+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, July 21, 2008

Husam: PM mahu pecah belah PAS...

Malaysiakini

Jul 20, 08 9:00pm

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu menabur benih perpecahan dalam PAS apabila menyatakan beliau telahpun tiga kali bertemu pemimpin peringkat tertinggi PAS.

"Pengumuman sebelah pihak oleh Abdullah tentunya ada motif tersirat. Jujurkah Abdullah bila beliau umumkan pemimpin 'decision-makers' PAS telah tiga kali menemui beliau?

"Atau beliau sedang memainkan PAS dengan satu strategi politik dengan umpan yang enak? Sekurang-kurang, dalam keadaan terlalu terdesak, beliau boleh mencapai matlamat politik jangka pendek," katanya Husam dalam laporan yang disiarkan oleh Harakahdaily malam ini.

Abdullah hari ini mendedahkan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin peringkat tertinggi PAS untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan dengan keagamaan.

Bagaimanapun, beliau yang juga presiden Umno dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata, pertemuan tersebut tidak disertai Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Nik Aziz tak ada, itu saya boleh katalah, yang lain tak boleh tanya....(pertemuan) pada peringkat orang yang boleh membuat keputusan," katanya, yang menurut Bernama seakan memberi gambaran bahawa antara yang terlibat dalam muzakarah itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

‘Mahu kukuh kedudukan'


husam musa 03Mengulas mengenainya, Husam berkata Abdullah cuba memberi gambaran positif mengenai dakwaan pertemuan tersebut, "walaupun dia tahu mana-mana pertubuhan, apatah lagi parti Islam seperti PAS, tidak dimiliki oleh mana-mana pemimpin, sebesar mana pun pemimpin itu."

"PAS sebagai jamaah Islam dikendalikan dengan kaedah dan etika harakah Islamiyyah yang tertentu, termasuk musyawarah," tegas beliau.

Selain mahu memecahbelahkan PAS, Husam berkata, niat Abdullah ialah untuk mengukuhkan kedudukannya dalam Umno di tengah pergolakan dalaman yang tidak menentu, menghilangkan keyakinan dalam Pakatan Rakyat dan menjarakkan semula PAS dari sokongan bukan Melayu.

"Mungkin Abdullah mendapat inspirasi umpan 'Negara Islam' yang dilemparkan oleh Dr Mahathir selepas melihat kemaraan pembangkang dalam pilihanraya 1999 dan umpan itu menjadi sehingga pembangkang undur semula dalam pilihanraya 2004," katanya.

Husam menegaskan bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS sudah tentu tidak akan mengkesampingkan perpaduan umat Islam dan tidak pula menjadikan perpaduan nasional agenda kedua selepas perpaduan Islam.

Perpaduan Islam, tegas beliau, dicapai dalam konteks perpaduan nasional yang semestinya diasaskan bukan di atas asas kaum semata-mata seperti dilakukan oleh Umno selama ini, tetapi di atas asas yang lebih kukuh seperti tiada diskriminasi kaum, tiada diskriminasi berdasarkan fahaman politik dan keadilan untuk semua.

Kepercayaan bukan Melayu

"Perpaduan versi Umno sudah lusuh. Umno sesama Umno pun tidak dapat disatukan. Apatah lagi formula itu hendak digunakan bagi ummat Islam dan nasional," tegas beliau.

Sehubungan itu, Husam mengingatkan bahawa utama pemimpin PAS pada waktu ini ialah memastikan parti tidak berpecah, bahkan kekal bersatu.

"PASlah satu-satunya parti yang paling stabil, kukuh dan mantap buat masa ini. Jika jangkitan kuman Umno meresap dan memecahkan PAS, perkongsian kuasa dengan Umno hanyalah ulangan percantuman sementara era Barisan Nasional dulu yang berakhir PAS ditolak ke tepi selepas Umno mencapai kekuatan mereka semula," katanya.

PAS juga, katanya, hendaklah memastikan kepercayaan dan harapan masyarakat bukan Islam terhadap PAS tidak dikhianati.

"Islam menekankan kepada kesetian terhadap janji," tegas Husam.

Komen Nik Aziz

nik azizSementara itu, Nik Aziz pula, ketika mengulas perkara itu, mengingatkan pemimpin kanan parti, yang membuat pertemuan dengan pemimpin Umno,bahawa mereka hanya boleh mengadakan pertemuan melibatkan perbincangan peribadi dan bukannya melibatkan isu politik kedua-dua parti.

Namun, Bernama melaporkan menteri besar Kelantan itu menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan pemimpin Umno untuk membincangkan isu agama atas kapasiti peribadi tetapi tidak atas nama parti.

Nik Abdul Aziz menyatakan pendiriannya bahawa beliau hanya boleh menerima jika pemimpin PAS bertemu dengan pemimpin Umno atas urusan peribadi seperti menyentuh isu agama yang memberi manfaat dalam membaiki sahsiah diri.

Beliau menolak sebarang tindakan bagi pihak pemimpin PAS untuk mengadakan pertemuan dengan Umno bagi membincangkan isu parti.

"Kalau nak jumpa jangan jumpa dengan parti. Bagi saya untuk mengadakan pertemuan antara individu dan individu, saya setuju," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz berkata beliau sendiri tidak tahu mengenai pertemuan tiga kali itu, namun beliau pernah dimaklumkan sememangnya pernah wujud pertemuan antara Umno dan PAS tetapi lebih kepada isu agama dan peribadi.

Bukan atas nama parti

Beliau berkata pertemuan antara parti dengan parti atau antara Umno dan PAS tidak perlu diadakan kerana sudah terbukti dengan perjanjian yang dibuat pada tahun 70-an, ketika era Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein, PAS telah ditendang daripada parti gabungan.

"Jadi bagi saya untuk mengadakan pertemuan antara individu dengan individu saya setuju, dapat menyampaikan Islam secara langsung kepada individu terbabit," katanya.

Mengenai muzakarah yang disarankan beliau, Nik Aziz berkata perlu ada orang ketiga sebagai Hakkam yang mengadilkan pertemuan itu sebagaimana perbincangan antara dua negara berjiran perlukan kepada negara ketiga.

"Kalau di peringkat dunia berbalah dan perbincangan yang hendak diadakan perlu pihak ketiga, PPB (Pertubuhan Bangsa-Bersatu)lah yang terbaik," katanya.

Beliau tidak berminat untuk mengadakan pertemuan dengan nama parti dan sedia menerima pemimpin Umno yang mahu berbincang mengenai isu agama untuk kebaikan semua.

7 comments:

Unknown said...

PM mahu pecah belahkan PAS atau mereka sendiri yang merasa sudah berpecah belah?.muzkarah dilakukan untuk kebaikan dan bukan sebaliknya.jadi jika PAS merasakan mereka parti yang kuat mengapa mereka harus takut dengan tindakan Pak Lah berjumpa pemimpin-pemimpin PAS untuk bermuzhakarah?.bukankah muzhakarah tersebut menyelesaikan sebahagian isu yang harapnya boleh menguntungkan rakyat.

sekarang ni kes Anwar sedang hangat dan ada pemimpin-pemimpin PAS yang menyokong penuh Anwar padahal Anwar bukan pemimpin tertinggi dalam PAS dan dalam konteks ini kes Anwar lebih kepada peribadi.mengapa pula ada pemimpin-pemimpin PAS yang lebih menjurus kepada perjuangan Anwar lebih dari perjuangan parti sendiri?

harus lebih fokus pada kepentingan rakyat lebih dari kepentingan individu.lagi satu,jangan hanya melihat sesuatu itu hanya dari sudut negatif dan membuat pelbagai andaian.

Unknown said...

Bila pertemuan sesi dialog diadakan dengan baik diantara PAS dan UMNO, mereka ini mula bersangka tidak baik. Saya tidak faham kenapa mesti mereka ini semua bersangka buruk terhadap perbuatan tersebut.

Benda yang berlalu biarlah ia berlalu. Kini semua orang mengharapkan perbuhan dan reformasi daripada semua pihak. Janganlah duduk di dalam takuk sendiri. Bukalah mata dan minda dan buatlah keputusan serta pertimbangan yang sewajarnya untuk bangsa, agama dan negara dapat dikekalkan dalam keadaan yang baik, harmoni serta membangun.

Dalam islam itu sendiri mengajar kita untuk bertoleransi, bermaaf-maafan serta tidak mengungkit perkara yang telah berlaku. Ini hanyalah akan mengapi-apikan perasaan untuk berdendam antara satu sama lain yang akhirnya akan mencetuskan pergaduhan dan perusuhan di kalangan kita.

Unknown said...

senang sangat ke nak memecah belah kan PAS ni? kalau betul-betul PAS ni kukuh, apa salahnya adakan dialogue dengan parti-parti politik yang lain secara aman dan civil?

Unknown said...

Macamana boleh timbul kenyataan PM mahu pecah belahkan PAS? Sedangkan PM hanya beritahu pertemuan dengan PAS pernah dibuat dan ianya diakui oleh Hadi Awang sendiri malah telah dilaporkan dalam Majlis Syura PAS. Setahu saya Pak Lah tak pula memburukkan pemimpin PAS yang bertemu dengan beliau. Tak pula beliau kata mereka ada ditawarkan kedudukan..

Unknown said...

Ni memang kes ada orang sengaja nay jatuhkan lagi nama Pak Lah la ni.
Jangan cakap ikut sedap hati sahaja.Usaha Pak Lah untuk merancang dialog ini adalah untuk kebaikan semua juga terutamanya untuk kaum muslim dan orang melayu.
Kalau benda baik kenapa pula nak diburuk-buruk kan.

Unknown said...

"The 'flip flop' and 'incompetent' PM knows how to influence PAS! fuyyooo!! Contradictory to people calling him incapable of doing anything... Coming from PAS member himself."

Fuyoooooo! hebat lah Pak Lah rupanya! :D

Sang Pemantau said...

don't worry, TGHA knows what is the impact of muzakarah....this is not one man decision but this is syura decision...and I believed syura will make a decision that will give a good impact to PAS...so, let us pray for the success of muzakarah......Amin....

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |