tindak tanduk Dr Mahathir yang tidak mahu melihat UMNO pulih sebab bimbang pemilihan UMNO perlu diadakan semula waktu itu.

Katanya tindakan mereka membawa kes mesyuarat cawangan dan bahagian yang tidak sah itu semata-mata bertujuan agar Perhimpunan Agung UMNO diadakan semula dan bukan hendak melihat UMNO haram.

Dakwa Rahim semasa mereka merayu kepada ibupejabat UMNO supaya siasatan dibuat Dr Mahathir dan Setiausaha Agung UMNO masa itu Tan Sri Sanusi Junid bersikap tidak demokratik tidak melayan dan menjawabnya dengan betul.

“Sebelum ini tidak seorang pun berani mempertikaikan tingkah laku Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Sanusi Junid yang dengan sewenang-wenangnya mentabir parti mengikut acuan dan citarasa mereka,”katanya.

Beliau mendakwa Dr Mahathir tidak mahu Perhimpunan Agung UMNO diadakan semula kerana tidak yakin keputusan akan menyebelahi beliau jika pemilihan diadakan semula.

Dakwannya sebab itu bekas Perdana Menteri itu lebih suka melihat UMNO haram.

“Di situlah bermulanya episod The Grand Design of Mahathir ,”dakwa Rahim yang turut melibatkan pemecatan para hakim itu.

Katanya beliau sedia disaman oleh Dr Mahathir dan berdepan dengannya di mahkamah kerana membuat dakwaan ini.

Beliau juga kesal dengan cara bekas Perdana Menteri itu membangkitkan banyak isu berhubung dengan kepimpinan Abdullah iaitu orang yang beliau tunjuk mengantikannya.

“Soalnya apakah beliau merupakan the saints yang tidak terlepas daripada kesalahan dan dosa ?Soalnya apakah beliau lupa bahawa banyak kesalahan dan dosa beliau terhadap ahli-ahli UMNO dan rakyat masih belum tertebus?

“Pada hemat saya beliau sengaja melemparkan kritikan-kritikan pedas serta memperkecilkan YAB Perdana Menteri kerana tergugat oleh ketelusan YAB Perdana Menteri serta didorong oleh rasa takut bahawa kesalahan-kesalahan beliau akan terdedah satu demi satu,” dakwa Rahim.- 19/4/2008

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |