+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, July 12, 2008

Bala ke luar negara bukan 'lakonan polis', kata Bakri

Mstar Online

11-07-2008 03:20:32 PM

KUALA LUMPUR: Tindakan penyiasat persendirian P.Balasubramaniam dan keluarganya melarikan diri ke luar negara bukanlah atas arahan atau 'lakonan' pihak polis, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Mohd Bakri Zinin.

Sambil menegaskan tuduhan yang mengaitkan tindakan Balasubramaniam dengan polis sebagai tidak berasas, beliau berkata tuduhan itu tidak seharusnya timbul kerana polis menjalankan siasatan secara telus dan profesional dalam mencari kebenaran tanpa mempunyai sebarang motif lain.

"Mengapa mesti heret pihak polis sekali dalam situasi seperti ini? Janganlah perkara ini dijadikan sebagai 'media court', ini bukan satu lakonan, inilah kenyataan, realiti yang perlu disiasat secara profesional dan teratur untuk kita mengetahui kebenaran sesuatu perkara.

"Polis bukan pelakon...saja-saja berlakon untuk jadi popular, tetapi hakikatnya kita siasat dan beri informasi yang benar untuk memastikan orang awam sentiasa peka dengan senario sebenar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan seminar pada Simposium Sains Forensik dan Undang-Undang Jenayah di sini hari ini.

Sebelum ini dilaporkan bahawa polis berjaya mengesan Balasubramaniam serta keluarganya di sebuah negara jiran selepas dilaporkan hilang sejak Jumaat lepas dan mengambil keterangan daripada penyiasat persendirian itu berhubung akuan bersumpahnya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam berkata Balasubramaniam meninggalkan negara ini bersama keluarganya ke luar negara kerana bimbang keselamatan mereka terancam selepas membuat dua akuan bersumpah berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Mohd Bakri turut menafikan andaian bahawa siasatan telah dihentikan selepas Balasubramaniam dan keluarganya ditemui.

"Siasatan kita tidak berhenti di sini, sekiranya sudah cukup semua bukti yang nyata, kita tiada masalah untuk bawa perkara tersebut kepada peguam negara.

"Siasatan kita punya asas (bukti), jika tiada asas kita akan siasat lebih lagi dan sekiranya kita mempunyai sebarang kes, kita akan cadangkan pada peguam negara untuk mendakwa. Polis hanya menyiasat tetapi pendakwaan di bawah kuasa peguam negara," katanya. BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |