+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, July 20, 2008

Anwar pertahan ditelanjangkan, PM jamin Musa, Gani tidak campuri siasatan

Mstar Online

20-07-2008 03:39:16 PM

ANWAR Ibrahim ketika memberi ceramah di hadapan penyokong di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di Kuala Lumpur petang tadi. - foto The Star oleh KAMARUL ARIFFIN

(Dikemas kini) KUANTAN: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dalam siasatan polis atas tuduhan meliwat, tetap mempertahankan bahawa beliau telah ditelanjang dan diaibkan ketika menjalani pemeriksaan perubatan pada Rabu lepas.

"Hospital (Kuala Lumpur) kata saya tak ditelanjang, (tapi) dia suruh buka baju, buka seluar, kemudian suruh buka seluar dalam, itu bukan namanya telanjang atau ada nama lain, bogel bukan telanjang," katanya ketika menyampaikan ceramah politik di kampung Razali, dekat sini, malam Sabtu.

Anwar berkata beliau hairan bagaimana pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak pernah ditelanjangkan ketika menjalani pemeriksaaan perubatan itu.

"Ini kita nak percaya macam mana, saya tak buat salah tapi saya ditelanjangkan, sebab saya menjadi jurucakap rakyat, dan inilah hukumannya, diaibkan, difitnah, ditelanjangkan," kata Anwar.

Semalam, Pengarah HKL Datuk Dr Zaininah Mohd Zain berkata sebelum pemeriksaan itu, dua pakar menerangkan secara terperinci mengenai prosedur pemeriksaan itu kepada Anwar dengan kehadiran peguam beliau.

Beliau kemudian diperiksa oleh dua orang pakar itu mengikut prosedur klinikal tertentu semasa keseluruhan pemeriksaan berkenaan dijalankan. Tidak pernah sama sekali kesopanan dan ketertiban beliau dinafikan sepanjang tempoh pemeriksaan itu," kata Dr Zaininah dalam kenyataan semalam.

Anwar, 61, dibawa ke HKL pada malam Khamis, hari beliau ditangkap untuk menjalani ujian DNA berhubung aduan liwat oleh bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23.

Beliau kemudian dibawa balik ke Ibu pejabat Polis Kuala Lumpur pada pukul 10.34 malam selepas menjalani pemeriksaan perubatan.

Berucap di hadapan lebih 5,000 orang itu, Anwar berkata beliau enggan untuk membenarkan sampel darahnya diambil pihak HKL kerana beliau tidak percaya dalam sistem itu kerana bukti DNA yang diambil polis dalam kes liwatnya 10 tahun lepas didakwa telah dimanipulasi pihak polis.

"DNA tidak berubah, darah saya (telah) diambil (dulu), mereka usung tilam (kes 1998), ambil darah saya percik atas tilam, jadi janganlah ulang tayang cerita ini," dakwa Anwar. BERNAMA

BERITA TERDAHULU:

Lagi jaminan Abdullah: Musa, Gani tidak campuri siasat liwat Anwar

(Dikemas kini) KEPALA BATAS: Selepas memberi jaminan keselamatan dua minggu lalu, hari ini Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan bahawa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak akan terlibat dalam siasatan berhubung tuduhan liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, berikutan laporan oleh Anwar kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung tuduhan pemalsuan fakta melibatkan Musa dan Abdul Gani, maka adalah wajar bagi kedua-dua mereka dikecualikan daripada siasatan terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

"Ketua Polis Negara dan Peguam Negara tidak akan mengambil apa jua peranan berkaitan kes Anwar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan tawaran melanjutkan pengajian dan pembiayaan pelajaran kepada 350 pelajar MARA ke Island College of Technology (ICT) di Dewan Millenium Kepala Batas, di sini hari ini.

Rabu lepas Anwar memberikan keterangan kepada BPR di Putrajaya, yang meliputi tiga aspek utama iaitu pemalsuan fakta, penghilangan fakta dan pemalsuan laporan perubatan dari Jabatan Forensik, yang membabitkan Musa dan Abdul Gani.

Sebelum itu pada 1 Julai lepas, Anwar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, mendakwa Musa dan Abdul Gani terlibat memalsukan keterangan dalam siasatan kes beliau dipukul pada tahun 1998, oleh Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Abdul Gani ketika itu merupakan Timbalan Pendakwa Raya manakala Musa ialah pegawai penyiasat kes.

Anwar ditahan oleh sepasukan polis berhampiran rumahnya pada hari Rabu lepas dan dibebaskan dengan jaminan polis pada keesokkan harinya, bagi membantu siasatan berhubung laporan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, kepada polis pada 28 Jun lepas, mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.


Abdullah telah pun memberikan jaminan keselamatan Anwar mencari perlindungan di rumah Duta Turki akhir bulan lalu dan ketika ditahan polis Rabu lalu.

Ketika ditanya sama ada Musa dan Abdul Gani akan digantung tugas berikutan laporan polis yang dibuat oleh Anwar terhadap mereka, Abdullah berkata, beliau tidak nampak keperluan untuk menggantung perkhidmatan mereka.

Abdullah berkata, pegawai yang membuat siasatan ketika ini tidak akan merujuk hasil siasatan kes itu kepada mereka.

"Pegawai itu tidak membuat sebarang rujukan kepada mereka dan (saya) tidak nampak (mengapa) mereka perlu digantung perkhidmatan," kata Abdullah dipetik Bernama.

Mengenai cadangan kerajaan Pulau Pinang supaya kerajaan Persekutuan menggantikan kos pembinaan projek Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) dan monorel yang ditangguhkan sebanyak RM4.7 billion dalam bentuk pemberian wang tunai, Abdullah berkata kerajaan persekutuan tidak berhasrat untuk melaksanakan permintaan itu.

"Tak ada cita-cita pun. Tidak ada cadangan untuk laksanakan permintaan seperti itu," katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebelum ini meminta supaya kerajaan persekutuan memberikan wang tunai RM4.7 bilion sebagai ganti projek yang ditangguhkan pelaksanaannya semasa kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) barubaru ini.

Mengenai laporan kononnya UEM Berhad tidak lagi menjadi kontraktor bagi pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang, Abdullah meminta supaya perkara itu tidak dibincangkan secara terperinci, kerana kerajaan tetap akan melaksanakan pembinaannya.

"Jangan pergi terlalu terperinci, walau apapun kerajaan akan tetap membina jambatan itu, itu sahaja yang ingin diketahui orang ramai," katanya.

Sementara itu merujuk kepada hasrat Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat untuk bertanding ke jawatan presiden parti itu berikutan penyandangnya, Datuk Seri Ong Ka Ting tidak mempertahankan jawatan itu, Abdullah berkata terpulang kepada anggota parti berkenaan untuk menentukan pemimpin mereka.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |