+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, May 9, 2008

Menanti kehadiran kali kedua Anwar ke Parlimen sebagai PM

Harakahdaily

Mohd Rashidi Hassan

Fri | May 09, 08 | 4:40:05 pm MYT


Dato' Seri Anwar Ibrahim menjejakkan kaki ke Parlimen kali pertama selepas 10 tahun, sewaktu Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin merasmikan pembukaan Parlimen, minggu lepas.

Ketika itu beliau hadir untuk menemani Ketua Pembangkang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Kehadiran pemimpin utama Pakatan Rakyat tersebut, beserta dengan 82 orang anggota Parlimen kali ini begitu menggerunkan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional, khususnya dari Umno.

Hadirnya Anwar ke Parlimen membawa mesej yang sangat jelas, bahawa, beliau pasti akan kembali ke Parlimen, bukan untuk menjadi Ketua Pembangkang, tetapi sebagai ketua kerajaan baru.

Pakatan Rakyat memerlukan sokongan hanya dari 30 orang ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baru di Persekutuan menggantikan BN.

Penegasan Anwar dalam beberapa siri kenyataannya, bahawa terdapat kalangan ahli Parlimen BN yang sedia menyertai Pakatan Rakyat, dipandang sinis pemimpin Umno.

Daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri, semuanya beranggapan bahawa Anwar hanya menjual cerita. Bagi mereka Anwar hanya berilusi dan mencetuskan propaganda untuk menggoyahkan kerajaan.

Beberapa bulan lepas sewaktu Anwar mensasarkan untuk pembangkang memperolehi sekurang-kurangnya 60 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum, semua mereka mengatakan ianya hanya angan-angan kosong!

Sewaktu Anwar mengatakan kaum Cina dan India akan menolak BN dalam PRU ke 12, Anwar ditempelak dengan mengatakan beliau hanya berilusi dengan omongan kosong.

Sewaktu bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mengatakan Selangor, Pulau Pinang dan Kedah dalam bahaya, tiada siapa kalangan pemimpin Umno yang mahu mempercayainya.

Kuasa memerintah selama 50 tahun menyebabkan pemimpin Umno/ BN benar-benar lupa diri.

Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Dato' Seri Najib Tun Razak dan ramai pemimpin Umno seolah-olahnya sedang berada di dalam 'buaian mimpi kuasa'.

Seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menempelak Abdullah dengan mengatakan, setelah BN terjejas teruk dengan keputusan PRU yang sedemikian rupa, Abdullah masih tidak sedar.

Mahathir mengingatkan betapa seriusnya, kemungkinan Anwar dan Pakatan Rakyat akan menubuhkan Kerajaan Persekutuan, malangnya Abdullah, Najib, Muhyiddin Yassin dan juak-juak mereka masih tidak sedar!

Peranan anggota Pakatan Rakyat di Parlimen

Kehangatan sidang Dewan Rakyat sudah dijangka. 82 orang anggota di kelompok pembangkang bukannya mudah untuk ditangani BN.

Selepas PRU 1999 yang menyaksikan Barisan Alternatif ketika itu, bersama pembangkang lain, memperolehi 45 kerusi Parlimen pun sudah cukup membuatkan BN menggelabah.

Tambahan sekarang ini. Sama ada PM, TPM, Menteri dan backbenchers BN sudah pasti tidak akan 'senang duduk' apabila bertembung dengan wakil Pakatan Rakyat.

Perbalahan anggota Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat bukannya perkara baru. Sewaktu Allahyarham Tun Zahir Ismail menjadi Speaker dahulu, lebih gamat dan gawat daripada sekarang.

Cumanya kehangatan perdebatan itu tidak diketahui secara jelas kerana tiada siaran secara langsung.

Pada sidang kali ini, ramai orang baru. Sama ada anggota Parlimen BN atau Pakatan Rakyat, sama seperti Speaker dan Timbalan Speaker, kebanyakannya orang-orang baru yang belum mahir dengan peraturan mesyuarat Parlimen.

Apapun anggota-anggota Parlimen Pakatan Rakyat ketika ini, tidak seharusnya berperanan sebagai pembangkang yang menidakkan segala program kerajaan.

Anggota Parlimen tidak seharusnya bertindak sebagaimana pembangkang seperti dahulu.

Justeru, tidak harus ada lagi anggapan 'mencuri prime time' untuk mencetuskan berita atau mendapatkan tempat di media massa.

Khusus bagi rakan-rakan dari DAP, mereka sering dijadikan sasaran. Mereka sering 'dipergunakan media' untuk dilaga-lagakan dengan KeADILan, PAS, bangsa Melayu, agama Islam dan kini dengan Raja-Raja Melayu.

Penulis tidak mempersoalkan sama ada benar atau tidak sesuatu fakta yang disebutkan menurut undang-undang. Undang-undang bukan segala-gala, kita turut terikat dengan persoalan etika, kesopanan dan ketatasusilaan.

Lebih berat lagi jika sesuatu bentuk kebenaran, dilontar pada waktu dan kepada sasaran yang salah. Mereka harus ingat bahawa media massa dalam negara ini masih milik BN yang pada bila-bila masa sahaja sedia merosakkan Pakatan Rakyat.

Anggota Parlimen Pakatan Rakyat harus menyedari bahawa, rakyat pada ketika ini, mahukan sebuah pakatan yang ampuh dan tidak kelihatan goyah atau berkecamuk.

Mereka harus berperanan sebagai wakil 'the government in-waiting', selaras dengan komitmen Anwar, untuk membentuk Kerajaan Pusat pada 16 September 2008 atau mungkin lebih awal daripada itu.

Harapan rakyat kepada Pakatan Rakyat

Hakikatnya rakyat mahu pembentukan kerajaan yang kukuh dan stabil. Kerajaan BN dilihat tidak stabil kerana parti yang menjadi tongaknya, berserabut.

Pada waktu ini, BN tidak mungkin lagi boleh menjadi sebuah kerajaan yang boleh dipercayai rakyat.

Kekalahan besar dalam PRU ke-12 8 Mac lepas membongkar pekung sesama parti komponen BN.

Apabila ramai pemimpin kanan BN tewas, maka tuding menuding jari sesama mereka berlaku secara terang-terangan.

Pemimpin Umno, MCA, MIC dan Gerakan menyalahkan sesama sendiri. Pemimpin PPP langsung tidak berbunyi.

Malahan dalam Umno sendiri, suara-suara mendesak Abdullah Badawi meletakkan jawatan terus kedengaran.

Perang dalam parti untuk merebut jawatan utama akan berterusan sehingga Disember depan. Tidak mungkin Umno akan stabil apabila akan berlaku perang besar dalam parti.

Gerakan menentang kepimpinan Abdullah yang didakwa sedang membawa kemusnahan kepada Umno dan BN, diketuai oleh bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah, dengan hasrat untuk mencabar beliau bagi jawatan Presiden Umno.

Gerakan menentang pemerintahan Abdullah turut disertai Dr Mahathir yang tidak henti-henti menyuruh beliau meletakkan jawatan.

Keserabutan dan kekecamukan dalam Umno, barangkali akan melanda MCA, MIC dan mungkin juga Gerakan yang akan membuat pemilihan tahun ini.

Hagemoni BN yang sudah berkuasa lebih 50 tahun kini benar-benar tercabar. Dicabar dari dalam dan luar parti.

Maka bagi rakyat, kemungkinan untuk Kerajaan BN memastikan keadilan, kesakmaan dan kestabilan amat sukar.

Dalam keadaan tekanan ekonomi dan peningkatan harga barang yang meruncing, ditambah dengan keserabutan yang dihadapi Abdullah Badawi dalam parti, sudah tentu ia gagal ditangani dengan baik.

Dari segi politik pun BN tidak stabil. Dari sudut ekonomi juga BN gagal menyeliakannya dengan baik. Daripada dua aspek ini, BN sudah kelihatan pincang.

Apabila BN goyah, rakyat tiada pilihan untuk bergantung kepada Pakatan Rakyat. Dan Anwar sebagai tonggak kepada Pakatan Rakyat harus berusaha mengemukakan jalan keluar kepada kemelut rakyat dan negara ketika ini, Rakyat mahu Anwar membantu memulihkan ekonomi negara, antaranya dengan memacu pertumbuhan dalam negara dan membawa FDI masuk dengan segera.

Sudah tentu Anwar amat bersedia sekarang ini. Segala harapan dan janji beliau sejak sebelum pilihan raya sudah dikota.

Kini rakyat menunggu janjinya untuk membentuk Kerajaan Persekutuan Pakatan Rakyat.

Maka, jika sekarang ini, Anwar mengatakan bahawa beliau sudah memperolehi 41 orang ahli Parlimen BN yang sedia menyertai Pakatan Rakyat, apakah kata-katanya boleh dipercayai dan mendapat sokongan rakyat?

Sudah tentu! Kini rakyat menanti beliau kembali menapakkan kaki kali kedua ke Parlimen sebagai Perdana Menteri Malaysia.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |