+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, July 1, 2008

Saiful datang pejabat minta surat sokongan – Najib

Utusan Online


Mohd. Saiful Bukhari Azlan bersama Khairil Anas Yusof seperti yang ditunjukkan oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail daripada telefon bimbitnya, semalam.


KUALA LUMPUR 30 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjelaskan, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, lelaki yang membuat dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwatnya, datang ke pejabat Timbalan Perdana Menteri tiga bulan lalu untuk mendapatkan surat sokongan bagi mendapatkan pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Menurut Najib, lelaki terbabit merupakan seorang pemimpin pelajar dan adalah perkara biasa para pemimpin pelajar mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawainya untuk mendapatkan sokongan.

“Mohd. Saiful juga ada mengambil gambar dengan menteri-menteri Kabinet lain,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Najib mengulas tindakan lelaki berusia 23 tahun itu membuat laporan polis di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 5.45 petang kelmarin dengan mendakwa Anwar meliwatnya di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun lalu.

Semalam, isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyangkal pembantu khas Anwar itu. Wan Azizah mendakwa tuduhan Mohd. Saiful merupakan satu konspirasi politik terhadap suaminya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menunjukkan gambar Mohd. Saiful bersama seorang pegawai khas pejabat Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anas Yusof yang didakwanya diterima menerusi mesej khidmat pesanan ringkas (SMS).

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, perkara pokok dalam kes dakwaan liwat terhadap Anwar ialah sama ada kejadian terbabit berlaku atau sebaliknya.

‘‘Sama ada kejadian itu berlaku atau tidak terpulang kepada pihak polis untuk menentukannya. Ini soal undang-undang... biarlah undang-undang menentukannya,” kata beliau.

Berhubung keselamatan Anwar, Najib menegaskan, keselamatan pemimpin pembangkang itu dijamin oleh undang-undang Malaysia.

Mengenai tindakan pemimpin PKR itu berlindung di kedutaan Turki di ibu negara kerana bimbang ancaman keselamatan daripada ejen-ejen BN, Najib memberitahu, BN tidak pernah bertindak demikian.

‘‘BN tidak terlibat dalam mengugut atau mengancam ahli-ahli politik dan ia bukan amalan yang dilakukan oleh BN,” katanya.

Najib memberitahu, tindakan pemimpin PKR itu mendapatkan perlindungan di kedutaan Turki perlu dilihat dari segi undang-undang antarabangsa.

Jelasnya, kedutaan Turki merupakan kawasan milik negara tersebut tetapi beliau mempersoalkan apakah tindakan Anwar itu bertujuan untuk mendapatkan perlindungan politik atau lari daripada undang-undang negara.

‘‘Kerajaan perlu memastikan dahulu tujuan Anwar mendapatkan perlindungan di kedutaan Turki sebelum menentukan tindakan yang perlu diambil.

‘‘Perkara ini akan diserahkan kepada Kementerian Luar untuk mengambil tindakan berdasarkan undang-undang antarabangsa. Tindakan Turki ini tidak akan menjejaskan hubungan kedua-dua negara,'' katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |