+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, July 14, 2008

Usul tak percaya ditolak, wakil pembangkang keluar Dewan

Mstar Online

14-07-2008 02:52:28 PM

DR. WAN AZIZAH Wan Ismail bersama Lim Kit Siang pada sidang media selepas usul tergempar yang difailkan Khamis ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat hari ini. - foto The Star oleh Darran Tan

(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Kesemua anggota Parlimen pembangkang iaitu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP hari ini bertindak keluar Dewan apabila usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pandikar Amin, yang menerima permohonan usul itu daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail Khamis lepas berkata, beliau telah memberikan alasan bertulis terhadap penolakan di bawah peraturan 18 (7), walaupun secara asasnya tidak diperlukan untuk membuat penjelasan.

"Speaker tak perlu beri alasan pun tetapi apabila saya tak jawab, seolah-olah saya sembunyikan sesuatu. (Alasan penolakan ialah kerana) Apabila saya baca usul berkenaan ia menyatakan mengambil ketetapan tidak percaya.

"Mengambil ketetapan ini membabitkan pengundian sedangkan 18 (1) dan 18 (2) ialah untuk merunding. Maca mana pulak saya boleh benarkan di bawah 18 (1) dan 18 (2)," katanya ketika memulakan sesi penggulungan Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan di sini.

Beliau berkata, alasan lain yang diberikan secara bertulis kepada Dr. Wan Azizah mengenai sebab penolakan itu ialah semua yang hendak dkemukakan dalam Dewan mengikut peraturan mesyuarat itu sudah dikemukakan pada perbahasan usul kenaikan harga minyak tempoh hari.

Anggota Parlimen pembangkang membuat keputusan keluar Dewan selepas Pandikar Amin menyatakan sesiapa juga yang bangun untuk mempertikaikan keputusannya menolak usul berkenaan akan diarah keluar.

"Siapa yang bangun selepas (Anggota Parlimen) Batu (iaitu Tian Chua berhujah) saya akan arah dia keluar (Dewan)," katanya.

Ketika keadaan semakin hangat dengan penyokong kerajaan dan pembangkang bertikam lidah termasuk menyindir antara satu sama lain, Dr. Wan Azizah bangun meminta Pandikar Amin mempertimbangkannya semula.

"Kalau boleh timbangkan. Kita terpaksa meninggalkan Dewan. Inilah cara kami (menyuarakan hasrat rakyat)," kata Dr. Wan Azizah.

Selepas Pandikar Amin tidak melayani permohonan itu dan menegaskan bahawa keputusannya adalah muktamad, Dr. Wan Azizah bangun dan keluar dari Dewan dengan diikuti kesemua anggota pembangkang lain.

Khamis lepas parti pembangkang menyerahkan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri kepada Pandikar Amin di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini.

Usul itu diserahkan oleh Dr. Wan Azizah Ismail yang mengetuai 14 Anggota Parlimen dari parti pembangkang yang mewakili PKR, PAS dan DAP.

Usul itu adalah di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) yang berbunyi "Bahawa Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan tidak percaya terhadap kempipinan YAB Perdana Menteri Malaysia dan jemaah menteri beliau dalam menjalankan urus tadbir negara disebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan." BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |