+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, June 11, 2008

Sarawak dapat RM1b lagi

Utusan Online

KUCHING 10 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion untuk pelaksanaan projek-projek infrastruktur asas di Sarawak.

Perdana Menteri berkata, peruntukan tambahan itu diluluskan oleh Jemaah Menteri baru-baru ini dan akan diuruskan Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan rakyat Sarawak tidak jauh ketinggalan dengan penduduk negeri-negeri lain di Semenanjung.

Menurut beliau, dengan peruntukan tambahan itu, pembangunan di kawasan-kawasan luar bandar akan dapat dilaksanakan seterusnya memastikan penduduk dapat menikmati kemudahan yang sepatutnya.

''Ini penting supaya kawasan-kawasan luar bandar tidak dilupakan," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini selepas melakukan lawatan kerja sehari ke Sarawak.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan barisan menteri Kabinet Sarawak.

Pada sidang akhbar itu, selain mengumumkan peruntukan tambahan, Abdullah turut mengumumkan tiga lagi insentif untuk negeri Sarawak.

Ini termasuk peruntukan menyewa helikopter sebanyak RM15,000 yang ditanggung oleh kerajaan Pusat untuk semua Ahli Parlimen bagi melawat kawasan terpencil.

Selain itu, kerajaan Pusat bertekad menghapuskan kemiskinan tegar dan menurunkan kadar kemiskinan di Bumi Kenyalang kepada 2.8 peratus menjelang tahun 2010.

''Kerajaan telah menubuhkan Kumpulan Fokus kemiskinan yang merangka Pelan Kemiskinan dan menyelaraskan pelaksanaan program-program pembasmian kemiskinan," kata Abdullah.

Perdana Menteri berkata, bancian keluarga miskin tegar dan miskin di Sarawak telah siap sebanyak 98 peratus dan dijangka siap sepenuhnya akhir Jun ini.

Tegasnya, sebaik sahaja bancian selesai, kerajaan akan dapat melaksanakan perancangan secara lebih tepat dan berkesan untuk Sarawak.

''Sebagai langkah awal, kerajaan akan memberi tumpuan khusus kepada penyediaan bantuan rumah untuk golongan miskin di bandar dan luar bandar," katanya.

Turut diumumkan ialah penyertaan anak-anak Sarawak dalam perkhidmatan awam Persekutuan dan pengisian ketua-ketua jabatan.

''Sebagai langkah segera, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melaksanakan skim tukar lantik iaitu melantik Pegawai Perkhidmatan Negeri ke Perkhidmatan Awam Persekutuan di peringkat pertengahan dan tertinggi," kata Abdullah.

Baru-baru ini, kata beliau, Mat Omar Johari, seorang anak Sarawak, telah dilantik sebagai Pegawai Kewangan Persekutuan Sarawak yang baru.

Turut mendapat perhatian Perdana Menteri ialah agihan peruntukan untuk Sarawak yang mengambil kira keluasan, bilangan penduduk dan tahap pembangunan.

Selain itu, kata beliau, kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar bagi setiap Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) untuk Bumi Kenyalang.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), peruntukan yang diluluskan untuk negeri ini terus meningkat kepada RM12.365 bilion yang merupakan peruntukan keempat terbesar selepas Wilayah Persekutuan, Selangor dan Sabah.

''Bagaimanapun, keperluan negeri ini sedang dikaji di bawah Kajian Separuh Penggal RMK-9 yang akan dimuktamadkan pada Jun ini," kata Abdullah.

Beliau memberitahu, Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM3.9 bilion untuk penyediaan bekalan air dan elektrik 24 jam bagi sekolah-sekolah di luar bandar.

Katanya lagi, isu-isu kemudahan asas dan isu kekurangan bekalan air dan elektrik luar bandar akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan dan Infrastruktur (JKPI) yang dipengerusikan oleh timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Jun ini.

Perdana Menteri menjelaskan, Sarawak merupakan negeri yang mendapat peruntukan kedua tertinggi bagi tujuan pendidikan di bawah RMK-9 iaitu kira-kira RM3 bilion bagi melaksanakan 2,187 projek.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |