+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, June 11, 2008

Dr. M: Tiada desakan, sedia lepas Penasihat Petronas jika diminta

Mstar Online

11-06-2008 07:51:45 PM
Oleh G. MANIMARAN

KUALA LUMPUR: Bekas Tun Dr. Mahathir Mohamad sehingga sekarang tidak menerima desakan mana-mana pihak supaya berundur daripada menjadi Penasihat Petronas selepas beliau keluar daripada Umno tiga minggu lalu.


Sambil menegaskan tiada masalah untuk melepaskan jawatan tersebut jika ada pihak yang mahu beliau berbuat demikian, Dr. Mahathir mengulangi pendirian bahawa kedudukan Penasihat Petronas bukan jawatan parti.

"Saya akan terus kekal. Ini bukan jawatan parti. Ini jawatan lain.Tapi kalau hendak suruh saya berhenti lah. Tak ada masalah," kata beliau kepada mStar Online dalam satu pertemuan di pejabatnya sebagai Penasihat Petronas di sini petang semalam

"Setakat ini tiada (desakan) daripada mana-mana meminta berbuat demikian (lepaskan jawatan Presiden)," kata beliau ketika mengulas mengenai status kedudukan beliau sebagai Penasihat Petronas dan sama ada pernah menerima desakan atau tekanan supaya turut melepaskan kedudukan itu.

Jelas beliau, Tun Hussein Onn, Perdana Menteri ketika juga pernah menjadi Penasihat Petronas, jawatan yang dikekalkan sehingga beliau meninggal dunia meskipun tidak pernah masuk kembali Umno.

Tun Hussein keluar Umno apabila ia diharamkan pada 1988, malah beliau juga merupakan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa sejak 1984 sehingga beliau meninggal dunia.

"Dia tak masuk (semula) Umno, dia bukan ahli Umno, beliau kekal jadi Penasihat Petronas sampai meninggal dunia," katanya.

Dr. Mahathir dilantik sebagai Penasihat Petronas dan Proton selepas bersara daripada jawatan Perdana Menteri Oktober 2003.

Hari ini, Dr. Mahathir juga mengulas mengenai soalan itu dalam blog beliau.

Katanya: "Saya percaya bahawa ia bukan (jawatan) eksklusif kepada ahli-ahli Umno."

Pada 19 Mei lalu, Dr. Mahathir keluar daripada Umno atas alasan kecewa dengan kepimpinan parti. Turut keluar ialah isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, anak mereka, Datuk Mokhzani Mahathir dan Tan Sri Sanusi Junid.

Dalam reaksinya dua minggu lalu, Dr. Mahathir juga pernah mengatakan bahawa beliau tidak akan berundur tetapi "sedia ditendang keluar."

Sementara itu dalam tulisan blog beliau yang dinaik muat selepas temu bual dengan mStar Online petang semalam, di bawah tajuk Sanusi Junid, Dr. Mahathir melahirkan rasa sedih dengan tindakan menamatkan khidmat Sanusi (bekas Naib Presiden Umno) sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

"Mungkin dia (Sanusi) telah melakukan kesalahan yang besar yang tindakan ini perlu diambil. Tetapi secara kebetulan tindakan terhadap Presiden UIA ini diambil
sejurus selepas dia keluar daripada UMNO.

"Apakah perbuatan beliau ini yang menyebabkan dianya disingkir?" kata beliau dalam blognya hari ini.

Sanusi keluar Umno pada hari Dr. Mahathir mengumumkan keputusan untuk keluar daripada parti itu.

"Saya juga dengar cadangan supaya Dato Mokhzani yang telah keluar Umno dipecat daripada menjadi Pengerusi Sepang International Circuit (SIC)," katanya.

Dr. Mahathir menambah: "Saya harap sebab-sebab Tan Sri Sanusi hendak disingkirkan dijelas kepada rakyat. Jangan salahguna kuasa untuk kepentingan diri."

Tambah beliau, kepimpinan kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) harus ingat bahawa BN bukan lagi menguasai seluruh negara.

"Negeri-negeri dan Wilayah yang terkaya di Malaysia sekarang dikuasai oleh parti lawan.

"Mereka tidak bertindak melantik hanya ahli-ahli parti mereka sahaja dalam badan-badan kerajaan.

"Sebaliknya mereka sanggup melantik tokoh dari parti-parti Barisan Nasional untuk mengisi jawatan badan-badan yang terletak dibawah kerajaan-kerajaan mereka," katanya.

Beliau juga berkata, sikap mereka ini tentu akan menyebabkan lebih ramai ahli dan penyokong BN berpindah kepada parti mereka atau menyokong mereka.

"Sikap suka balas dendam kepimpinan Barisan Nasional akan menghakis lagi sokongan kepadanya," katanya lagi.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |