+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, April 6, 2008

PM minta Cuepacs fikir semula hasrat boikot Hari Pekerja

Mstar Online

05-04-2008 05:09:24 PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini meminta Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memikirkan semula keputusannya untuk memboikot sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini.

"Fikirlah semula dan jangan guna pendekatan nak gertak atau mengugut untuk boikot hari yang penting untuk pekerja," kata Perdana Menteri.

Abdullah berkata beliau lebih suka perkara itu diselesaikan melalui perbincangan.

"Saya berharap Cuepacs tidak akan menggunakan pendekatan mendesak dan mengugut kerana sudah menjadi tradisi kita mengutamakan rundingan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Perbuatan mengertak atau mengugut seperti ini perlu dielakkan," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Kompleks Kraf di sini untuk bertemu pengusaha kraf sempena sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2008 anjuran Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Rabu lepas Presiden Cuepacs Omar Osman berkata anggota kesatuan sekerja itu akan memboikot dua sambutan Hari Pekerja Mei depan, jika lima tuntutan mereka terhadap kerajaan tidak dipenuhi.

Beliau berkata kedua-dua sambutan Hari Pekerja itu ialah yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia melibatkan kakitangan sektor awam dan swasta pada 3 Mei dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 29 Mei depan membabitkan anggotanya di seluruh negara.

Lima tuntutan itu ialah bayaran honorarium tahun 2007 sebanyak RM2,000 kepada 1.2 juta kakitangan kerajaan, kadar pencen mengikut perkhidmatan sebenar, pelanjutan umur persaraan daripada 55 tahun kepada 60 tahun, pemansuhan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) serta elaun kritikal dan imbuhan tetap perumahan.

Omar berkata tindakan memboikot itu adalah keputusan yang diambil dalam mesyuarat bersama 120 kesatuan yang bergabung di bawah kesatuan tersebut.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil masa untuk menimbang permintaan Cuepacs kerana perlu mengambil kira pelbagai perkara khususnya kemampuan kewangan.

Katanya, kerajaan telahpun menaikkan gaji kakitangan kerajaan pada kadar yang tinggi pada tahun lepas bagi menjamin pencen lebih besar semasa persaraan mereka.

"Jika kita hendak beri honorarium atau bonus, kita boleh kurangkan kadar kenaikan. Lainlain tambahan seperti elaun sara hidup (COLA) juga diberikan," kata beliau.

Ketika ditanya sama ada beliau bersedia berjumpa wakil Cuepacs untuk berbincang mengenai perkara itu, Perdana Menteri berkata: "Boleh, bila tiba masa tertentu untuk berbincang lanjut, tidak ada masalah, kajian mengenai perkara ini juga sedang dibuat."

Mengenai tiga jawatan Timbalan Menteri yang kosong dalam Kabinet, Abdullah berkata pengumumannya akan dibuat minggu depan.

Abdullah turut ditanya sama ada beliau berhasrat untuk bertemu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi meredakan keadaan berikutan pergolakan yang berlaku dalam Umno selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas.

"Tengoklah," jawabnya ringkas.

Ketika diajukan persoalan mengenai kemungkinan Setiausaha Perhubungan Umno Pahang Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman dipecat berikutan kenyataannya semalam yang meminta semua ahli Majlis Tertinggi Umno meletakkan jawatan, Abdullah sambil tersenyum menjawab:"Hari ini bukan untuk perkara politik, esok boleh". BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |