+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, June 19, 2008

Johor: ADUN DAP tidak patuh etika pakaian diarah keluar Dewan

Mstar Online

19-06-2008 07:50:22 PM

JOHOR BAHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bentayan, Gwee Tong Hiang dari DAP, telah dilarang menyertai istiadat perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini kerana tidak mematuhi etika pakaian termasuk mengenakan songkok.

Beliau yang hanya memakai kot telah diarah meninggalkan DUN oleh Speaker Datuk Mohd Ali Hassan kerana dianggap tidak menghormati majlis perasmian.

Ia disempurnakan oleh Sultan Johor Sultan Iskandar.
Mohd Ali berkata, beliau mengarahkan Gwee keluar dewan sebelum ketibaan Sultan kerana Adun itu tidak mengikut arahan rasmi dan protokol.

"Bagi saya sebagai wakil rakyat, Gwee kena ikut tata susila. Perbuatan beliau tidak elok kerana setiap majlis terutama yang melibatkan Sultan mesti ada etika pakaian. Saya sudah keluarkan surat, bagi duit buat uniform. Dia sudah buat baju tapi dia tidak ambil pakaian itu di kedai," katanya.
Mohd Ali berkata Gwee dibenarkan menghadiri persidangan itu esok.

Dalam pada itu, Gwee yang ditemui pemberita berkata, beliau tidak memakai pakaian lengkap suit berwarna putih seperti yang dipakai barisan Adun lain kerana berpegang pada prinsipnya.

"Saya diarahkan keluar dewan sebelum ketibaan Sultan. Bagi saya pakai uniform atau tidak, yang penting saya berkhidmat kepada rakyat.

"Saya tidak tahu tidak boleh hanya memakai kot sahaja. Lagipun peraturan pemakaian uniform itu tidak termaktub dalam arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri," kata beliau dipetik Bernama.
Gwee merupakan antara empat wakil DAP yang memenangi pilihan raya umum Mac lalu.
Tiga yang lain ialah Dr. Boo Cheng Hau (Skudai), Ng Lam Hua (Mengkibol) dan Ong Kow Meng (Senai).

Bagaimanapun, Boo, Ng dan Ong masing-masing berpakaian lengkap termasuk bersongkok hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Gwee berkata beliau menempah pakaian menerusi pemberian elaun uniform oleh kerajaan negeri, namun tidak mengambil pakaian yang ditempah itu.

Isu pemakaian songkok mendapat perhatian sejak minggu lalu ekoran kenyataan Naib Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez yang menyatakan empat wakil rakyat parti itu telah menerima arahan daripada ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang meminta mereka tidak memakai songkok pada pembukaan sidang DUN hari ini.

Ditanya mengenai tindakannya itu yang kemungkinan bertentangan dengan prinsip DAP, Gwee berkata beliau menganggap isu pakaian bukan merupakan isu besar.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pula memberitahu, tindakan Gwee itu adalah perbuatan melampau kerana berpakaian lengkap menjadi amalan DUN Johor sejak 50 tahun lepas bagi menghormati institusi raja.

"Tiga bulan lalu, semasa upacara angkat sumpah Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri, memang kita lihat empat ADUN dari DAP tidak hadir ke Istana Besar dengan alasan tidak mahu bersongkok.

"Tetapi, kalau tiga ADUN iaitu Senai, Mengkibol dan Skudai boleh berpakaian lengkap dengan bersongkok hari ini, kenapa ADUN Bentayan tidak boleh melakukannya," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |