+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 1, 2008

Parlimen kecoh: Karpal 'berlaga' dengan Ibrahim Ali

Harakahdaily

Azamin Amin

Wed | Apr 30, 08 | 3:15:09 pm MYT

KUALA LUMPUR,30 April (Hrkh) - Suasana Parlimen hari ini 'panas' dengan 'pertikaman lidah' dan ketidakpuasan hati antara dua ahli Parlimen daripada bukan parti kerajaan iaitu Karpal Singh (DAP-Gelugor) dan Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang masing-masing mempertahankan hujah mereka.

Karpal pada sesi awal perbahasan meminta Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi menjelaskan kedudukan Ibrahim Ali di dewan sama ada merupakan ahli parlimen bebas memandangkan sebelum ini beliau bertanding atas tiket PAS.

Kenyataan itu menimbulkan ketidakpuasan hati kepada Ibrahim yang kemudiannya mencelah dan menyelar sikap Karpal yang tidak menghormati Parlimen.

Katanya, ketika sesi perbahasan dijalankan, beliau mempersoalkan kewajaran Karpal yang tidak meminta kebenaran dewan yang mulia untuk duduk sewaktu berhujah.

Umum mengetahui bahawa Karpal hanya berkerusi roda serta tidak boleh berdiri dan hanya duduk ketika menyampaikan hujah atau mengemuka soalan.

'Serangan' Ibrahim kemudiannya mengundang kemarahan sebilangan besar ahli parlimen khususnya daripada DAP yang meminta Ibrahim menarik balik kata-katanya itu kerana membawa maksud menghina.

"Beliau kena tarik balik kerana telah menghina Orang Kurang Upaya (OKU),"kata Ahli Parlimen Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah).

Azmin Ali (KeADILan-Gombak) juga turut kesal dan menggesa supaya ahli parlimen tidak mengeluarkan kenyataan atau hujah yang tidak menunjukkan sikap dan kenyataan sebenar seorang ahli parlimen (unparliamentary remarks).

"Ala... Yang Berhormat pun biasa hina orang, sesekali kena hina apa salahnya," kata Ibrahim Ali membalas.

Dalam pada itu Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek dilaporkan kecewa dengan sikap ahli parlimen yang ditunjukkan pada hari ini memandangkan sesi 30 minit pertama telah ditayangkan secara langsung oleh RTM ke seluruh negara.

"Saya sangat kecewa...," kata Shabery yang menganggap seolah-olah siaran langsung ini 'disalahgunakan' oleh para Ahli Parlimen.

Katanya selepas insiden ini kerajaan akan mengkaji semula sama ada untuk meneruskan siaran langsung Parlimen tersebut. - mks.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |