+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, July 11, 2008

Serah jawatan 2010, Umno dan BN dalam kedudukan terancam

Harakahdaily

Suhaimi Taib

Fri | Jul 11, 08 | 6:54:23 am MYT

Dua perkara berlaku dalam masa terdekat, pertama Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) telah memasang golnya sendiri bahawa beliau masih mahu kekalkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno sehingga Jun 2010.

Kedua, Pakatan Rakyat di Parlimen telah mengemukakan notis usul undi tidak percaya kepada Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan akan ditentukan usul itu oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Isnin ini sama ada ia diterima ataupun ditolak.

Kedua-dua isu ini mempunyai signifikannya tersendiri dalam variasi (perubahan) politik negara dan merupakan suatu asas untuk melihat sejauhmana kebijaksanaan rakyat dan kepimpinan yang dipilih mereka menentukan sendiri dengan tindakan bijak mencipta kejutan sehingga warna politik negara lebih cerah di masa hadapan.

Menyentuh persoalan pertama, sikap ditunjukkan oleh Pak Lah mengekalkan kedudukannya sedia ada sebagai perdana menteri dan presiden Umno untuk tempoh kira-kira dua tahun lagi suatu tindakan menentang arus dan akan menerima padah yang tidak sedikit kepada pihak-pihak tertentu khususnya rakyat jelata.

Orang yang pertama, terhalang mencapai hasrat menjadi perdana menteri ialah Dato' Seri Najib Tun Razak dalam masa dua tahun akan datang.

Untuk melangkah lebih ke depan Najib perlu merungkai permasalahan berlaku dengan penentang keputusan dibuat presiden parti secara diam-diam atau secara terbuka.

Secara diam-diam, Najib boleh mengatur strategi memperalatkan kuncu-kuncunya dalam Umno untuk menentang hasrat Pak Lah dengan menggunakan pelbagai hujah yang pembangkang sendiri gunakannya untuk menggambarkan kelemahan-kelemahan yang dilakukan oleh presiden parti itu mulai sekarang.

Najib secara tidak lansung perlu mendesak ahli parti di peringkat akar umbi mengemukakan cadangan atau usul dalam mesyuarat agung mereka, bahawa Presiden dan Timbalan Presiden merupakan jawatan parti yang perlu dipertandingkan untuk melihat perubahan baru dalam parti dan hala tuju perjuangannya di masa depan.

Najib tidak perlu bersifat terus terang menonjolkan penentangan terhadap Pak Lah, cukuplah dengan mengarahkan kuncu-kuncunya berbuat demikian atas dasar menyelamat Umno dari terus hancur dan kuasa Umno sebagai pemerintah terhakis.

Satu kelompok lagi ialah Tengku Razaliegh Hamzah, Ketua Umno Bahagian Gua Musang dan kuncu-kuncunya, boleh turut digembelengkan sekuat-kuatnya bagi melihat strategi membatalkan hasrat Pak Lah mengekalkan kedudukannya sehingga tempoh berkenaan.

Pemilihan siapakah layak menerajui parti itu Disember ini perlu diserah kepada ahli menentukannya bukan Pak Lah atau mana-mana kepimpinan lain hatta Najib sendiri jika benar-benar Umno mahu melihat parti itu masih relevan khususnya di kelompok kecil orang Melayu.

Amat sukar lagi Umno mahu mempengaruhi majoriti orang Melayu kerana mereka telah dikuasai oleh tiga buah parti yang didominasikan oleh orang Melayu termasuk PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Umno sendiri.

Yang penting, sekurang-kurangnya Umno dapat teruskan survival politiknya dengan tidak mengekalkan Pak Lah terus pada kedudukanya sekarang kerana Umno dan Barisan Nasional (BN) berada pada kedudukan terancam dan akan terhakis sekiranya senario sedia ada terus berkekalan melepasi Perhimpuan Agung Umno Disember ini.

Pak Lah perlu diturunkan oleh ahlinya dari setiap cawangan. Jika tidak, Umno dipercayai akan berkubur, tidak lama lagi dan sukar lagi untuk bangkit semula selepas ini kerana Umno tidak berupaya membuktikan perjuangannya berjaya sejak 50 tahun lalu.

Kedua, notis usul undi tidak percaya sekarang berada di tangan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Beliau akan membuat keputusan sama ada ia diluluskan untuk dikemukakan kepada dewan atau sebaliknya atas apa alasan sekalipun Isnin ini.

Notis itu dikemukakan oleh Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail selepas selesai sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sudah pasti yang Dipertua Dewan Rakyat dipercayai akan diberi nasihat oleh Pak Lah bagaimana seharusnya dia bertindak untuk menangani isu berkenaan.

Peraturan 18 (1) dan (2) Dewan Parlimen diambil kira. Pandikar Amin menjelaskan bahawa beliau boleh membuat keputusan terhadap notis berkenaan sama ada di kamar atau di kemukakan notis itu ke dalam dewan untuk diperbahaskan ahli dewan manakala keputusannya akan dibuat beliau sendiri, katanya ketika ditemui wartawan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa beliau suka dengan dewan rakyat ketika ditanya apakah keputusan akan diambil nanti.

Walaupun Pakatan rakyat tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada usul itu berjaya diluluskan tetapi ia mempunyai pengaruh yang kuat di parlimen untuk membolehkan usul itu diterima majoriti ahli dewan sekiranya Pandikar Amin memutuskan untuk mengemukakannya di dewan berkenaan.

Sebaliknya jika beliau memutuskannya ditolak di kamar beliau sudah tentu notis itu gagal diperbahaskan di parlimen kali ini.

Mungkin Pakatan Rakyat akan mengemukakan lagi notis seumpama itu di masa hadapan. Bagaimanapun jika notis itu ditolak, ahli-ahli parlimen sudah pasti akan mengambil peluang untuk membahaskannya di dewan berkenaan.

Apa pun media dan rakyat sedang menanti saatnya bagaimana notis itu ditangani oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat tersebut. _

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |