+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, April 29, 2008

Tuanku Mizan Mahu Koridor Ekonomi Manfaatkan Semua

Bernama

29 April, 2008 11:14 AM


KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Yang di- Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah agar kerajaan memastikan pelaksanaan lima koridor pembangunan wilayah ekonomi memberi manfaat kepada semua rakyat.

Ini kerana projek pembangunan ekonomi itu tidak hanya tertumpu kepada kawasan-kawasan tertentu tetapi akan meliputi seluruh negara selain bakal mewujudkan lebih 12 juta pekerjaan dalam pelbagai sektor.

"Sehubungan itu, beta berharap pelaksanaan lima koridor pembangunan wilayah ekonomi akan menggiatkan lagi aktiviti ekonomi, menaikkan taraf hidup rakyat, membasmi kemiskinan serta mengurangkan jurang pendapatan antara kaum, negeri dan wilayah," titah Seri Paduka semasa merasmikan penggal pertama Persidangan Parlimen ke-12 di sini hari ini.

"Beta mengucapkan tahniah kepada Memanda Perdana Menteri kerana telah membawa ekonomi negara mencapai kejayaan walaupun menghadapi pelbagai cabaran luar seperti pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih sederhana, kenaikan harga minyak mentah dan bahan makanan dunia serta persaingan sengit perdagangan dan pelaburan," titah Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka bertitah ekonomi negara tahun lalu berkembang 6.3 peratus melebihi sasaran enam peratus dan pendapatan per kapita meningkat melebihi RM23,000 manakala kadar inflasi kekal rendah pada dua peratus dan kadar pengangguran pada 3.3 peratus.

Tuanku Mizan seterusnya mahu kerajaan menilai semula keutamaan program dan projek pembangunan yang dilaksana dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) semasa kajian separuh penggal kelak bagi mencapai lima teras Misi Nasional.

Selain itu kajian separuh penggal RMK-9 juga mesti memberi tumpuan kepada usaha-usaha meningkatkan daya tahan dan daya saing negara, titah Seri Paduka.

"Beta menghargai kesungguhan kerajaan beta melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah RMK-9. Sehingga Mac lalu sebanyak RM81.7 bilion bersamaan 40.8 peratus daripada peruntukan sebanyak RM200 bilion telah dibelanjakan.

"Ini telah memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara terutamanya sektor pembinaan dan industri berkaitan pembinaan. Beta berharap kadar pertumbuhan yang mapan ini dapat dikekalkan," titah Yang di-Pertuan Agong.

Tuanku Mizan bertitah baginda turut berbangga dengan kejayaan kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan kepada 3.6 peratus berbanding 75 peratus semasa negara mencapai kemerdekaan, manakala kadar kemiskinan tegar berjaya dikurangkan kepada 0.7 peratus.

"Beta yakin kemiskinan tegar akan dapat dihapuskan menjelang tahun 2010," titah Seri Paduka.

Tuanku Mizan juga mahu kerajaan, dalam menghadapi persekitaran yang semakin mencabar agar meningkatkan usaha-usaha meneroka sumber-sumber pertumbuhan dan pasaran baru di samping memperluaskan pasaran sedia ada, menghasilkan produk dan perkhidmatan baru, membina perkongsian pintar serta mempertingkatkan kecekapan dan produktiviti.

Tuanku Mizan juga bertitah baginda yakin kejayaan lebih besar akan dikecap apabila negara memasuki fasa 50 tahun yang kedua selepas kemerdekaan setanding dengan negara-negara maju.

-- BERNAMA


0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |