+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, June 28, 2008

Pemuda MIC Kedah bantah Samy Vellu

Utusan Online


R. NANTHA Kumar (duduk tengah) bersama sebahagian pemimpin Pemuda MIC Kedah yang mengumumkan peletakan jawatan pada sidang akhbar di Kulim, Kedah, semalam.


KULIM 27 Jun – MIC terus bergolak apabila beberapa pemimpin pergerakan Pemuda parti itu di Kedah termasuk ketuanya, R. Nantha Kumar mengumumkan peletakan jawatan mereka hari ini.

Pada masa sama, mereka juga menggesa Datuk Seri S. Samy Vellu melepaskan jawatan Presiden MIC memandangkan kebanyakan masyarakat India kini sudah hilang kepercayaan ke atas kepimpinan beliau.

Nantha Kumar, 39, berkata, tindakan itu diambil sebagai membantah tindakan Samy Vellu baru-baru ini yang mengeluarkan arahan kepada Ketua Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan, S.A. Vigneswaran melepaskan jawatannya dengan alasan melepasi usia 41 tahun.

“Saya dan rakan-rakan iaitu Setiausaha Pemuda MIC Kedah, T.M. Ganesan; Bendahari Pemuda MIC Kedah, M. Selvan dan Ketua Penerangan Pemuda MIC Kedah, S. Somasunther meletak semua jawatan dalam parti.

“Tindakan ini kerana membantah arahan agar Vigneswaran meletakkan jawatan dengan alasan beliau melepasi had umur 41 tahun walaupun penggal jawatan itu berakhir pada tahun depan.

“Kami berpendapat ini adalah satu penghinaan kepada semua perwakilan yang memberikan mandat kepada Vigneswaran untuk memimpin Pemuda MIC dari tahun 2006 hingga 2009,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Nantha Kumar mendakwa arahan yang dikeluarkan Samy Vellu itu jelas tidak adil dan dipercayai wujud komplot di peringkat tertinggi untuk menjatuhkan Vigneswaran.

“Sepanjang pengalaman saya selama lapan tahun sebagai Ketua Pemuda MIC Kedah, amalan seperti ini tidak pernah dipraktikkan.

“Ini kerana semua Ketua Pemuda akan dibenarkan melengkapkan tempoh perkhidmatan mereka,” jelasnya.

“Kami ingin minta Samy Vellu supaya berundur dan beri peluang kepada muka baru pimpin parti,” tegasnya.

Tambah beliau, Samy Vellu juga perlu memahami bahawa kemerosotan sokongan daripada masyarakat India terhadap MIC kebelakangan ini disebabkan mereka menolak pemimpin itu.

“Ini terbukti dalam pilihan raya umum lalu yang mana MIC termasuk beliau sendiri kalah teruk,” katanya.

Menurut Exco Pemuda MIC Kebangsaan itu lagi, beliau dan rakan-rakan sanggup dipanggil sebagai penderhaka atas tindakan mereka itu.

“Selepas ini kami yang berstatus ahli biasa sanggup jadi penderhaka kepada presiden tetapi tidak sanggup derhaka kepada parti kerana sayang kepada MIC, kami terpaksa ambil tindakan ini,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada pengurusan parti MIC sudah dimaklumkan mengenai peletakan itu, Nantha Kumar menjelaskan, surat menyatakan hasrat berkenaan sudah dihantar kepada Ibu Pejabat MIC hari ini.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |