+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, May 4, 2008

Isu JAIP: Istana bertindak adil, bijaksana

Utusan Online


IPOH 3 Mei - Para pemimpin politik dan orang ramai menyifatkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah telah bertindak adil dan bijaksana bagi merungkai kemelut pertukaran serta-merta yang diarahkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, baginda tidak akan membuat keputusan dengan sewenang-wenangnya mengenai perkara yang akan dititahkan.

''Saya menjunjung kasih atas titah Sultan Perak yang bertindak dengan adil lagi bijaksana bagi merungkai kemelut keangkuhan kuasa Menteri Besar Perak. Sewajarnya Menteri Besar sedar dengan prinsip keadilan yang kononnya beliau perjuangkan.

''Oleh itu, saya harap tidak ada mana-mana pihak yang cuba memanipulasi titah Tuanku melalui sebarang bentuk siaran yang boleh mencemar ketinggian martabat Sultan Perak," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam laporan akhbar hari ini yang menitahkan pertukaran serta-merta yang diarahkan oleh Menteri Besar Perak terhadap Pengarah JAIP ditarik balik.

Istana Perak menyifatkan perbuatan Mohammad Nizar menukar Jamry Selasa lalu telah membelakangkan kedudukan Sultan Perak sebagai ketua agama Islam dan Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP).

Zambry berkata, Mohammad Nizar sebagai seorang yang berkedudukan tinggi sewajarnya bertindak secara matang dan bukannya mengikut emosi dalam membuat keputusan.

''Apa bentuk keadilan yang diperjuangkan apabila seorang pegawai kerajaan diperlakukan sebegitu, sehingga tidak diberi ruang untuk bersuara dan mempertahankan diri.

''Menteri Besar seharusnya bertindak dengan ilmu dan bukannya emosi melampau. Tentunya anggota kerajaan amat terguris dengan peristiwa ini," ujarnya.

Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Fadzi Paharudin pula menyifatkan, campur tangan Sultan Perak sebagai ketua agama Islam negeri sangat penting bagi menyelamatkan institusi agama dan meredakan kegelisahan rakyat.

Menurut beliau, Menteri Besar Perak sekarang perlu melihat rekod Barisan Nasional (BN) yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan hubungan yang baik dengan Istana berdasarkan peraturan perjawatan dan undang-undang tadbir agama negeri.

''Tidak pernah berlaku tindakan sedemikian semasa BN memerintah, jelas mereka rakus dan ingin menunjukkan kuasa serta nawaitu sebenar sehingga lupa dan sanggup membelakangi Sultan Perak.

''Ini satu pengajaran kepada mana-mana Menteri Besar supaya jangan gelojoh dalam membuat keputusan," katanya.

Dalam pada itu, seorang pengamal undang-undang, Saiful Adli Mohd. Arshad berkata, semua masalah tidak timbul sekiranya Menteri Besar menggunakan pendekatan yang betul.

''Saya tidak tahu mengapa Menteri Besar Perak membuat tindakan sebegitu, sama ada beliau tidak tahu atau tidak menghormati peraturan.

''Sepatutnya Menteri Besar memohon restu sultan untuk membuat sebarang perubahan kerana jabatan agama Islam tertakluk di bawah kuasa sultan. Walaupun, pertukaran Pengarah JAIP sudah ditarik balik, kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |