+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, May 4, 2008

Kurang kos projek demi makanan: PM

Berita Harian

Oleh Zainab Mohd Yatim dan Rohaniza Idris


TERTARIK: Abdullah melihat robot yang boleh berkata dan menari hasil ciptaan Pusat Latihan Pengajian Tinggi sambil diperhatikan Subramaniam dan Noraini pada Perhimpunan Hari Pekerja 2008 di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.

Kerajaan mahu bekalan terjamin, tiada kenaikan harga

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam berkata, kerajaan terpaksa menangguhkan serta mengurangkan kos projek yang tidak penting bagi membolehkan peruntukan berkenaan digunakan untuk memastikan bekalan makanan negara terjamin dan tidak berlaku peningkatan harga barang.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah memperuntukkan RM4 bilion bagi menjamin bekalan makanan mencukupi pada harga yang munasabah untuk setiap rakyat.


Katanya, peruntukan berkenaan bukan kecil yang menyebabkan kerajaan membuat pengagihan semula sehingga terpaksa mengurangkan kos dan menangguhkan projek tertentu.


"Wang yang kita ada terhad, bukannya boleh kita gunakan pada bila-bila masa tanpa had. Ini semua perlu diperhalusi dan diteliti Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kementerian Kewangan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat pada sambutan Hari Pekerja 2008 di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk S Subramaniam, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohamed Sidek Hassan.Kira-kira 5,000 pekerja daripada 197 organisasi sektor awam, badan berkanun, swasta dan institusi pengajian tinggi menyertai perhimpunan itu.

Ketika ditanya sama ada bekalan makanan negara berada pada tahap kritikal, Abdullah berkata, beliau tidak mahu menggunakan perkataan yang menggemparkan orang berhubung bekalan makanan.

"Hakikatnya ialah kita perlu mengambil tindakan ini. Jangan tunggu dah jadi, baru nak kelam- kabut. Masa itu nak cari duit, masa itu nak fikir, masa itu nak buat, mana boleh... ini semua berkaitan dengan makanan.

"Kita tidak boleh tanam padi yang dalam dua minggu sudah mengeluarkan hasil, semuanya mengambil masa, begitu juga ternakan dan sayur-sayuran," katanya.

Abdullah juga mahu tanah terbiar diusahakan bagi menghasilkan makanan dan kegiatan ekonomi lain supaya ia boleh menghasilkan keperluan makanan.

"Saya belum keluar arahan mengenai perkara ini tetapi kita maklumkan. Ini termasuk sektor swasta dan individu yang mempunyai tanah. Mereka mesti gunakannya, seperti tanah rang (tanah sawah terbiar), kawasan padi yang sudah tidak digunakan lagi untuk tanaman buah-buahan, sayuran, ternakan dan lain-lain," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya Abdullah berkata, beliau membangkitkan isu mengenai bekalan makanan kerana tidak mahu rakyat keliru mengenainya.

"Saya terpaksa terangkan ini kepada anda kerana ia perlu diketahui rakyat. Bagaimanapun, saya mahu tegaskan projek yang penting untuk rakyat diteruskan juga," katanya.

Beliau berkata, kerajaan terpaksa berbuat demikian kerana masyarakat akan menjadi marah jika mereka terpaksa menghadapi kenaikan harga barang dan bekalan makanan berkurangan.

"Jika dulu kalau tidak cukup bekalan seperti beras kita import dari luar negara tetapi kini negara lain bersikap enggan mengeksport beras ke negara ini kerana mengutamakan keperluan rakyat negara mereka sendiri. Ini akan menimbulkan masalah.

"Oleh itu kerajaan membuat keputusan wujudkan stok penimbal bukan saja bagi beras tetapi juga barang keperluan lain yang diperlukan rakyat tidak kira miskin, kaya, dari luar bandar ataupun bandar," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |