+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, July 11, 2008

Najib terharu dipilih pengganti

Utusan Online

KUALA LUMPUR 10 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa terharu atas kepercayaan Perdana Menteri memilih beliau sebagai pengganti melalui satu proses peralihan kuasa yang akan berlaku pada Jun 2010.

Beliau berkata, langkah yang diambil oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu merupakan satu tradisi dalam UMNO yang selama ini dipertahankan.

Katanya, kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri itu akan dijadikan sebagai azimat kepada beliau untuk terus menyumbang ke arah mengukuhkan parti serta meneruskan usaha membangunkan negara ini.

‘‘Saya berasa terharu di atas kerelaan Abdullah melepaskan jawatan mengikut tempoh yang disebutkan. Ini bukan satu perkara mudah untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri.

‘‘Tetapi demi menghargai pandangan umum, beliau sanggup berbuat demikian dan saya berasa amat terharu,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan perjumpaan dengan Exco Pemuda, Wanita, Puteri dan Ketua UMNO bahagian seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, keputusan tersebut melambangkan peralihan kuasa kepimpinan boleh dibuat dengan cara yang baik tanpa membelakangkan tradisi atau pun membuat sesuatu yang membawa imej negatif kepada UMNO dan mana-mana pemimpin.

‘‘Dalam tempoh peralihan kuasa ini, Perdana Menteri akan menentukan peranan dan pembahagian kuasa tertentu dan saya akan menganggap Abdullah adalah ketua saya.

‘‘Saya juga telah menyatakan pada perhimpunan tadi supaya sokongan yang padu diberikan kepada pencalonan Abdullah sebagai Presiden UMNO,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau merayu supaya pelan peralihan kuasa tersebut diterima oleh semua anggota parti kerana suara parti pada akhirnya akan menentukan keputusannya.

Dalam pada itu, Najib juga menyatakan kesediaan beliau menawarkan diri mempertahankan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang.

‘‘Saya berharap parti akan menerima saya sebagai Timbalan Presiden,” jelasnya.

Dalam sidang akhbar yang diadakan bersama Abdullah itu, Najib sekali lagi mengulangi bahawa hubungan beliau dengan Perdana Menteri amat akrab.

‘‘Saya berharap agar hubungan akrab ini akan diteruskan selama Abdullah menjadi Perdana Menteri dan selepas beliau menyerahkan jawatan,” katanya.

Najib juga meminta semua pemimpin dan anggota parti memberi sokongan padu kepada Abdullah demi keutuhan dan kekuatan parti selain memastikan proses peralihan kuasa berjalan lancar.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |