+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, May 6, 2008

Cuti bersalin 90 hari legasi kerajaan PAS Terengganu

Harakahdaily

Mat Zain Mat Isa

Tue | May 06, 08 | 6:23:48 am MYT

Lima kerajaan negeri diperintah Pakatan Rakyat (PR) sudah hampir pasti bakal melanjutkan tempoh cuti bersalin bagi kakitangan wanita sektor awam daripada 60 hari kepada tempoh lebih panjang sedikit masa lagi. Serentak itu cuti khas isteri bersalin kepada kakitangan lelaki juga akan ditambah.

Persetujuan untuk mempertimbangkan perkara itu dinyatakan wakil kelima-lima negeri pada sidang media selepas majlis Perhimpunan Pekerja 2008 dan Wacana Kebangsaan Ketiga, di Stadium Melawati, Shah Alam, semalam (4 Mei).

Hadir pada sidang media itu ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Pulau Pinang diwakili Timbalan Ketua Menteri 1, Muhamad Fairuz Khairuddin, manakala Kelantan dan Kedah oleh anggota Exco masing-masing, iaitu Dato' Husam Musa dan Ir Phahrolrazi Zawawi.

Selangor dilaporkan bercadang memberi cuti bersalin 90 hari beserta cuti tambahan sehingga 10 hari kepada suami supaya dapat membantu menguruskan rumah tangga. Kelantan pula bersetuju menambah 10 hari lagi cuti itu bagi menjadikannya 70 hari. Jumlah itu dijangka akan turut diterima pakai Kedah.

Pulau Pinang pula sedia mengkaji memberi cuti bersalin 75 hari, manakala Perak belum menetapkan jumlah cuti bersalin, tetapi bersedia menambahnya selaras dengan negeri-negeri PR yang lain.

Cuti bersalin di negara ini pada asalnya hanya 40 hari. Tempoh itu diubah kepada 60 hari oleh kerajaan Kelantan selepas diperintah PAS pada 1990. Di awal pelaksanaan dasar baru itu, kerajaan Kelantan dikritik hebat beberapa kalangan, terutama para pemimpin Barisan Nasional (BN).

Namun, atas desakan kesatuan sekerja dan penjawat awam, Kerajaan Pusat beberapa tahun kemudian turut meluluskan cuti bersalin selama 60 hari untuk kakitangan awam seluruh negara.

Satu-satunya kerajaan yang melaksanakan cuti bersalin melebihi 60 hari kepada kakitangannya ialah kerajaan Terengganu yang diterajui PAS. Berkuatkuasa 1 April 2000, kerajaan PAS Terengganu telah memperkenalkan Kemudahan Cuti Bersalin 90 hari kepada pegawai dan guru wanita. Serentak itu juga diperkenalkan Cuti Isteri Bersalin selama tujuh hari kepada suami terbabit.

Bagi melaksanakan kemudahan itu, pegawai atau guru wanita diberi opsyen tambahan 30 hari cuti bersalin yang direkodkan sebagai Cuti Menjaga Anak (Cuti Tanpa Gaji). Bagaimana pun, kerajaan negeri bersetuju membayar gaji penuh 30 hari tambahan itu sebagai Elaun Khas Bersalin. Ertinya, ia tetap menjadi cuti bergaji.

Sebagaimana pembaharuan oleh kerajaan PAS Kelantan awal 90-an dulu, idea cuti 90 hari di Terengganu itu juga dipandang sinis para pemimpin negara. Mereka memberikan komen negatif, kononnya tempoh cuti yang terlalu panjang akan merugikan produktiviti. Pegawai atau kakitangan berkenaan juga didakwa akan menjadi bertambah malas untuk kembali bekerja setelah terlalu lama berehat.

Reaksi sebaliknya diterima daripada kakitangan awam dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Mereka nampak rasional pembaharuan itu, khususnya bagi memastikan tahap kesihatan ibu dalam keadaan terbaik sebelum mula bekerja semula.

Hanya setelah lebih lima tahun idea itu dilaksanakan PAS Terengganu, Kerajaan Pusat mula membuka mata mengenai rasional pelaksanaannya. Pada Julai 2005, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil membangkitkan soal semakin ramai kakitangan wanita sektor awam memilih meletak jawatan selepas melahirkan anak.

Shahrizat berkata alasan utama mereka ialah bagi menumpukan lebih masa kepada keluarga. Kecenderungan itu, menurut beliau amat merugikan negara.

"Kita tidak mahu disebabkan tempoh cuti bersalin yang pendek (60 hari), maka mereka (pekerja wanita) berhenti kerja kerana kesihatan serta tubuh badan belum bersedia untuk kembali bertugas," kata Shahrizat.

Sehubungan itu, beliau sendiri mencadangkan agar kerajaan melanjutkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 12 minggu.

Shahrizat bukan setakat mengakui kebaikannya, malah turut mengemukakan berbagai justifikasi menyokong pelaksanaannya. Beliau antara lain mengatakan hampir 80 peratus negara di dunia kini memberikan tempoh cuti bersalin selama 12 minggu atau lebih kepada wanita yang melahirkan anak.

Beliau turut memetik kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang mendapati ramai pekerja wanita menamatkan perkhidmatan selepas melahirkan anak pertama. Fenomena itu, katanya, kini turut melanda Malaysia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu, Dato' Seri Rafidah Aziz di dalam reaksinya turut merasionalkan cadangan Shahrizat itu. Katanya, ia sejajar dengan ketetapan Konvensyen ILO, bahawa tempoh cuti bersalin bagi pekerja wanita yang paling ideal ialah 12 minggu.

Kenyataan dua menteri wanita itu sekaligus suatu 'pengiktirafan' terhadap pembaharuan dibuat kerajaan PAS Terengganu itu. Mereka yang dahulunya beria-ia meremehkan dan mencari kelemahan pelaksanaan itu, akhirnya sepenuh daya merasionalkan pula tindakan yang sama.

Cadangan itu bagaimanapun hanya kekal 'di dalam pertimbangan' kerajaan Pusat. Hingga kini ia masih belum dilaksanakan. Manakala kedua-dua menteri yang memperjuangkan cuti bersalin 12 minggu itu tidak lagi berada di dalam kabinet.

Persetujuan kelima-lima negeri diperintah PR semalam untuk melanjutkan cuti bersalin tadi bukan sahaja mendahului kerajaan Persekutuan, tetapi di masa sama turut mengiktiraf suatu legasi ditinggalkan pemerintahan singkat PAS di Terengganu. - mks.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |