+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 22, 2008

Saya bukan tamak - Anifah Aman

Mstar Online

22-05-2008 10:13:07 PM
Oleh G. MANIMARAN

KUALA LUMPUR: "Saya bukan tamak jawatan." Demikian tegas Datuk Anifah Aman yang sekali lagi 'mencuri' perhatian banyak pemimpin politik tanah air ekoran keputusannya menolak tawaran jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan Ahli Parlimen UMNO (UMPG) di Dewan Rakyat, hari ini.

Malah beliau juga menolak andaian bahawa tindakan menolak itu, yang diumumkan dua hari selepas ditawarkan, berkait dengan perkembangan politik negara sekarang khususnya desas-desus melompat parti dan sebagai satu lagi tindakan pihaknya menyatakan rasa tidak puas hati dengan perwakilan rakyat Sabah dalam Kabinet Persekutuan.

Pengumuman terbaru ini merupakan tindakan menolak tawaran jawatan kali kedua dalam tempoh lebih dua bulan sejak pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu.

Sebelum ini, Anifah, adik kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, menolak jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan dalam Kabinet Persekutuan.

Ketika dihubungi petang ini, Anifah memberitahu mStar Online: "Saya memutuskan untuk tidak menerima jawatan (Pengerusi UMPG) kerana telah diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan Pengerusi Penyokong Kerajaan BN Sabah di Dewan Rakyat."

"Saya tidak mahu mengecewakan kawan-kawan saya di Sabah," katanya.

"Jawatan ini (Pengerusi Penyokong Kerajaan BN Sabah di Dewan Rakyat) telah diputuskan minggu lalu. Saya tidak mahu menerima jawatan baru ini kerana mahu memberi tumpuan ke atas kedudukan sebagai Pengerusi Penyokong Kerajaan BN Sabah di Dewan Rakyat.

"Jadi, kalau saya terima jawatan ini (Pengerusi UMPG) bermakna ia juga membabitkan konflik kepentingan diri antara dua kedudukan ini. Saya bukan tamak (mahu menerima dua jawatan)," kata beliau ketika ditanya mengapa berubah fikiran selepas dua hari diumumkan pelantikan ke jawatan itu.

Dua minggu lalu, Anifah mencetuskan suasana hangat ketika berucap di Dewan Rakyat dengan mendakwa rakyat Sabah dianaktirikan dan dihina dengan dakwaan mahu melompat parti.

Katanya, wakil rakyat Sabah dipandang serong semata-mata kerana menyampaikan keluhan rakyat negeri itu yang beliau dakwa sekian lama dipinggirkan daripada arus pembangunan.

"Bukan bererti apabila kita menyuarakan aspirasi rakyat, kita menentang kerajaan. Bukan bererti apabila kita keluarkan kata-kata keras, kita nak melompat parti. Apa yang kita nak beritahu di Dewan ini, rakyat Sabah tidak melompat seperti lima buah negeri di Semenanjung," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, tidak salah jika berlaku lompat parti atau "keluar dari rumah banglo dan masuk rumah teres, jika mereka tidak diberi ruang yang cukup di rumah banglo itu."

"Rumah teres pun rumah tereslah, asal kita sama-sama menikmati kemudahan yang ada. Tinggal di rumah banglo pun tidur di tepi tandas sahaja," katanya.

Sejak itu desas-desus melompat parti juga semakin 'hebat' diperkatakan dengan merujuk kepada ahli-ahli Parlimen dari Sabah khususnya.

Sebelum ini, Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata bahawa beberapa wakil rakyat BN di Sabah akan menyertai pembangkang bagi membolehkan pembangkang menubuhkan kerajaan.

Terdahulu dalam kenyataannya kepada Bernama, Anifah yang merupakan Ahli Parlimen Kimanis berkata, beliau ingin memberi tumpuan sebagai Pengerusi Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah.

"Saya tidak nafikan adalah satu penghormatan menjadi pengerusi UMPG. Pengerusi UMPG adalah jawatan lebih baik yang saya mesti berterima kasih kepada pucuk pimpinan kerana mencalonkan saya.

"Bagaimanapun, buat masa ini, saya ingin menyuarakan sesuatu yang lebih relevan buat Sabah. Sebab itu saya ingin terus menjadi pengerusi penyokong kerajaan BN Sabah di Dewan Rakyat.

Kata Anifah, beliau akan menyampaikan keputusannya itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Parlimen, Isnin ini.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |