+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, May 4, 2008

MB Perak Akan Mengadap Sultan Perak, Serah Watikah Mohon Ampun

Bernama

03 Mei, 2008 20:37 PM


IPOH, 3 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan menyerahkan watikah memohon ampun secepat mungkin atas tindakan beliau mengarahkan pertukaran dengan serta merta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip).

Mohammad Nizar berkata beliau amat menghormati titah Sultan Azlan Shah berhubung perkara itu.

"Saya amat menghormati dan dengan rendah diri akan sentiasa patuh dengan apa juga keputusan yang dibuat oleh baginda Sultan Perak. Saya akan memohon mengadap dan menyerahkan watikah memohon ampun kepada baginda secepat mungkin," katanya kepada Bernama menerusi satu kenyataan di sini Sabtu.

Sementara itu, Datuk Jamry Sury ketika dihubungi Bernama, berkata beliau masih belum menerima sebarang keputusan daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat mengenai kedudukannya sebagai Pengarah Jaip berikutan titah Sultan Azlan Shah semalam yang mahukan beliau mengekalkan jawatannya.

Jamry, yang dijangka mengadap Sultan Azlan Shah pada Selasa ini mengenai perkara itu, berkata: "Setakat ini saya tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan selepas mendapat nasihat daripada pihak istana dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Saya amat menghormati titah Sultan Perak (semalam). Setakat ini keputusan belum pasti lagi dan belum ada apa-apa lagi," katanya.

Jamry, yang bertugas sebagai pengarah Jaip sejak tahun 2004, diarah bertukar dengan serta merta ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas oleh Mohammad Nizar pada 29 April kerana didakwa tidak boleh memberi kerjasama.

Semalam, Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar supaya menarik balik serta merta arahan pertukaran itu yang dibuat Selasa lepas.

Arahan itu terkandung dalam kenyataan akhbar tiga muka surat yang dikeluarkan atas titah Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah selepas Mohammad Nizar dititah untuk mengadap baginda di Istana Raja Muda Perak pada 11 pagi semalam untuk menyembah maklum kepada baginda berhubung arahan pertukaran Jamry.

Dalam kenyataan itu kerajaan negeri diminta mempersembahkan secara rasmi kepada Sultan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan kesalahan oleh Jamry terhadap pentadbiran kerajaan negeri untuk Baginda menitahkan proses undang-undang selanjutnya.

Menurut kenyataan itu, Mohammad Nizar dimaklumkan bahawa hubungan kerja yang menghormati Sultan merupakan konvensyen dan budaya kerja yang sentiasa diamalkan dan dihormati oleh setiap Menteri Besar dengan pihak Istana selama ini.

Pada 29 April lepas, Jamry telah diarah bertukar dengan serta merta oleh kerajaan campuran negeri Perak kerana didakwa tidak boleh memberi kerjasama.

Beliau yang memegang jawatan itu selama tiga tahun sejak 2004 juga didakwa tidak diberi peluang untuk meminta penjelasan berhubung pertukarannya serta peluang untuk membela dirinya.

Mohammad Nizar kemudiannya menjelaskan bahawa tindakan menukar serta merta Jamry itu adalah satu proses perpindahan biasa bagi kakitangan kerajaan negeri.

-- BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |