+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, May 17, 2008

Rombak undang-undang pilihan raya, beri SPR kuasa luas

Mstar Online

17-05-2008 05:11:41 PM
Oleh G. MANIMARAN

GOMBAK: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dihujani kritikan dan kecaman berhubung soal pengendalian pilihan raya, hari ini mengesyorkan agar undang-undang pilihan raya dirombak secara menyeluruh bagi membolehkan badan bebas itu diberikan kuasa tambahan.

Mengambil kira perkembangan politik negara sejak dua bulan lalu, selepas pilihan raya umum ke-12, sudah tiba masanya bagi kerajaan meminda dan menyediakan peruntukan-peruntukan khas yang boleh memperkukuhkan kedudukan SPR.

Saranan terbuka itu dikemukakan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika berucap pada Seminar Kebangsaan Mengenai Pilihan Raya 2008: Perjalanan Demokrasi anjuran Unit Pengajian Penyelidikan Pilihan Raya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pagi ini.

Saranan itu termasuk menyediakan peruntukan bagi membolehkan SPR mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang melontarkan tuduhan-tuduhan tidak berasas dan menyediakan set daftar pemilih baru dan teratur, yang boleh diterima semua.

"Kita memerlukan kuasa yang lebih besar (dalam mengendalikan pilihan raya), dalam memastikan EC diletakkan dalam kedudukan yang lebih kukuh," jelas beliau kepada pemberita ketika diminta mengulas lanjut mengenai saranannya itu.

Buat masa sekarang, SPR mengendalikan pilihan raya berpandukan Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan raya) 1981, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) 2006, Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) (Pindaan) 2006 dan Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Selain itu, pengendalian pilihan raya negara ini juga berpandukan kepada Perkara 113 hingga 120 Perlembagaan Persekutuan.

Kali terakhir undang-undang pilihan raya secara meluas adalah pada tahun 2002.

Beliau yang secara peribadi terlibat dalam pengendalian enam pilihan raya sama ada selaku Setiausaha ataupun Pengerusi menambah:

"Saya bercakap mengenai kemungkinan kajian semula undang-undang pilihan raya, tiga hingga empat undang-undang pilihan raya seperti Akta Pilihan Raya, Akta Kesalahan Pilihan Raya, sudah tentu Perkara 113 hingga 120 Perlembagaan," kata beliau.

"Yang ini merupakan undang-undang utama pilihan raya, yang lain berkaitan dengan perjalanan pilihan raya," katanya.

Menurut beliau, saranannya juga merangkumi Peraturan-peraturan Pendaftaran Pemilih, yang dilihat penting dalam menguruskan pendaftaran pemilih.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, Peraturan-peraturan Pendaftaran Pemilih perlu dikaji semula dengan segera untuk memberikan SPR kuasa bagi menyediakan set daftar pemilih yang baru, yang diharap boleh diterima semua.

Daftar pemilih juga menjadi isu pertikaian menjelang pilihan raya, khususnya barisan pembangkang mendakwa wujud pengundi-pengundi hantu.

Ketika ditanya sama ada SPR telah ataupun akan mengemukakan saranan secara rasmi kepada kerajaan, Abdul Rashid memberitahu, salah satu masalah yang dihadapi oleh suruhanjaya ialah pihaknya tidak boleh berbuat demikian.

Ini bukan perkara yang termasuk dalam fungsi-fungsi SPR, kata beliau sambila menambah, sebuah jawatankuasa khas boleh ditubuhkan untuk tujuan tersebut.

"Saya juga terkejut kerana tiada perbahasan mendalam (dalam isu ini) di Parlimen baru-baru ini. Saya ingat apabila mereka bersuara sebelum ini, mereka juga akan membangkitkan di Parlimen, tetapi semua orang nampak senyap sekarang.

"Satu lagi kuasa yang kurang sekarang ialah kuasa bagi suruhanjaya untuk menyaman. Apabila ada pihak yang mengatakan perkara buruk tentang kami, kami perlu berupaya untuk menyaman. Banyak perkara buruk dilemparkan ke atas kami, termasuk oleh media, media arus perdana ataupun alternarif," katanya.

Oleh itu, mereka harus dipertanggungjawabkan atas segala perkara yang dikatakan tentang SPR kerana kebanyakannya tidak benar, tambah Abdul Rashid.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |