+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, May 14, 2008

Petronas bayar royalti RM27b sejak 2004

Utusan Online

KUALA LUMPUR 13 Mei - Dalam tempoh tiga tahun bermula 2004, Petronas telah membayar sejumlah RM26.8391 bilion sebagai royalti kepada Kerajaan Persekutuan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Amirsham A. Aziz berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM13.419 bilion dibayar kepada Kerajaan Persekutuan, Terengganu (RM7.364 bilion), Sabah (1.234 bilion) dan Sarawak (4.821 bilion).

Berhubung rizab minyak dan gas, beliau berkata, pada kadar pengeluaran semasa dan dengan andaian bahawa keseluruhan rizab dapat dikeluarkan maka rizab minyak mentah dan kondesat dijangka akan bertahan selama 22 tahun manakala rizab gas 39 tahun.

''Walaupun pada zahirnya tempoh hayat rizab masih panjang, hakikatnya negara juga mengimport minyak dan gas untuk menampung sebahagian daripada keperluan tempatan.

''Oleh yang demikian, negara dijangka menjadi pengimport bersih dalam tempoh terdekat pada 2014," katanya.

Amirsham berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Wan Azizah dalam soalannya meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan jumlah pengeluaran minyak dan gas pada 2007 mengikut pecahan negeri dan berapakah jumlah royalti yang dibayar.

Berhubung jumlah pengeluaran minyak dan gas pada 2007, Amirsham berkata, sebanyak 241.3 juta tong minyak mentah dan kondesat dikeluarkan di Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 133.7 juta tong dikeluarkan di Terengganu, Sabah (28.6 juta) dan Sarawak (79.0 juta).

Mengenai pengeluaran gas, beliau berkata, bagi tahun yang sama, sebanyak 2,081.4 bilion kaki padu dikeluarkan di ketiga-tiga negeri tersebut.

Amirsham berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 748.2 bilion kaki padu dikeluarkan di Terengganu, manakala Sabah (41.2 bilion) dan Sarawak (1,292.0 bilion).

''Daripada jumlah pengeluaran minyak dan gas berkenaan, sebanyak 70 peratus dihasilkan oleh Petronas, manakala selebihnya oleh kontraktor-kontraktor perkongsian pengeluaran yang lain," katanya.

Menurut beliau, produk petroleum dan gas yang dieksport oleh anak syarikat Petronas adalah berdasarkan harga pasaran semasa dunia.

''Harga produk petroleum dan gas yang dijual di pasaran domestik, sebahagiannya ditetapkan oleh kerajaan seperti harga jualan gas kepada sektor elektrik dan bukan elektrik.

''Hasil keseluruhan jualan produk petroleum dan gas oleh Petronas adalah sebanyak RM165.3 bilion pada tahun kewangan tersebut," kata Amirsham.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |