+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, May 21, 2008

Azalina berbohong di Dewan Rakyat

Harakahdaily

Wed | May 21, 08 | 3:01:14 pm MYT

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) - Menteri Perlancongan, Dato' Seri Azalina Othman Said dinasihat supaya meneliti tuduhan yang hendak dibuat sebelum mengeluarkannya kepada umum.

Saranan dibuat Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (Kota Bharu-PAS) yang kesal dengan dakwaan tidak berasas menteri berkenaan kononnya Kerajaan PAS Kelantan gagal membayar gaji kakitangan Majlis Tindakan Perlancongan negeri selama tiga bulan.

"Saya yang pernah berkhidmat sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan selama tiga penggal serta bersama-sama kepimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat selama 18 tahun tidak pernah gagal membayar gaji kepada kakitangan kerajaan negeri walaupun selama sebulan," katanya ketika ditemui selepas sidang Dewan Rakyat, semalam.

Tegas beliau, tuduhan Azalina itu bersifat tohmahan dan finah terhadap kerajaan Kelantan apatah lagi ia dijadikan alasan untuk membatalkan perjanjian persefahaman program pelancongan di negeri-negeri Kerajaan Pakatan Rakyat yang lain.

"Menteri tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan tersebut secara terbuka kerana ia boleh memberi kesan kepada semua pihak yang mendengar hal ini, seolah-olah ingin menggambarkan kerajaan negeri Kelantan telah menganiayai staf pelancongan.

"Saya sudah merujuk isu ini kepada lima orang individu yang berkaitan iaitu Exco Perlancongan negeri Kelantan, Dato' Takiyuddin Hasan; Exco Perlancongan negeri sebelumnya, Dato' Anuar Tan; Pengarah Pusat Penerangan Pelancongan, Haji Mohd Arif Mohd Nor; Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Kelantan, Nik Azman Nik Ahmad dan Pengarah Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan, Haji Sulaiman," katanya.

Berdasarkan penjelasan kelima-lima individu ini jelasnya, kes ini telah berlaku enam tahun yang lalu iaitu pada tahun 2002.

"Mana mungkin Dato' Azalina boleh bangkitkan hal ini sedangkan beliau baru berkhidmat sebagai menteri Perlancongan selama dua bulan, kerana pada ketika itu menteri yang bertanggungjawab adalah Dato' Seri Abdul Kadir Syeikh Fadzir yang kemudian diambil alih oleh Dato' Tengku Adnan Tengku Mansor," ujarnya.

Azalina yang diminta penjelasan mengenai sumber maklumat yang diperolehi beserta maklumat yang lengkap mengenai isu tersebut pula menyatakan bahawa beliau hanya mendapat maklumat itu menerusi pegawainya tanpa meneliti kesahihan maklumat tersebut.

Beliau mengakui tidak pasti dengan maklumat tersebut dan akan memastikannya selepas ini.

Mengulas mengenai senario tersebut Wan Abd Rahim melahirkan kekecewaan dengan sikap yang ditunjukkan oleh menteri itu yang disifatkan sebagai tidak profesional kerana mengambil maklumat yang bersifat khabar angin untuk dijadikan hujah.

"Sudah tentu beliau tidak mendapat maklumat yang jelas mengenai hal tersebut dan tidak wajar beliau menyatakan hujah untuk menolak perjanjian persefahaman pelancongan di lima buah negeri Pakatan Rakyat dengan bersandarkan kepada faktor yang beliau sendiri pun tidak jelas puncanya," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Siti Zailah Mohd Yusof (PAS - Rantau Panjang-) menyifatkan tuduhan yang dilemparkan Azalina itu sebagai melampau dan tidak berasas.

"Ini kerana Majlis Tindakan Perlancongan Negeri (MTPN) terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan bukan kerajaan negeri.

"Menteri yang berkenaan hendaklah meneliti terlebih dahulu hujah yang hendak dikemukakan sebelum menuduh pihak yang tidak bersalah dengan merujuk kepada sumber yang bersifat khabar angin, ini menunjukkan kelemahan pihak kerajaan," tegasnya.

Beliau juga mendapat maklumat bahawa Exco Kerajaan Negeri tidak dijemput dalam majlis perasmian Pameran Unggas anjuran kementerian yang diadakan di Kelantan.

"Kita dimaklumkan ia adalah program kerajaan persekutuan yang terkandung di dalam kalendar kerajaan tetapi kenapa tidak mahu menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri?

"Siapa yang tidak mahu bekerjasama dan siapa yang mengamalkan diskriminasi?" tegasnya lagi.

Menceritakan situasi sebenar yang berlaku enam tahun lalu, Wan Abdul Rahim berkata pada 1 September 2002 Kerajaan Persekutuan bersetuju melantik exco perlancongan negeri Kelantan ketika itu sebagai Pengerusi MTPN.

Akan tetapi, ujarnya persetujuan itu gagal diteruskan apabila mendapat bantahan Umno Kelantan.

"Jadi mereka pun membuat lantikan sendiri tanpa menerima keputusan Kementerian Pelancongan ketika itu, dengan melantik pegawai tadbir negeri sebagai Pengarah MTPN, menyebabkan Kelantan menjadi satu-satunya negeri yang pengarah MTPN-nya di kalangan bukan Exco pelancongan negeri.

"Ini sekaligus menyebabkan peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada kerajaan negeri itu sebanyak RM2 juta tidak dapat dibayar kepada kakitangan MTPN daripada tahun 2002 sehingga kini kerana pengarah MTPN yang ada sekarang tidak boleh menggunakan peruntukan tersebut memandangkan beliau bukan exco kerajaan negeri," ujarnya.

Persoalan tentang pembayaran gaji pegawai MTPN dibangkitkan Azalina ketika menjawab soalan Fong Poh Kuan (DAP-Batu Gajah) yang memohon penjelasan mengenai alasan Kementerian Pelancongan membatalkan perjanjian persefahaman dengan negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Azalina mendakwa pengalaman menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan sebelum ini yang pernah tidak membayar gaji pegawai MTPN menyukarkan kerjasama tersebut diteruskan dalam situasi sekarang bersama negeri-negeri yang dikuasai Pakatan rakyat yang lain.

beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat bangkit meminta penjelasan daripada Azalina namun beliau tidak mengendahkan permintan tersebut meskipun didesak Speaker Dewan, Dato' Wan Junaidi.

Kemudian Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (Kota Bharu-PAS) bangkit membacakan peraturan mesyuarat 36(4) ke atas Azalina yang berniat mengemukakan tuduhan yang tidak berasas kepada kerajaan Kelantan.

Namun, Azalina gagal menjawab soalan berkenaan dengan hanya menyatakan beliau mendapat maklumat mengenainya daripada seorang pegawai.- tajdid

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |