+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, May 30, 2008

Tiga mungkin dihukum - Zaid, Mukhriz, Tajuddin ke Lembaga Disiplin langgar arahan parti




PUTRAJAYA 29 Mei – Seorang menteri dan dua ahli Parlimen UMNO akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti kerana bertelingkah di dada akhbar sehingga mencemarkan imej UMNO di mata rakyat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ketiga-tiganya iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir; dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman didapati menyalahi pekeliling yang diedarkan oleh ibu pejabat parti yang melarang masalah dalaman parti dibangkitkan di luar UMNO.

“Pekeliling mengenai larangan itu bukan sahaja telah diedarkan kepada semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan ketua-ketua bahagian sejak sebulan lalu, malah ia turut dikuatkuasakan ke atas semua parti komponen Barisan Nasional (BN).

‘‘Ia satu arahan melarang pertelingkahan parti dibangkitkan dalam media tetapi ketiga-tiga mereka ini melanggarnya dengan bergaduh macam budak kecil sehingga mencemarkan imej UMNO.

“Ketiga-tiga mereka akan dihadapkan kepada Lembaga Disiplin dan bentuk hukuman terserah kepada badan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini Zaid dilaporkan meminta BN mengambil tindakan terhadap Mukhriz dan Tajuddin kerana mengkritik kerajaan termasuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara terbuka.

Tindakan itu mencetuskan kenyataan balas Tajuddin yang mempersoalkan kedudukan Zaid dan menggesa Perdana Menteri meneliti semula pelantikan beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Semalam, Abdullah berkata, beliau tidak bercadang menilai semula pelantikan Zaid sebagai menteri.

Sebaliknya, tegas beliau, BN dan UMNO mengamalkan pintu terbuka kepada ahli untuk membuat teguran.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |