+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, May 31, 2008

Ku Li tetap tanding meskipun Pak Lah berundur

Mstar Online

30-05-2008 11:35:55 PM

KOTA BAHARU: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah tetap akan bertanding jawatan Presiden Umno meskipun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memutuskan untuk berundur sebelum pemilihan parti Disember ini.

"Saya menawarkan diri (untuk bertanding jawatan Presiden) bukan hanya kerana faktor Pak Lah (Abdullah) tetapi kerana keperluan untuk menyegarkan semula Umno dan mengembalikan arah tuju memandangkan masa depan (parti) kelihatan malap. Ia juga untuk menghidupkan usaha pembangunan negara," katanya.

Beliau mengumumkan untuk bertanding jawatan itu selepas pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu.

Bekas Naib Presiden Umno itu pernah mencabar Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk jawatan presiden pada 1987 tetapi tewas.

Desas-desus kedengaran bahawa beliau tidak akan mencabar Abdullah jika mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan kedudukannya kali ini.

Kata Tengku Razaleigh, kerusi presiden dan timbalan presiden lazimnya terbuka untuk rebutan apabila ada pemilihan parti.

Pemilihan parti sepatutnya diadakan tahun lalu tetapi ditangguhkan sehingga bulan Disember disebabkan pilihan raya umum ke-12.

Semasa berada di Kota Kinabalu minggu lalu, beliau telah meminta bahagian-bahagian UMNO di Sabah supaya tidak takut untuk mencalonkan beliau bertanding jawatan presiden pada pemilihan Disember ini.

Ketika ditanya sama ada sesuai bagi Abdullah meletakkan jawatan sebelum Disember, Tengku Razaleigh memberitahu, beliau perlu tunggu dan lihat kerana bahagian-bahagian hanya akan mengadakan persidangan tahunan dan pemilihan pada Oktober ini.

Mesyuarat cawangan bermuka Julai ini.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Persatuan Seni Silat Tomoi Kelantan di Kuala Besar di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Nor ke dalam Umno, Tengku Razaeligh berkata, langkah itu boleh membantu menarik sokongan golongan muda yang ketika ini cenderung kepada pembangkang untuk menyertai parti terbesar bangsa Melayu itu.

Kata beliau, ini kerana Ezam mempunyai pengaruh yang besar terhadap politik negara dan mempunyai pengikut terutama golongan muda ketika bersama PKR sebelum ini.

"Saya rasa Ezam boleh membantu menarik golongan muda ke dalam Umno kerana dia seorang ahli politik yang ada pengaruh dan boleh membantu," katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang berkata, untuk itu beliau sanggup bersama pemimpin yang lain bagi membantu menarik golongan muda menyertai Umno.

Veteran Umno itu juga berkata, Ezam boleh membawa ideai-dea baru untuk sama-sama membantu menyumbang untuk kebaikan masyarakat dan juga Umno.

"Umno boleh guna Ezam jika dia benar-benar ikhlas untuk berjuang dalam Umno," katanya.

Beliau juga berkata, selain Ezam, Umno perlu membuat sesuatu untuk mempelawa mana-mana bekas pemimpinnya untuk kembali ke dalam parti itu.

"Saya rasa apa yang Tun (Dr. Mahathir Mohamad) buat (keluar Umno) sebenarnya dia masih mempunyai jiwa Umno dan tegurannya sebelum ini bagi saya untuk kepentingan Umno dan negara juga," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |