+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 22, 2008

Ahli Parlimen BN sokong PM

Berita Harian

Oleh Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Azman Zakaria, Abdul Halem Yusoff, Faiza Zainuddin dan Norliza Wasilan


PERKUKUH PARTI: Abdullah dan Najib melihat dokumen ditunjukkan Tengku Adnan sebelum mesyuarat khas MT Umno, di Menara Datuk Onn, PWTC, malam tadi.

Komponen mahu Pak Lah kekal, tolak saranan Dr M minta ahli Umno tinggal parti

KUALA LUMPUR: Selepas menerima sokongan padu daripada Ahli Parlimen Umno kelmarin, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mendapat ikrar taat setia daripada kalangan Ahli Parlimen parti komponen Barisan Nasional (BN).

Mereka bukan saja mahu Abdullah terus menerajui negara, malah secara tegas menolak saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang meminta supaya ahli Umno bertindak meninggalkan parti itu.

Semua Ahli Parlimen parti komponen berpendapat, tindakan ahli Umno keluar daripada parti tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya akan hanya menjejaskan kestabilan kerajaan BN yang ditunjangi Umno serta membantu pembangkang merealisasikan hasrat membentuk kerajaan.

Naib Presiden MCA yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Ong Tee Keat, berkata semua wakil rakyat BN akan terus setia menyokong kepemimpinan Abdullah dan tidak timbul keperluan untuk mereka mendesak pengunduran Perdana Menteri.

"Kita sudah tegaskan berkali-kali bahawa semua parti komponen BN menyokong penuh Abdullah yang diberi mandat oleh rakyat dalam pilihan raya umum lalu dan keputusan itu mesti dihormati," katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, semalam. Ong yang juga Menteri Pengangkutan berkata, walaupun gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Parlimen pada pilihan raya umum lalu, hakikatnya Perdana Menteri tetap berjaya memacu kejayaan BN.

Kelmarin, Ahli Parlimen daripada Umno menyatakan sokongan padu terhadap kepemimpinan Abdullah sebagai presiden parti serta berikrar tidak akan meninggalkan Umno seperti disarankan Dr Mahathir yang mengumumkan keluar daripada parti Isnin lalu.

Ikrar taat setia itu dinyatakan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri di Bangunan Parlimen. Mereka juga sebulat suara bersetuju menubuhkan Kumpulan Wakil Rakyat Umno bagi memudahkan Ahli Parlimen daripada parti itu berkumpul membincangkan pelbagai isu mengenai parti.

Isnin lalu, Dr Mahathir ketika mengumumkan keputusannya keluar daripada Umno berkuat kuasa serta-merta kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah, mengajak semua ahli Umno lain mengikuti jejaknya dan hanya kembali menyertai parti itu selepas Abdullah meletak jawatan.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan berkata, beliau dan parti itu akan terus memberikan sokongan padu terhadap kepemimpinan Perdana Menteri sebagai Pengerusi BN dan meminta semua ahlinya menghormati mandat rakyat.

"Saya juga yakin semua parti komponen BN lain turut berpendirian sedemikian," katanya yang menyifatkan tindakan Dr Mahathir keluar daripada Umno tidak akan menjejaskan kekuatan BN.

Pairin yang juga Ahli Parlimen Keningau berkata, soal masuk dan keluar parti bukan perkara yang ganjil atau luar biasa dan tindakan Dr Mahathir itu adalah sesuatu yang memang biasa berlaku di negara ini serta tidak sepatutnya diperbesar-besarkan.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah, Datuk Liew Vui Keong pula berkata, sebagai anggota komponen BN, parti itu akan tetap setia menyokong Abdullah kerana beliau adalah Perdana Menteri yang sah selepas pilihan raya lalu.

Justeru, beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, cadangan Dr Mahathir supaya ahli Umno dan BN keluar parti tidak boleh diterima kerana Abdullah hanya lucut jawatan jika tewas pada pilihan raya.

Ahli Parlimen Sandakan itu berkata, jika ada wakil rakyat BN yang mahu menyahut saranan Dr Mahathir, mereka perlu mengosongkan kerusi dan mendapat mandat baru rakyat, tetapi yakin tiada yang akan mengkhianati perjuangan BN.

Sementara itu, Ketua Penerangan MIC, Datuk M Saravanan, berkata desakan Dr Mahathir supaya ahli Umno bertindak keluar parti bagi memberi tekanan kepada Abdullah supaya berundur, mungkin satu tindakan yang akan memakan diri.

Ahli Parlimen Tapah yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, pembangkang akan menggunakan kesempatan apabila parti kerajaan hilang majoriti di Dewan Rakyat untuk cuba membentuk kerajaan.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Douglas Uggah Embas, berkata beliau dan parti akan terus menyokong Abdullah yang sudah membuktikan keupayaannya membawa pembangunan ke seluruh negara, termasuk di Sarawak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Betong berkata, sebagai tunjang kekuatan BN di Sarawak, semua ahli PBB juga berpuas hati dengan prestasi Abdullah sebagai pemimpin dan tidak perlu mengikut saranan Dr Mahathir.

Katanya, rakyat Sarawak sudah membuat keputusan pada pilihan raya umum lalu dengan memberi 30 daripada 31 kerusi Parlimen kepada BN dan mandat itu mesti dihormati dan tidak dikhianati.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |