+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, June 15, 2008

Kenaikan harga minyak jejas usaha basmi kemiskinan

Harakahdaily

Sun | Jun 15, 08 | 11:06:09 am MYT

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Hrkh) - Beberapa pakar ekonomi berpendapat kenaikan mendadak harga bahan bakar kebelakangan ini, boleh menjejaskan sasaran kerajaan untuk menghapuskan sepenuhnya kemiskinan tegar di negara ini menjelang 2010.

Mereka yakin kenaikan harga bahan itu sebanyak 40 peratus seperti yang diumumkan baru-baru ini berikutan kenaikan mendadak harga minyak dunia, pasti memberi kesan yang tidak menggembirakan terhadap rancangan itu.

April lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Amirsham A. Aziz berkata beliau yakin kerajaan akan berjaya mencapai sasarannya untuk menghapuskan kemiskinan, walaupun harga minyak dunia terus meningkat.

Bagaimanapun, sesetengah ahli ekonomi mempamerkan sikap kurang yakin mereka terhadap prospek itu dengan memberi alasan bahawa berdasarkan kuasa membeli yang ada sekarang, lebih banyak rakyat Malaysia sebenarnya boleh dianggap tergolong dalam kelompok "miskin".

Bernama melaporkan ahli ekonomi kanan Bank Islam Malaysia Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata andaian ini dibuat berdasarkan kuasa membeli dalam kalangan rakyat yang kini menurun dengan begitu ketara berikutan pelaksanaan langkah penyusunan semula subsidi bahan bakar.

"Seperti sebelum ini, kenaikan harga bahan bakar akan menyebabkan harga semua benda lain turut meningkat, daripada makanan, hinggalah kepada barang keperluan, termasuk perkhidmatan.

"Bagi golongan miskin, kenaikan harga bahan bakar baru-baru ini memberi pukulan hebat terhadap kehidupan mereka. Sejak setahun lepas, mereka terpaksa bergelut untuk hidup akibat kenaikan kos makanan. Kini, mereka menerima satu lagi pukulan apabila harga bahan bakar melonjak, sedangkan pendapatan mereka tidak bertambah," katanya.

Sambil mengkategorikan isi rumah yang berpendapatan kurang RM1,500 sebulan sebagai keluarga miskin, Azrul Azwar berkata sebelum ini, kumpulan berkenaan membelanjakan 40 hingga 50 peratus daripada pendapatan mereka untuk membeli makanan dan apabila harga bahan bakar meningkat sekarang, mereka terpaksa mengikat perut bagi memenuhui keperluan lain.

Oleh itu, kata beliau, kaedah yang digunakan sekarang bagi menentukan garis kemiskinan, perlu disemak semula kerana ia tidak mencerminkan hakikat sebenar.

"Saya rasa pendapatan yang dikategorikan sebagai garis kemiskinan sekarang tidak relevan dengan kos sara hidup yang meningkat hari demi hari. Bagi saya, ia sepatutnya jauh lebih tingi, mungkin sekitar RM1,500 sebulan," katanya.

Berdasarkan pengiraan 2005, garis kemiskinan bagi seluruh negara ialah pendapatan bulanan sebanyak RM691, manakala bagi semenanjung pula jumlahnya ialah RM661, Sabah (RM888) dan Sarawak (RM765). Pengiraan ini adalah bagi keluarga yang mempunyai lima anggota.

Bagi meringankan beban golongan ini, Azrul Azwar mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan sebahagian daripada RM2 bilion yang diperoleh melalui langkah berjimat-cermat yang diumumnya baru-baru ini, untuk diagihkan kepada golongan terbabit.

"Bukan bantuan dalam bentuk wang. Sebaliknya kerajaan perlu mengenal pasti siapakah yang tergolong dalam kumpulan ini dan membantu mereka dalam bentuk lain," katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat langkah yang diambil kerajaan pada masa ini berada di landasan yang betul ke arah meringankan beban rakyat.

Penolong Naib Presiden Jualan Institusi Alliance Investment Bank Shahrul Kamal Ramli, yang sependapat dengan Azrul Anwar bahawa semakin banyak rakyat Malaysia akan tergolong sebagai golongan miskin berikutan kenaikan harga bahan bakar, berkata rakyat negara ini sepatutnya diberi peluang berkongsi kekayaan yang dinikmati oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sambil menyifatkan pengguna sebagai "peserta kecil" dalam sebuah konsortium besar, iaitu negara, beliau berkata seperti pemegang saham dalam syarikat senaraian awam, rakyat negara ini juga sepatutnya dibayar dividen berdasarkan keuntungan yang diraih oleh syarikat itu.

"Maksud saya ialah GLC yang kebanyakannya dimiliki secara penuh atau sebahagiannya oleh kerajaan seperti Petronas, Tenaga, patut memberi bonus tunai kepada rakyat.

"Tahukah anda bahawa di Singapura, kerajaan membayar bonus kepada rakyatnya?Tahun lepas, setiap daripada mereka menerima sekitar S$700 atau RM1,800," kata beliau.

Menjelaskan rasional cadanganya itu, Shahrul Kamal berkata walaupun kenaikan harga setiap liter petrol sebanyak 78 sen dan diesel sebanyak RM1 menjejaskan semua orang, tetapi golongan miskinlah yang paling teruk menerima akibatnya.

"Mari kita lihat begini... seorang ada RM1 dan seorang lagi RM100. Tambahan perbelanjaan sebanyak 20 sen bagi orang yang ada RM100 sudah tentu tidak seberapa kesannya, berbanding orang yang hanya ada RM1," kata beliau.

Beliau berkata wang yang diberi secara tunai sebagai ganti bagi subsidi bahan bakar, tidak memberi manfaat kepada semua orang yang memerlukan bantuan kerana hanya mereka yang memiliki kenderaan, layak menerimanya.

"Bagaimana dengan mereka yang tidak memiliki kenderaan dan bergantung sepenuhnya pada pengangkutan awam? Mereka tidak layak menerima rebet itu, sedangkan kenaikan harga bahan bakar memberi kesan yang pelbagai dan kumpulan ini juga menerima akibatnya kerana harga semua barang akan turut meningkat," kata beliau.

Shahrul Kamal juga mempertikaikan keberkesanan sesetengah langkah yang dilaksanakan kerajaan seperti kad fleet, yang pada pandangan beliau, boleh disalahgunakan.

Beliau berkata kerajaan masih boleh memberi subsidi bahan bakar yang "selesa" kepada rakyat jika kuantum keuntungan Petrons yang diperuntukkan bagi tujuan subsidi, dikira berdasarkan harga pasaran global.

"Pada masa ini, kerajaan belum menjelaskan formula yang digunakannya dalam mengira peratusan yang diberi oleh Petronas daripada keuntungannya. Mereka hanya beritahu kita jumlahnya.

"Dalam hal ini, saya mencadangkan, mungkin kerajaan boleh menimbang menggunakan satu kuantum berdasarkan harga pasaran. Contohnya, kalau harganya AS$40 setong, mungkin Petronas patut bayar 40 peratus dan jika lebih AS$80, mereka bayar 75 peratus. Saya yakin, jika ini dilakukan seperti yang sewajarnya, rakyat masih boleh menikmati harga bahan bakar yang tidak membebankan mereka," katanya.- mks._

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |