+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, July 16, 2008

Dakwaan liwat: Anwar ditahan polis, direman 24 jam

Mstar Online

16-07-2008 04:50:52 PM
Oleh G. MANIMARAN, AFFIFUDDIN ISHAK dan LEE YAN XIU


Datuk Seri Anwar Ibrahim dikerumuni wakil media sejurus selepas memberi keterangan di Badan Pencegah Rasuah, Putrajaya Beliau ditahan polis dekat rumahnya kemudian, kira-kira sejam sebelum dikehendaki hadir di IPK Kuala Lumpur. - foto REUTERS

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikeluarkan waran tangkap kerana tidak hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur petang kelmarin berhubung dakwaan meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan (gambar), ditahan polis tengah hari ini untuk membantu siasatan.

Peguam Anwar, Sankara Nair memberitahu pemberita di pekarangan IPK Kuala Lumpur, bekas Timbalan Perdana Menteri itu ditangkap oleh sepasukan polis di kawasan berhampiran dengan rumahnya.

Anwar mula memberikan kenyataan kepada polis mulai pukul 2.30 petang - kira-kira 70 minit selepas dibawa ke IPK Kuala Lumpur.

Beliau dijangka dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk tujuan DNA.

Kata Sankara polis boleh menasihatkan Anwar menjalani pemeriksaan di hospital tetapi tidak boleh memaksanya membekalkan sampel untuk DNA.

"Beberapa minit sebelum ditangkap, DSP Jude Pereira (pegawai penyiasat) menelefon saya dan mengesahkan tentang kedatangan mereka. Mereka kata hendak datang, tetapi (Anwar) ditahan di kawasan selekoh di Jalan Segambut (berhampiran rumah Anwar)," katanya.


Semalam polis telah mengeluarkan waran tangkap dan mengkategorikan Anwar sebagai suspek dalam tuduhan Mohd Saiful bahawa majikannya itu telah meliwatnya beberapa kali termasuk pada 26 Jun lalu.

Kira-kira 200 penyokong Anwar pula sudah mula membanjiri kawasan berdekatan dengan IPK.

Dia membuat laporan polis dua hari kemudian.

Ini kali kedua Anwar berhadapan dengan dakwaan seumpama itu selepas kali pertama pada 1998 dan September tahun itu juga beliau ditahan polis di rumahnya.

Polis mengatakan bahawa anda (Anwar) ditahan di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan, Anwar akan direman 24 jam," kata Sankara dan menambah, polis perlu mendapatkan perintah tahanan reman daripada mahkamah jika mahu menahan Anwar lebih daripada 24 jam.

Bagaimanapun, kata Sankara Anwar tidak digari semasa dibawa ke IPK.

Anwar dibawa ke IPK Kuala Lumpur kira-kira pukul 1.15 tengah hari.

Beliau ditahan di rumahnya di Segambut dekat sini selepas pulang dari memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya berhubung laporannya yang dibuat terhadap Peguam Negara dan Ketua Polis Negara pada 1 Julai lalu.

Anwar keluar dari pejabat BPR pukul 12.10 tengah hari.

Ketika ditemui wartawan di Putrajaya, Anwar berkata, beliau telah meminta BPR supaya proses memberi keterangan ditangguhkan kerana perlu hadir di IPK Kuala Lumpur pukul 2 petang ini untuk memberi keterangan berhubung dakwaan meliwat.

Kata beliau: "Oleh kerana waran tangkap sudah dikeluarkan, saya perlu berada di IPK Kuala Lumpur dengan segera."

Ketika ditanya mungkin ditahan, Anwar memberitahu, beliau bersedia jika polis hendak menahannya dan BPR boleh mengambil keterangan di lokap.

Wartawan mStar Online yang berada di IPK Kuala Lumpur melaporkan Anwar dibawa dalam Pajero dengan diiringi kira-kira 15 buah kereta, dipercayai dinaiki anggota polis dan peguamnya.

Surat arahan polis bertarikh 15 Julai (semalam) menyebut Anwar perlu hadir di IPK Kuala Lumpur dan menemui pegawai penyiasat Jude Pereira pada pukul 2 petang ini.

Di IPK Kuala Lumpur Anwar ditemani peguam Sankara dan R. Sivarasa.

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula tiba di IPK dari Parlimen selepas dimaklumkan mengenai tangkapan Anwar.

Beliau disusuli kehadiran peguam Karpal Singh yang tiba lima minit kemudian.

"Sekarang tidak tahu keadaan lagi. Cara polis (menangkap Anwar) ganas, akan cuba menjamin beliau secepat mungkin," kata Azizah kepada para pemberita.

Selepas keluar dari IPK, Dr. Wan Azizah meminta semua orang supaya bertenang.

"Saya kecewa kerana polis bertindak sedemikian. Ini tidak diperlukan, saya kesal kerana suami saya ditangkap.

"Kami sudah memberi jaminan bahawa Anwar akan datang sebelum pukul 2 petang," katanya lagi.

Anak Anwar, Nurul Izzah memberitahu wartawan selepas memasuki bangunan IPK kira-kira 3.30 petang bahawa bapanya telah meminta ahli keluarga dan penyokongnya supaya berdoa.

Terdahulu Karpal pula memberitahu, setakat ini (sehingga pukul 2.30 petang) Anwar tidak ditahan, cuma dibawa untuk memberi keterangan kepada polis.

Sama ada ditahan ataupun sebaliknya hanya akan diketahui selepas keterangan diambil, kata Karpal.

Beberapa pemimpin parti pembangkang juga kelihatan berada di IPK sejak Anwar dibawa masuk.

Antara yang berada di ibu pejabat polis kontinjen itu ialah anak perempuan Anwar, Nurul Izzah yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai, Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Ketua Penerangan PKR Tian Chua, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pengerusi DAP Karpal Singh dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |