+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, August 23, 2008

Majoriti Anwar sekitar 15,000? Calon BN kata ia angka "mustahil"

Mstar Online

23-08-2008 07:32:34 PM
Oleh G. MANIMARAN

(Fokus Berita) PERMATANG PAUH: Selepas kempen selama hari dan hanya tinggal dua hari sebelum melangkah ke pusat pengundian Selasa ini, pelbagai pihak sudah mula bercakap mengenai siapa yang bakal dimahkotakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh?

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merampas semula kerusi yang pernah disandangnya dari 1982 hingga 1999? Ataupun muka baru tetapi orang lama Permatang Pauh, Datuk Arif Shah Omar Shah akan dipilih sebagai wakil rakyat yang baru?

Ataupun bukan kedua-dua mereka. Sebaliknya calon ketiga - Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Mamat pula mengisi kekosongan yang wujud?

Di atas kertas Anwar dan Arif nampak sama hebat, sekali gus tidak menganggap Hanafi atau yang turut dikenali sebagai "Haji Pi" dalam poster kempennya bakal menggemparkan Permatang Pauh.

Jika mengambil kira Anwar dan Arif semata-mata siapa yang bakal menang? Jika salah seorang daripada mereka menang, apakah majoritinya?

Risikan mStar Online menunjukkan sehingga kini kelebihan masih memihak kepada Anwar.

Ini turut diakui oleh pegawai jentera pilihan raya Anwar yang dihubungi malam tadi dan perkembangan sambutan kunjungan ceramah-ceramah dihadiri Anwar.

Semalam seorang pegawai kanannya mengatakan bahawa Anwar boleh menang dengan kelebihan 15,000 undi.

Hari ini anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin ketika dihubungi memberitahu, penilaian awal sehingga malam tadi menunjukkan Anwar sepatutnya menang dengan majoriti lebih besar berbanding keputusan 8 Mac lalu.

"Kami menjangkakan akan memperoleh majoriti lebih besar daripada pilihan raya umum lalu, sedikit lebih besar daripada majoriti Mac lalu.

"Tetapi perlu diakui bahawa wujud pelbagai taktik kotor dan penipuan sejak beberapa hari lalu. Ini antara kemungkinan yang boleh menjejaskan majoriti besar yang diharapkan," katanya.

------------------------------------------------------------------------------

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 kerusi Permatang Pauh (8 Mac)

Wan Azizah Wan Ismail (PKR): 30,338

Pirdaus Ismail (BN - Umno): 16,950

Majoriti: 13,388
Keluar mengundi: 47,442 (81.2%)
Undi rosak: 110
Pemilih: 58,449

------------------------------------------------------------------------------

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah apabila dianjukan penilaian PKR itu berkata: "Saya tidak fikir begitu."

Mengapa?

Kata beliau, kini sokongan kepada beliau dan BN sedang melalui arah aliran peningkatan.

"Kini sokongan kepada saya sudah melepasi 41 peratus walaupun beberapa hari yang lalu ada penurunan sedikit dan saya pasti ia akan meningkat dalam sehari dua ini, tidak mustahil untuk memperoleh lebih 50 peratus," kata beliau ketika ditemui di kediaman beliau pagi tadi.

Setiausaha Badan Perhubungan PKR Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim berkata, "kami tidak bercakap mengenai angka (tahap peratusan), tetapi campur tolak kemungkinan akan memperoleh majoriti yang baik (berbanding 8 Mac)."

mStar Online difahamkan sasaran awal PKR ialah memperoleh majoriti 20,000 undi.

"Bagaimanapun berdasarkan perkembangan-perkembangan semasa (pengumuman janji dan insentif serta isu politik baru), kami menjangkakan banyak lagi kejutan (akan muncul)," kata beliau yang merujuk kejutan-kejutan itu kemungkinan boleh mengurangkan majoriti.

Tiga hari lalu Anwar ketika memulakan kempen hari kelima berkata, beliau terdorong dengan sokongan yang diberikan di kerusi Permatang Pauh tetapi enggan menyebut mengenai soal peratusan yang bakal diperoleh.

Parlimen bahagian Permatang Pauh terdiri daripada 58,459 pemilih iaitu 40,619 orang atau 69.49% merupakan pengundi Melayu, Cina (14,360; 24.56%), India (3,390; 5.79%) dan lain-lain (280; 0.13%).

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |